Menurut Edwin Wilson, dalam sejarah teater muzikal, muzik dan tarian telah disatukan menjadi drama. Antaranya adalah Opera yang set drama keseluruhannya merupakan muzik. Sebagai tambahan kepada opera, muzikal teater yang lain adalah Operetta, iaitu adengan pertuturan dialog bersilih ganti dengan lagu. Komedi muzikal iaitu cerita lucu yang ringan diletakkan bersama muzik. Teater muzikal yang dirancanakan dari komedi muzikal dan aneka hiburan yang merangkumi siri kehidupan seseorang, lagu-lagu bebas dan cerita pendek yang lucu seperti pementasan ‘The Musical’ (W. Edwin, 2009). Berdasarkan penulisan Edwin Wilson, hal ini menunjukkan bahawa Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal menepati ciri-ciri teater muzikal yang mengandungi muzik dan tarian.
Menurut Mustapaha Kamil Yassin (1981) yang telah dipetik dari penulisan Fauziah Husin di dalam bukunya yang bertajuk ‘Teater Melayu Teks dan Eksperimentasi’,tokoh-tokoh drama barat seperti Paul Claudel, Bertolt Brecht, Jean Genet, Antonin Artaud seterusnya Stinberg, Pirandello Pinter dan lain-lain telah menerbitkan drama sezaman dengannya. Maka lahirlah Theater Of The Absurb, Theater Of Cruelty,Arena Theater, Symbolic Drama, Street Theater, Nature Theater dan lain-lain lagi. Struktur dan falsafah semua drama-drama tersebut semua sama. Ia mahu lari dari drama of words. Ia mahu merangkumi segala gerak geri, tarian muzik, kostum, topeng dan lambang apa sahaja. Ia mahu menyatukan kembali semua seni. Ia mahu menuju kepada satu matlamat iaitu total theater, masyarakat mereka yang begitu tersisih mahu disatukan kembali (Fazilah Husin,2010).
Dalam penulisan Mackey, Sally & C. Simon (2000), telah menghuraikan bahawa Antonim Artaud yang mengemukakan teori The Theater Of Cruelty menyatakan, salah satu komponen yang menjadi asas dalam teori beliau ialah metafizik. Komponen tersebut dirumuskan dalam tiga unsur seni yang berasaskan tarian Bali iaitu tarian, lukisan dan komedi. Beliau mendapati bahawa kesan daripada gerakan dan ekspresi muka para penari merupakan cara untuk berkomunikasi tanpa menggunakan sepatah perkataan pun, namun ia tetap boleh difahami dengan baik oleh penonton. Makna dari isyarat pergerakan membentuk persepsi dalam fikiran penonton untuk menghubungkan mereka dengan persembahan yang sedang berlangsung. Persepsi akan menghasilkan puisi mental yang mampu menghuraikan sesuatu yang luar dari jangkaan pemikiran biasa yang terbentuk apabila fikiran penonton dapat dirangsangkan oleh pergerakan atau aksi para penari. Pergerakan ini pada pandangan Artaud, mempunyai kuasa dan kemampuan untuk mengukuhkan dan menjelaskan makna mistik melalui teater secara tidak di sedari (Mackey, Sally & C. Simon, 2000).
Menurut R. B. James di dalam bukunya yang berjudul ‘Asian Theater’, teater Asia seringkali dikatakan sebagai pementasan atau pertunjukan ‘tarian’. Hal ini kerana, dalam setiap lakonan terdapat pergerakan yang telah dikodkan dengan teliti dan setiap pergerakan atas pentas dikawal secara berhati-hati. Selain itu, terdapat beberapa genre teater bersatu dengan pergerakan pentas yang dikoreograf seperti melangkah, berpusing, menghentak kaki, melompat, menggawangkan tangan dan lengan, dan membuat ekspresi wajah yang digabungkan dengan irama dan lirik lagu. Tarian dijadikan sebagai komponen struktur dalam gubahan lakonan drama dan bercerita. Set tarian yang formal dengan pembukaan, perkembangan dan penutup serta menempatkan khusus struktur lakonan yang mudah dikenalpasti merupakan alasan yang baik untuk dikatakan sebagai pertunjukan ‘drama tari’ ( R.B. James, 1997).
Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal juga menepati ciri-ciri teater yang dijelaskan di atas. Penyampaian cerita ini bermula dengan Lat yang masih kecil, dilakonkan oleh Daniel Eezkandar Azraien. Pada permulaan teater ini, kedudukan pelakon-pelakon adalah di dalam keadaan yang statik tanpa pergerakan. Mereka masing-masing di dalam kedudukan seperti patung. Apabila suara mak Lat memanggilnya kedengaran, baru Lat bergerak. Namun pelakon lain masih di dalam keadaan itu. Apabila Lat mula lari dari dirotan oleh ibunya, pelakon-pelakon lain mula bergerak secara sama seperti melakonkan pergerakan aktiviti-aktiviti orang kampung. Antara pergerakan yang dilakukan adalah seperti wanita-wanita yang sedang berbual-bual, petani yang bercucuk tanam, kanak-kanak bermain tarik upeh dan orang tua yang berbasikal. Pergerakan yang dilakukan dapat mencerminkan suasana kampung yang sangat meriah dan damai. Pergerakan Lat juga sangat menarik di mana dia bergerak di dalam emosi yang ingin melarikan diri dari dirotan ibunya. Dia berlari dalam keadaan membongkok dan laju kemudian menyorok dari ibunya.Begitu juga dengan pergerakan yang dilakukan oleh ibu Lat. Mak Lat lari tergopoh- gapah mengejar Lat, tetapi masih dalam pergerakan mengikut tempo muzik seperti menari.
Pertunjukan teater dapat mengembangkan komunikasi penonton dengan pelakon. Mereka dapat mendengar ketawa, menghela nafas atau tercungap-cungap dan tindak balas yang lain seperti kelam kabut. Tindak balas ini dapat merangsang pelakon tahu penonton memahami lakonan dari sesi drama itu (B. H. Ruth, 1987). Di dalam Lat Kmpung Boy Sebuah Muzikal, didapati pergerakan yang dilakukan oleh korus atau para penari seperti berbual-bual antara satu sama lain, berjalan-jalan di bandar sambil bertegur-sapa menunjukkan mereka memberi tindak balas kepada penonton untuk memahami situasi bandar yang sibuk dan masing-masing mementingkan pekerjaan. Pergerakan polis yang berpusing dan berjalan dengan cepat dan tegas juga melambangkan keperibadian seorang polis yang sedang berkhidmat. Selain itu, dengus dan rasa marah Isteri Lat Faezah dengan sikap Lat yang lupa hari dia bersalin juga dapat membawa penonton memahami perasaannya. Faezah berlari dengan cepat dan tepat kemudian memandang tajam ke arah Lat. Pergerakan ini menunjukkan emosi marah Faezah dengan olah badan dan gaya pergerakan seseorang yang sedang marah.
Selain itu babak apabila di sekolah yang memerlukan Lat mempertahankan lukisan yang dilukisnya. Pada masa ini, sekumpulan kanak-kanak perempuan mengkritik lukisan Lat yang kononnya hanyalah angan-angan palsu. Pergerakan kanak-kanak ini dapat menunjukkan yang mereka menganggap Lat seorang budak yang suka berangan-angan. Pergerakan mereka yang cepat dalam melangkah, memusing dan memalingkan muka dari melihat Lat menunjukkan perasaan tidak suka kepada angan-angan Lat tersebut. Gaya dan olah badan mereka menunjukkan rasa benci dan bosan dengan angan-angan Lat jelas kelihatan. Begitu juga dengan kanak-kanak lelaki yang melakukan pergerakan sebagai pembela Lat. Pergerakan yang paling menarik adalah apabila semua kanak-kanak lelaki jatuh di tolak oleh kanak-kanak perempuan. Mereka jatuh seperti Domino yang ditolak sama serentak. Pergerakan Lat juga dapat menggambarkan betapa pendirian dia dan lukisannya sangat penting. Lat bergerak dengan tegas dan dadanya dibuka seperti seseorang yang sedang bangga dengan dirinya sendiri. Ia sangat menarik minat apabila pengarah memasukkan elemen emosi di dalam pergerakan teater muzikal ini.
Pada babak Lat dan ayahnya iaitu dilakonkan oleh Jalil Hamid pula, pergerakan dapat dilihat sewaktu ayahnya ingin merotannya. Ayahnya memegang rotan dan berjalan laju ke arah Lat, kemudian menggoyangkan tangan seperti memukul punggung Lat. Kemudian ayahnya memujuk Lat dengan menyanyikan lagu ‘John Wayne Tak Nangis’. Walaupun lagu ini hanya merupakan seperti dialog dengan iringan muzik, namun pergerakan bapa Lat dan Lat menunjukkan penceritaan ini melalui sebuah lagu. Mereka telah mengimprovisasikan pergerakan seharian seorang bapa yang menasihatkan anak menjadi sebagai bentuk pergerakan kreatif. Antara pergerakan yang dilakukan adalah bapa Lat menggosok kepala Lat dan memegang belakang Lat tanda memujuknya, kemudian bapa Lat bergerak kehadapan dengan laju dan berhenti memandang Lat. Lat juga membuat begitu dengan tiba-tiba berlari memeluk ayahnya sehingga terlanggar perut ayahnya. Mungkin secara sengaja Lat terjatuh apabila tersentak dengan perut ayahnya. Tetapi jika ia tidak sengaja, Lat sangat bijak menutup kejadian itu dengan bangun kemudian dia mengetuk dan menggosok perut ayahnya.
Watak ketika Lat kanak-kanak yang mendapat tahu majalahnya sudah diterbitkan juga melambangkan perasaannya melalui pergerakan. Hal ini apabila dia bergerak dengan laju ke hadapan pentas dan berhenti secara tiba-tiba seperti seseorang yang tidak sabar untuk berkongsi cerita dengan orang lain. Pergerakan yang dilakukan menunjukkan keseronokkan beliau tentang kejayaannya. Begitu juga dengan Frankie, terdapat juga unsur-unsur komedi dan pergerakan yang diimprovisasikan oleh pergerakan asas manusia apabila mengetahui kejayaan seseorang seperti berlari tergopoh-gapah untuk melihat cek yang diterima oleh Lat dan mengikut Lat ke bank. Korus juga seperti menyibuk dan sangat berbangga dengan kejayaan Lat. Situasi yang sama juga di tunjukkan dalam situasi sewaktu Lat ke hospital melihat isterinya yang baru bersalin. Pergaduhan suami isteri itu dijadikan dalam bentuk lagu dan pergerakan yang dilakukan melambangkan isteri Lat iaitu Faezah yang dilakonkan oleh Atilia sangat marah dan kecewa dengan Lat. Lat juga dapat menggambarkan rasa serabut dan serba salahnya. Teater ini banyak menunjukkan pergerakan yang diimprovisasikan melalui keadaan, situasi dan emosi para pelakon.
Secara kesimpulannya, Teater Lat Kampung Boy sebuah Muzikal mempunyai pergerakan-pergerakan yang telah diimprovisasikan dengan kehidupan dan gaya hidup manusia. Ia bersesuaian dengan apa yang telah dimaksudkan dengan teater muzikal iaitu kombinasi antara pergerakan tari, dialog dan muzik dengan lirik atau tanpa lirik. Pelakon juga dapat menyampaikan jalan cerita kepada penonton melalui pergerakan-pergerakan mereka dan emosi serta mimik muka dan olah gaya badan yang baik.
Rujukan
B. H. Ruth (1987). Creative Drama Resource Book For Kindergarten Grade 3. United States of America: prentice Hall.
Fazilah Husin (2010). Teater Melayu Teks dan Eksperimentasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Mackey, Sally & C. Simon (2000). Drama And Theater Studies. Cheltenham: Stanley Thornes.
R.B. James (1997). Asian Theater. United Kingdom : Cambridge University.
W. Edwin (2009). The Theater Experience. New York: McGraw-hill Higher Education.
4 comments:
hari tu nak tgok tapi duit tak ada
hohoho
huhuhu...nih pergi harga student nih..paling murah...tapi ok la..
best2 :)
jom ramai letak nizam ijam dalam bloglist :)
Malaysia Vs Chinese Taipei.. Misi Malaysia Di Taiwan...
dtg sini bg senyuman, nk bawak milo tp xleh, pose kaaan =)
http://lolz-l.blogspot.com/2011/08/selamat-berpuasa-ya.html
Post a Comment