Friday, January 13, 2012

ULASAN TEATER MERONG MAHAWANGSA (BANGSAWAN)

 Teater bangsawan merupakan bentuk teater Melayu yang menggabungkan kedua-dua unsur teater  tradisional  dan moden. Dipercayai bahawa kemunculannya dipengaruhi oleh wayang parsi atau mendu yang dibawa ke Pulau Pinang, pada tahun 1870 oleh pedagang India yang  berdagang  dengan Syarikat India Timur. Kumpulan pertama wayang Parsi yang mengadakan pementasan untuk pedagang dan pekerja  India dianggotai oleh kesemua pelakon lelaki yang berlakon dalam cerita-cerita India dan Timur Tengah dalam bahasa Hindustan.
( Mohamed Ghouse Nasuruddin, 2000)
              Pada tahun 1885, Mamak Pushi dari Pulau Pinang menubuhkan kumpulan bangsawan profesional yang pertama, iaitu The Pushi Indera Bangsawan og Penang, dan mengadakan pementasan di seluruh Tanah Melayu dan Jawa. Kumpulan bangsawan seterusnya ditubuhkan oleh seorang wanita pada tahun 1900 dengan nama Indera Bangsawan dan berterusan hingga tahun 1910. Setelah itu lebih banyak kumpulan –kumpulan bangsawan di tubuhkan seperti  Bangsawan Seri Pelingpur Lara, The malay Opera, Wayang Bangsawan Yap Chow Chong dan Dean and Tijah Opera. Namun mulai dari tahun 1940, teater bangsawan mula merosot akibat kemasukan wayang gambar  dan hiburan lain. ( Mohamed Ghouse Nasuruddin, 2000)
  Teater bangsawan juga mempunyai beberapa elemen-elemen penting yang telah diketengahkan seperti elemen tarian, muzik dan dialog. Ia juga seringkali dikaitkan dengan cerita-cerita asal-usul, sejarah serta kerabat diraja, sosial dan fantasi. Selain itu watak-watak di dalam Teater Bangsawan juga telah ditetapkan pada beberapa watak yang harus diwujudkan di dalam persembahan Teater Bangsawan seperti watak orang muda, seri panggung, jin afrit, pelawak serta watak-watak sokongan.  

Bangsawan Merong Mahawangsa juga mempunyai kesemua ciri-ciri atau elemen-elemen yang diketengahkan di dalam teater bangsawan. Teater Bangsawan Merong Mahawangsa telah dipersembahkan pada 19 November 2011 di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.
              Teater ini mengisahkan dua pasangan kekasih iaitu Merong Mahawangsa dan juga Embok gadis kampung di Tanah Langkasuka. Impian cinta mereka digambarkan sungguh indah, namun tidak terlalu jelas seperti pasangan bercinta lain disebabkan terlalu banyak pergolakan dalam diri. Konflik bermula bila Embok dilarikan oleh Taji dalam satu pertempuran yang tidak disangka. Kehilangan Embok diratapi sedih oleh ayah angkatnya Pak Kesom dan dari situ terbongkarlah segala kisah di sebalik kejadian menimpa. Taji menyimpan dendam terhadap Kesom di atas ketidakpuasan hatinya sejak zaman berguru lagi. Merong pula bernekad untuk menjejak dan menyelamatkan Embok seterusnya memusnahkan Taji dan garudanya. Namun kelemahan tenaga serta kekuatan membuatkan usaha Merong sedikit terjejas. Pada waktu itulah datangnya rombongan dari cina diketuai oleh Laksamana Liu Yun dan Putera Marcus menawarkan pertolongan tetapi meminta bantuan Merong untuk menyelamatkan puteri cina yang juga dilarukan oleh Taji. Persetujuan antara mereka telah mengangkat Merong sebagai raja dan ketua peperangan. Akhirnya kuasa Taji dan Garuda di tewaskan. Namun masih ada tragedi yang menimpa Merong dan angkatan perangnya.
            Di dalam lakonan Teater bangsawan Merong Mahawangsa ini, terdapat 4 watak yang memainkan peranan sebagai watak-watak utama. Pertama watak orang muda yang terdapat pada Merong Mahawangsa,  kedua watak Seri Panggung yang terdapat pada watak Embok. Jin Afrit pula mempunyai ciri-ciri yang kasar, jahat dan ganas iaitu mempunyai persamaan dengan watak Kemawas. Seterusnya watak keempat iaitu watak pelawak terdapat pada watak orang kampung iaitu Si kembung.
           Watak Merong Mahawangsa yang telah dilakon oleh Raja Azrey Kamaruzzaman merupakan watak yang mempunyai persamaan dengan watak orang muda atau hero di dalam persembahan teater ini. Beliau perlu menyanyi, menari dan juga menunjukkan kehebatan sebagai orang muda.
             Namun watak pelawak yang dibawa oleh Si Kembung sangat menarik minat saya apabila beliau tidak memerlukan banyak dialog untuk muncul. Dialog yang sering diutarakan adalah “ kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai”. Tetapi setiap kali kemunculan beliau, penonton akan mula ketawa terutama setelah dia meluahkan dialog yang sering diulang-ulang tersebut.
            Lakonan bangsawan merupakan lakonan yang representational iaitu lakonan yang tidak realistik dan fantasi. Lakonan yang yang bersesuaian dengan jalan cerita seperti cerita raja-raja, cerita fantasi dewa-dewa, dan cerita pahlawan. Dialog-dialog yang digunakan juga tidak seperti yang sering digunakan pada kehidupan realiti. Lakonan jenis ini banyak menggunakan kata-kata puitis, lagu dan bahasa-bahasa sastera bagi menyampaikan dialog.
          Misalnya seperti yang terdapat pada watak Pak Kesom, yang telah dilakonkan oleh Jalaluddin Hasan. Dialog yang digunakan oleh Pak Kesom adalah bahasa-bahasa perumpamaan dan mempunyai bait-bait puitis yang bukan menjadi satu percakapan realistik pada kehidupan biasa. Ayat-ayat yang merintih, bersedih dengan kehilangan anaknya iaitu Embok. Dan kata-kata semangat yang sering diberikan kepada Merong untuk terus berjuang penuh dengan hikmah dan perumpamaan.
            Seterusnya persembahan ini juga mempunyai persembahan Giliran Tambahan (extra turn) yang menyediakan lakonan komedi dan nyanyian. Giliran tambahan ini diadakan bagi di hadapan pentas untuk membolehkan pertukaran latar hias di belakang tirai. Giliran tambahan ini mengandungi nyayian, tarian dan lawak jenaka kadangkala menjadi lebih menarik dari cerita yang utama. Dalam situasi yang sedemikian, kumpulan bangsawan akan mengiklankan kedua-dua cerita dan giliran tambahan ini sebagai starategi untuk menarik para penonton.  ( Mohamed Ghouse Nasuruddin, 2000)
            Pementasan Bangsawan Merong Mahawangsa ini dapat memberikan saya sedikit kejelasan perjalanan bentuk dan gaya lakon bangsawan. Sebuah teater bangsawan memerlukan watak-watak utama seperti orang muda, seri panggung, orang yang jahat atau jin arfit serta watak pelawak. Selain itu di setiap cerita bangsawan akan diselang selikan dengan persembahan giliran tambahan bagi memudahkan penukaran set besar di belakang tirai. Selain itu juga bahasa dan cara lakonan merupakan tidak realistik dan sering kali dikaitkan dengan cerita fantasi, zaman raja dan pahlawan serta kisah dewa-dewa.

Rujukan
Mohamed Ghouse Nasuruddin (2000). Teater Tradisional Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

KOD KURSUS
:
ATP3053
NAMA KURSUS
:
TEKNIK DAN GAYA LAKON
SEMESTER
:
I 2011/2012
NAMA PENSYARAH
:
EN. NOR SHURADI B. NOR HASHIM

No comments: