Thursday, August 18, 2011

SINOGRAFI

Visual Sinografi
         
Lakonan dan naskah yang bermutu sahaja tidak mencukupi untuk melahirkan ekspresi 
sepenuhnya sesebuah pementasan. Sokongan visual dan elemen teatrikal adalah amat 
penting. Pada asalnya persembahan drama, pengalaman teatrikal selalunya bergantung 
penuh kepada ‘rupa’ (look), ‘bunyian’ (sound) and ‘bentuk’ (shape), pandangan visual 
dan aura dapat dicapai melalui rekaan (design). Perlaksanaan rekaan ini selalunya 
berdasarkan kepada kemampuan teknologi.  
         
Persembahan teater yang agung selalunya mendapat penilaian yang cukup tinggi 
adalah bergantung juga kepada bakat pereka-perekanya dan keupayaan kejuruteraan dari 
tenaga teknikalnya. Ini kerana kerja-kerja kreatif  yang dilakukan oleh mereka tidaklah 
semudah yang disangka. Mereka juga menjalankan penyelidikan yang terperinci 
sebagaimana ahli-ahli kreatif yang lain seperti pengarah dan pelakon. 
           Menganalisis atau menilai  sesebuah  persembahan teater bukan sahaja bertanya 
‘ceritanya mengenai apa?’ sahaja, tetapi juga perlu mengutarakan persoalan 
‘bagaimanakah rupanya?,’ ‘bunyinya?,’ ‘bagaimana ianya dibina?’ dan ‘bagaimana 
perjalanan permentasan’? Persoalan-persoalan sebegini akan membawa kita melihat 
dengan lebih dekat lagi apa yang berlaku di ‘belakang pentas.’ Keupayaan pereka-pereka 
dan tenaga teknikalnya, mencipta sesuatu,  membuat  apa yang perlu, melahirkan 
keindahan di pentas (Cohen, 1994, ms. 107). 
         
  Pada zaman Greek, teater dikatakan sebagai ‘tempat melihat’ - seeing place tetapi 
menurut Aristotle yang banyak memperkatakan tentang kualiti seni visual dalam 
persembahan telah mengkategorikan aspek visual dalam seni persembahan ini sebagai 
‘kekaguman.’ Aristotle juga mengatakan yang ia mempunyai kesan emosi yang kuat 
dengan sentuhan artistik dan berkait rapat dengan seni bahasa yang indah (Kennedy, 
1996, m.s. 5).  
          Visual adalah sesuatu yang penting dalam teater, walaupun kadangkala ianya tidak 
begitu menarik dan tidak menampakkan keindahan yang maksimum. Namun apa yang 
diharapkan ialah penonton dapat melihat sesuatu sepertimana mereka mendengari 
sesuatu. Dalam drama Shakespeare contohnya, yang sarat dengan hamburan kata-kata 
dan seni bahasanya yang dapat didengar, tetapi tidak akan dapat memberi kepuasan jika 
tidak direalisasikan dengan  aktor bergerak melalui ruang yang telah terbina dan suasana 
yang telah direka melalui pencahayaan dan sebagainya.  
           Pereka yang terlibat dengan sesebuah produksi mempunyai pelbagai perkhidmatan 
pemikiran dan tanpa daya kreativiti mereka sesebuah drama tidak dapat dipentaskan 
dengan penuh ekspresi dan bermakna. 
           Samada latar hias yang biasa dan sederhana seperti di dalam drama-drama Greek, 
atau keterlaluan dan berlebihan di dalam drama-drama abad ke lapan belas dan sembilan 
belas, yang ketara penonton merasa kagum dengan apa yang dipamerkan atau divisualkan 
oleh pereka pentas dan pereka kraf yang bertanggungjawab mewujudkan persekitaran 
yang penuh dramatik. 
           Dalam dunia teater kontemporari  pereka  latarhias kini berfungsi sebagai rakan 
kreatif di dalam menentukan arah sesebuah produksi  teater. Tugas  asasnya adalah 
menciptareka keadaan atau permandangan (scenery) yang tepat berkesesuaian dengan 
produksi. 
           Bagi pereka yang terlibat sepenuhnya di dalam melahirkan nilai-nilai estetika ini, 
mereka di gelar sinografer. Ini bermakna sinografi bukan sahaja terhad kepada kerja-kerja 
mereka pentas, malahan sonografi juga merangkumi pencahayaan, kostum, solekan dan 
penganalisaan dramatik. Untuk itu sinografer mestilah mengetahui pelbagai disiplin seni, 
bukan sahaja setakat seni halus sahaja, malahan seni tari, seni lakon dan juga pengarahan. 



Dunia sinografi
         
Rekabentuk, rekacipta, rekaan artistik, latarhias, tatahias, tatacahaya, seni rupa, kostum; 
banyak lagi penamaan dan terminologi muncul dalam arena seni persembahan untuk 
menerangkan  rekaan visual yang dapat dilihat dalam produksi seni persembahan seperti 
teater, tari, muzikal dan muzik. Di antara terminologi yang ada, sinografi adalah 
merupakan terminologi yang tepat untuk digunakan sebagai mewakili keseluruhan bentuk 
seni visual yang dapat dilihat dalam sesebuah produksi ini iaitu rekaan pentas dan 
kostum, pencahayaan, susunatur ruang lakon, penggunaan ruang untuk aktor termasuklah 
persekitaran  rekabentuk dalaman  sesebuah panggung: apa saja kesan visual yang dapat 
dilihat didalam panggung tersebut. Kepentingan sinografi boleh dianggap sama setara 
dengan teks: bila dialog mencipta seni percakapan dan tingkahlaku di pentas, sinografi 
mencipta seni visualnya. Sinografi mengingatkan bahawa perkataan yang lahir dari 
sesebuah teks tidak cukup untuk menghuraikan dengan sempurna makna sesebuah 
persembahan (Kennedy, 1996, m.s. 12). 
           Terminologi ini sudah digunakan di Benua Eropah dan Amerika sejak tahun 1800 
lagi. Sejak kewujudan teater di zaman Greek dan seterusnya, ke zaman Renaisance pakar 
sinografi telah berlumba-lumba merekacipta visual untuk memantapkan sesebuah 
pementasan teater (Simonson, 1973, m.s. 5). 
           Sinografi memberi perhatian bagaimana mengangkat segala makna yang 
terkandung dalam skrip dan membawanya ke atas pentas, juga merealisasikan konsep 
produksi. Sinografer boleh dikatakan seperti seorang arkitek selain dari pelukis. Beliau 
juga bukan saja mengambil berat tentang ruang pentas tetapi perkaitannya dengan ruang 
panggung keseluruhannya, bukan setakat membina dan  mengecat set tetapi juga bunyi 
cahaya termasuk projeksi, bukan sahaja set yang statik tetapi yang mempunyai potensi 
untuk digerakkan.  
           Alam keseluruhan pentas bukan hanya membina sebuah tempat yang pasif untuk 
aksi dramatik tetapi perlu menyediakan tempat yang  fleksibel, mempunyai elemen elemen 
dinamik untuk nilai-nilai teatrikal dan elemen mampu meluahkan maksud  sesebuah persembahan. 
           Sinografi perlu berpontensi untuk diubah suai semasa pementasan dan bertindak 
cepat kepada perjalanan aksi dramatik di pentas melalui teknologi masakini, 
pencahayaan, projeksi atau kesan khas. 
           Sinografer perlu berfikir seperti pengarah, beliau mestilah mengambil berat 
tentang rekaan yang telah dibentangkan akan berfungsi secara dramatik seperti yang 
dijangka. 
           Sinografer perlu juga mengambil perhatian dengan kemudahan dan teknologi 
terkini, ini akan menjadikan sinografinya lebih ekspresif dan bertindak balas semana 
mungkin dengan kehendak naskah dan pengarah. 

No comments: