Friday, January 13, 2012

TEORI JEAN-JACQUES ROUSSEAU (1712-1778) DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

1.0 BIODATA TOKOH
JEAN-JACQUES ROUSSEAU (1712-1778)
Beliau adalah seorang ahli falsafah Perancis. Dilahirkan di Geneva, merupakan anak kepada Isaac Rousseau iaitu seorang pembuat jam tangan. Ibunya telah meninggal dunia ketika beliau baru dilahirkan. Pada awal 10 tahun umurnya, dia telah dibesarkan oleh ayahnya seorang. Setelah tahun 1722 beliau dipisahkan dari ayahnya yang keluar dari Geneva untuk mengelakkan diri dari dipenjarakan kerana terlibat dengan pergaduhan. Jean Jacques telah dihantar ke Bossey oleh sepupunya dan 2 tahun selepas itu beliau berpindah semula ke Geneva tinggal bersama bapa saudaranya. (Stangroom, J. & Garvey, J., 2005)
            Beliau dikenali kerana bukunya Emile yang membincangkan asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Emile, seorang kanak-kanak yang digambarkan oleh Rousseau dalam novelnya dibesarkan di sebuah pulau yang tidak dicemari pengaruh persekitaran yang penuh dengan kejahatan. Emile belajar daripada alam semula jadi dengan menggunakan deria di bawah bimbingan ibu dan bapanya dalam suasana yang sangat indah. Beliau menggambarkan Emile sebagai seorang kanak-kanak yang berkebolehan, membesar dan berkembang dalam suasana yang bebas daripada gangguan luar. (Azizah Lebai Nordin, 2002)
1.1 TEORI NATURALISME
Pandangan beliau dalam pendidikan awal kanak-kanak dikenali  sebagai naturalisme. Bagi Rousseau, naturalisme bermakna meninggalkan pengaruh masyarakat yang penuh dengan kepura-puraan. Hal ini bermakna, kanak-kanak di ajar tanpa sebarang pengaruh dari luar iaitu berlaku secara proses semula jadi dalam diri kanak-kanak. Menurut Rousseau, kanak-kanak dilahirkan tanpa mewarisi sebarang sikap-sikap yang buruk tetapi semula jadi yang baik. Alasan beliau pendidikan awal kanak-kanak seharusnya bertindak balas dengan perkara-perkara yang baik dan memberikan laluan kepada minat dan aktiviti yang spontan daripada kanak-kanak.
Menurut Rousseau :
“Let us lay it down as and incontrovertible rule that the first impulses of nature are always right, there is no original sin in the human heart... the only natural passion is self-love or selfishness taken in a wider sense.” (Anne, G. M.  & Kathryn, B. W., 2004)
Walaupun beliau bukan seorang pendidik, beliau telah mencadangkan atmosfera sekolah seharusnya kurang halangan dan lebih fleksibel untuk memenuhi kehendak kanak-kanak. Beliau menekankan penggunaan material yang konkrit daripada yang abstrak dan bersimbol. Beliau menegaskan naturalisme telah menggantikan pendidikan di dalam cara yang memerlukan seorang guru lebih fokus kepada pendidikan awal kanak-kanak. Menurut beliau, dalam bukunya, Emile (1761), “pengorbanan sedikit masa semasa zaman kanak-kanak akan dibalas apabila kanak-kanak itu dewasa” (Anne, G. M.  & Kathryn, B. W., 2004). Hal ini bermakna semasa zaman kanak-kanak, mereka seharusnya didedahkan dengan pendidikan yang bercorak naturalisme iaitu membenarkan perkembangan individu tanpa gangguan dan halangan. Contohnya, kanak-kanak dibiarkan bebas meneroka persekitaran sekelilingnya tanpa gangguan dan halangan dari sesiapa. Bagi Rousseau, pendidikan secara semula jadi dapat mempertingkatkan kualiti seperti kegembiraan, kespontanan dan inkuisitif.
Falsafah beliau, manusia pada asal kejadiannya adalah baik. Oleh itu pendidikan haruslah menggalakkan supaya kebaikan itu dapat berkembang. Dalam novelnya “Emile” beliau menggambarkan pandangannya terhadap alam seperti berikut “ God makes all things good, man meddles with them and they become evil.”(Morrison, 2001). Kanak-kanak bagaikan kain putih yang dilahirkan bersih tanpa sebarang pengaruh yang negatif. Ibu bapa dan persekitaran di sekelilingnya yang akan menyebabkan bagaimana tingkah laku kanak-kanak itu terbentuk. Oleh itu, kanak-kanak haruslah diisi, dididik dan diasuh dengan pelbagai aspek dalam kehidupan dan harus diberi peluang untuk merasai pelbagai pengalaman dalam proses pembelajaran dan menjadi seorang individu yang baik.
Dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak, beliau menganggap semasa kanak-kanak dilahirkan mereka di dalam keadaan baik. Mereka harus diberi peluang untuk melahirkan perasaan dan kecenderungan mereka secara bebas. Rousseau berpendapat setiap kanak-kanak itu unik dan beliau yakin bahawa keseimbangan sosial dan emosi itu penting dari pengumpulan maklumat dan kemahiran. Di dalam falsafahnya, beliau menekankan empat perkara iaitu, kebebasan, perkembangan, minat dan aktiviti. Proses pendidikan berpusatkan kepada kanak-kanak sangat menitikberatkan proses perkembangan kanak-kanak secara spontan. (Azizah Lebai Nordin, 2002)
1.2 SUMBANGAN
Menurut Azizah Lebai Nordin di dalam bukunya Pendidikan Awal Kanak-kanak Teori dan Amali (2002), sumbangan Rousseau yang terbesar adalah huraiannya tentang ciri semula jadi kanak-kanak mengikut peringkat umur yang berbeza. Pandangan Rousseau tentang pendidikan ini telah membentuk kurikulum yang disusun mengikut peringkat umur yang berbeza dan berdasarkan minat dan kecenderungan kanak-kanak. Pendidikan harus berteraskan pengalaman, kanak-kanak menggunakan objek sebelum mengenali sumber, dan mereka diperkenalkan dengan perkara konkrit sebelum abstrak.
Hal ini sangat berkaitan dengan pembelajaran sains untuk pendidikan awal kanak-kanak. Semulajadinya kanak-kanak mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi dan mereka akan mula mencari jawapan untuk pertanyaan-pertanyaan mereka. Jika kanak-kanak itu cenderung dalam perkara bertukang atau membina sesuatu, dia akan membuat eksperimen ke atas blok-blok kayu untuk membentuk bangunan atau membina kayu itu tinggi, kemudian menjatuhkannya semula. Manakala, jika kanak-kanak itu mempunyai minat atau cenderung pada bunyi-bunyian, dia akan lebih menumpukan pada bunyi blok-blok kayu apabila jatuh, apabila diketuk dan apabila dibaling. Hal ini terserah kepada kecenderungan minat mereka dan kemampuan mereka untuk mengkaji bahan tersebut tanpa arahan atau halangan dari orang dewasa atau guru. Dalam matapelajaran sains, kanak-kanak akan didedahkan dengan perkara konkrit sebelum abstrak sepertimana yang telah disarankan oleh Rousseau.
 Peranan seorang guru adalah menjadi pembimbing dan membiarkan kanak-kanak meneroka untuk memperoleh pengetahuan, bukan sekadar mengharapkan pengajaran guru dengan menggunakan buku teks. Beliau juga mengemukakan teori pendidikan yang berpendapat bahawa pembelajaran berlaku melalui pemerhatian secara langsung terhadap bahan-bahan yang maujud. Hal ini supaya kanak-kanak boleh memperolehi ilmu yang lebih berkesan. Selain itu, kanak-kanak juga dapat mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan seharian mereka.
Peranan seorang guru sains juga selaras dengan pendapat Rousseau. Seorang guru sains tidak seharusnya menyekat pembelajaran kanak-kanak pada buku teks atau kertas-kertas kerja. Mereka haruslah mendedahkan kanak-kanak pada ilmu sains yang lebih berkesan. Membiarkan kanak-kanak membuat pemerhatian dan seterusnya mengkaji pemerhatian mereka bagi mendapat jawapan. Sains juga sangat menitikberatkan penggunaan bahan-bahan maujud bagi memberi kanak-kanak mendapat ilmu yang lebih berkesan.
Beliau banyak menekankan kepada pembelajaran kanak-kanak secara semula jadi. Kandungan kurikulumnya mengandungi aktiviti-aktiviti yang berdasarkan pengalaman deria kanak-kanak. Rousseau percaya bahawa kanak-kanak perlu didedahkan dengan penggunaan pelbagai objek dan aktiviti-aktiviti yang meminta mereka melaluinya sendiri seperti merasai benda yang panas atau sejuk, membandingkan saiz kecil atau besar dan rasa keras atau lembut. (Azizah Lebai Nordin, 2002). Proses ini merupakan pembelajaran dari pengalaman pertama kanak-kanak. Mereka diberi peluang untuk meneroka dan melalui pengalaman tersebut dengan sendiri. Antara contoh-contoh aktiviti sains  yang berkaitan dengan saranan beliau  ialah :
·         Memerhatikan daun yang berlainan bentuk
·         Mendengar bunyi burung
·         Menanam pokok
·         Melukis bayang-bayang diri sendiri pada masa yang berlainan
·         Bermain dengan magnet
·         Memerhatikan perubahan cuaca
·         Berjalan disekeliling sekolah untuk memerhatikan jenis-jenis binatang
Beliau juga menyarankan ibu bapa dan guru menggunakan kaedah pengajaran yang semula jadi dalam perkembangan awal kanak-kanak.
parents and teachers allow children to develop according to their natural abolities, do not interfere with development by forcing education, and tend not to overprotect them from the corrupting influences of society.(Marrison,1995)
Menurut Azizah Lebai Nordin (2002), ibu bapa dan guru perlu membuat pemerhatian terhadap perkembangan kanak-kanak dan menyediakan pengalaman-pengalaman berdasarkan masa yang sesuai. Pendidikan pada pandangan Rousseau berlaku melalui tiga punca iaitu semula jadi, manusia dan benda. Semula jadi merupakan faktor utama dalam pendidikan awal kanak-kanak. Hal ini kerana faktor ini dapat membantu kanak-kanak lebih memahami sesuatu pembelajaran dan penerokaan yang dilakukan oleh mereka. Kanak-kanak itu secara semula jadinya mempunyai rasa ingin tahu dan suka meneroka sesuatu bagi mendapat pengetahuan baru. Oleh itu, guru perlu memerhatikan murid dan menanyakan soalan ke arah membimbing kanak-kanak lebih memahami perkara yang mereka sedang terokai. Guru perlu memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menceritakan apa yang mereka sedang lihat, fikir, melakukan, akan melakukan atau apa jua persoalan yang berada di dalam minda mereka. Manusia pula merupakan aspek penting di dalam pendidikan. Hal ini kerana manusia adalah mereka yang menerima pembelajaran dan yang memberi pengajaran. Manakala benda adalah sumber yang membantu manusia lebih memahami sesuatu pembelajaran. Ketiga-tiga punca pendidikan ini dapat membantu perkembangan sains dalam diri kanak-kanak dengan lebih baik. 
2.0 PERSEKITARAN AWAL SAINS UNTUK KANAK-KANAK
Dalam pembelajaran sains awal kanak-kanak, proses pembelajaran harus melalui proses bertindak dan berfikir. Cara yang terbaik adalah dengan memberi kanak-kanak aktiviti dari pengalaman sendiri. Seorang guru harus mengetahui bahawa setiap kanak-kanak mempunyai rasa ingin tahu yang tersendiri. Rasa ingin tahu ini akan membuatkan kanak-kanak suka bertanya banyak soalan. Hal ini kerana pembelajaran dilakukan oleh kanak-kanak itu sendiri (orang lain tidak boleh belajar untuknya). Selain itu, pembelajaran berlaku semasa kanak-kanak cuba memahami alam persekitaran mereka bersamaan dengan teori Rousseau iaitu pendidikan berlaku melalui tiga punca iaitu semula jadi, manusia dan benda. Oleh itu, pembelajaran akan berlaku apabila kanak-kanak mula membina pengetahuan daripada persekitaran mereka.
Pembelajaran adalah satu proses interaksi kanak-kanak dengan persekitarannya. Persekitaran ini terdiri daripada rakan sebaya, orang dewasa dan alam sekitar. Kanak-kanak secara semula jadinya mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Semua objek yang terdapat di sekeliling mereka boleh menjadi alatan permainan mereka. Mereka akan berimaginasi dengan objek yang terdapat di alam sekitar mereka dan bermain secara aktif dengan peralatan tersebut. Hal ini kerana kanak-kanak merupakan ahli sains secara semula jadi, mereka akan menerokai persekitaran melalui pemerhatian seterusnya melakukan percubaan iaitu bereksperimen. Pembelajaran ini merupakan salah satu aspek yang telah dipertengahkan oleh   Rousseau di dalam sumbangan beliau untuk pendidikan awal kanak-kanak.
            Di dalam pembelajaran inkuiri, kanak-kanak diberi peluang untuk belajar tentang persekitaran secara semula jadi. Mereka digalakkan untuk bertanya pelbagai soalan dan melakukan eksperimen bagi mencari jawapan untuk soalan yang mereka kemukakan. Perasaan ingin tahu kanak-kanak juga diterapkan secara semula jadi dan dibiarkan agar kanak-kanak lebih bermotivasi untuk mencari jawapan. Mereka diberi aktiviti-aktiviti berdasarkan pengalaman sendiri dan memerlukan pemikiran minda yang kreatif. Selain itu, pembelajaran inkuiri juga memerlukan penglibatan kanak-kanak secara langsung dan aktif dari segi mental dan fizikal. Aktiviti sains melalui pembelajaran ini memerlukan kanak-kanak melakukan eksperimen daripada guru hanya mengajar mata pelajaran sains itu semata-mata.
            Manakala pembelajaran secara penerokaan pula memberi kanak-kanak idea-idea yang menarik. Pembelajaran ini adalah hasil yang diperolehi daripada pembelajaran inkuiri. Ia memerlukan kanak-kanak meneroka secara aktif dan membina idea bagi membentuk konsep-konsep yang baru. Pembelajaran ini juga memerlukan penglibatan yang aktif dan pengalaman sebenar dalam melakukan sebarang penerokaan. Penerokaan yang aktif melibatkan kanak-kanak untuk membuat pemerhatian. Contohnya, kanak-kanak memerhati perubahan suhu, angin, awan, warna, bentuk, tekstur dan bau. 
            Kedua-dua pembelajaran inkuiri dan belajar melalui penerokaan ini sangat bersesuaian dengan pendapat Rousseau iaitu, ‘parents and teachers allow children to develop according to their natural abolities, do not interfere with development by forcing education, and tend not to overprotect them from the corrupting influences of society.’(Marrison,1995)
Kanak-kanak juga digalakkan bertanya soalan dan mencari jawapan melalui penerokaan dan eksperimen. Hal ini akan membantu kanak-kanak menjana daya pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif. Selain itu, penerokaan yang aktif melibatkan kanak-kanak membuat perbandingan contohnya bekas manakah mempunyai paling banyak air dan bahan apakah dapat tertarik dengan magnet. Kanak-kanak juga digalakkan untuk melakukan pengelasan seperti mengumpulkan daun-daun dan mengasingkannya mengikut warna atau saiz serta mereka juga sangat digalakkan untuk berkomunikasi untuk pembelajaran aktif. Penerokaan aktif akan mengembangkan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat kanak-kanak iaitu kebolehan membuat pemerhatian yang tepat, bertanya soalan, membuat perbandingan, membuat pengelasan dan berkomunikasi.
            Dalam aktiviti sains, guru haruslah menjadi seorang yang fleksibel dan kreatif. Guru harus bersedia dengan sebarang persoalan daripada kanak-kanak. Guru juga harus pandai merancang pembelajaran dan aktiviti yang dapat menggalakkan perasaan ingin tahu dalam diri setiap kanak-kanak contohnya membekalkan bahan-bahan yang menarik untuk diterokai dan dimainkan oleh kanak-kanak. Bagi menjawab soalan kanak-kanak dengan lebih baik, guru harus menyediakan persekitaran dan peluang untuk kanak-kanak meneroka. Kanak-kanak harus diberi peluang untuk membuat eksperimen dan menyelesaikan masalah tanpa sebarang pengaruh daripada guru. Kanak-kanak harus diberi pendedahan dan kebebasan untuk mencari jawapan melalui pengalaman sendiri. Tugas guru hanyalah sebagai perangsang dan panduan kepada kanak-kanak bagi mencapai objektif pembelajaran. Semua ciri-ciri guru ini sangat berhubung kait dengan teori naturalisme yang di sarankan oleh Rousseau.
            Sebagai fasilitator juga, guru perlu membimbing kanak-kanak untuk memerhatikan objek, peristiwa dan perlakuan yang biasa. Guru juga harus menggalakkan kanak-kanak bertanya soalan semasa mereka memanipulasikan bahan-bahan itu untuk mencari jawapan kepada soalan yang muncul dalam otak mereka, contohnya semasa kanak-kanak merasakan jenis pasir yang berbeza, mereka mungkin akan bertanya kenapa ianya berlainan. Guru juga harus menunjukkan minat terhadap bahan yang kanak-kanak sedang teroka dengan memberi reaksi teruja dan positif terhadap mereka. Bagi menunjukkan bahawa guru berminat terhadap apa yang diterokai oleh kanak-kanak, guru boleh bertanya pelbagai soalan kepada kanak-kanak, mempamerkan sikap mari kita cari (let’s find out) yang merupakan asas dalam pembelajaran sains dan merangsang kanak-kanak untuk terus meneroka. Perkara ini sangat bertepatan dengan teori naturalisme Rousseau iaitu guru perlu  menekankan empat perkara iaitu, kebebasan, perkembangan, minat dan aktiviti.
3.0 PERKAITAN ANTARA TEORI DAN KEPENTINGAN AKTIVITI SAINS
            Aktiviti sains menggalakkan kanak-kanak untuk meneroka dan mengenali dunia sekeliling mereka. Sama seperti apa yang telah diperkatakan oleh Rousseau di dalam teori naturalismenya. Setiap kanak-kanak mampu belajar secara semula jadi dan meninggalkan segala pengaruh dan halangan dari masyarakat sekeliling. Penekanan teori naturalisme Rousseau mempunyai perkaitan dengan pembelajaran inkuiri dan secara penerokaan. Selain itu, teori ini juga merupakan asas bagi menggalakkan kanak-kanak mendapat pembelajaran yang bermakna dalam hidup. Kanak-kanak juga diberi peluang untuk meneroka persekitaran tanpa syarat, peraturan dan pengaruh dari orang dewasa. Mereka dapat belajar secara semula jadi melalui pengalaman sebenar.
            Sains juga boleh membantu kanak-kanak membesar dengan kepintaran yang semula jadi. Kanak-kanak juga mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah sendiri dan membina konsep kendiri yang baik. Melalui sains juga, kanak-kanak diberi pembelajaran yang berpusatkan kepada kanak-kanak dan mementingkan pengalaman sebenar kanak-kanak dalam pembelajaran. Rousseau juga bersependapat dengan cara pembelajaran berpusatkan pelajar. Beliau juga bersetuju bahawa setiap kanak-kanak itu belajar dengan semula jadinya. Peluang ini dapat menggalakkan kanak-kanak lebih aktif dalam kelas. Hal ini akan membantu perkembangan sosio emosi kanak-kanak dengan lebih baik. Kanak-kanak yang pasif juga akan turut mengikuti proses pembelajaran secara aktif. Hal ini kerana Rousseau juga percaya bahawa setiap kanak-kanak itu unik dan dilahirkan dengan aura-aura yang positif.
            Antara pendekatan yang boleh diambil kira bagi menggalakkan proses pembelajaran aktif kanak-kanak adalah melalui ‘project approach’ . Di dalam pendekatan ini, kanak-kanak akan diberi peluang untuk menjalani aktiviti secara aktif dari fasa pertama sehinggalah fasa terakhir. Fasa pertama memerlukan kanak-kanak saling berkongsi idea dengan topik yang telah diutarakan oleh guru. Kanak-kanak akan diberi galakan  untuk memberi pendapat dalam merangka isi-isi penting dalam topik yang dipilih oleh guru. Mereka akan didedahkan dengan perkara-perkara yang menjadi kebiasaan dalam persekitaran mereka. Hal ini bagi mencari maklumat dari pengetahuan sedia ada kanak-kanak.
Fasa kedua pula memerlukan kanak-kanak melakukan eksperimen bagi mendapat lebih banyak maklumat berkenaan topik yang telah diberikan oleh guru. Mereka akan digalakkan untuk meramal, membuat hipotesis dan mencari jawapan bagi andaian yang telah mereka lakukan. Kanak-kanak juga akan membuat soalan-soalan baru bagi memenuhi perasaan ingin tahu mereka dengan topik yang dikemukakan oleh guru. Fasa terakhir merupakan fasa bagi kanak-kanak berkongsi kefahaman mereka pada topik yang telah dikemukakan guru. Mereka akan mempamerkan hasil usaha kajian mereka bagi menunjukkan tahap pencapaian pembelajaran yang telah dihasilkan oleh mereka. Pendekatan ini sangat berkait dengan teori naturalisme yang diutarakan oleh Rousseau.   
            Di dalam falsafah Rousseau, beliau menekankan empat perkara iaitu, kebebasan, perkembangan, minat dan aktiviti. Hal ini juga sangat bersesuaian dengan aktiviti sains di mana kanak-kanak memerlukan kebebasan untuk meneroka dan seterusnya, dapat membantu perkembangan mereka dengan baik. Berdasarkan falsafah ini, kebebasan merupakan bagaimana kanak-kanak itu diberi peluang untuk belajar dan meneroka dengan pengalaman sendiri. Pembelajaran ini dapat memberi ingatan yang lebih bermakna dalam kehidupan kanak-kanak tersebut. Ini juga dapat membantu perkembangan kanak-kanak dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Proses ini akan lebih membantu kanak-kanak membesar dengan lebih sihat dan baik. Kanak-kanak merupakan individu yang unik kerana mereka mempunyai perbezaan dalam bakat dan minat. Oleh itu, peluang yang diberikan oleh guru bagi kanak-kanak bebas meneroka sangat penting untuk menggalakkan minat kanak-kanak secara berterusan. Hal ini juga membantu perkembangan kanak-kanak secara individu.
Bagi mewujudkan perkembangan yang baik dalam diri setiap kanak-kanak, penekanan Rousseau tentang aktiviti harus dititikberatkan lagi. Hal ini kerana aktiviti merupakan tunjang utama dalam pembelajaran kanak-kanak. Guru seharusnya lebih kreatif dalam merencanakan aktiviti yang sesuai dan menarik minat semua kanak-kanak. Guru juga harus bijak mengendalikan keunikan yang ada dalam diri setiap kanak-kanak bagi merangsang perkembangan yang menyeluruh. Keempat-empat faktor ini merupakan perkara penting dalam teori naturalisme Rousseau.
4.0 AKTIVITI SAINS YANG SESUAI DENGAN TEORI NATURALISME
Berikut merupakan cadangan bagi melakukan aktiviti sains mengikut teori naturalisme :   
1.      Eksperimen sains
a)      Eksperimen mengenai deria
b)      Eksperimen bayang-bayang
c)      Eksperimen sifat air
2.      Seni
a)      Membuat doh
b)      Membuat cetakan tapak tangan
c)      Mencampurkan warna
3.      Drama
a)      Bercerita
b)      Melakonkan watak-watak dalam kisah dongeng
c)      Berpura-pura berperwatakan seperti orang dewasa
4.      Nyanyian dan tarian
a)      Menyanyi lagu yang diimprovisasikan sendiri
b)      Menari mengikut lagu ‘chicken dance’ dengan membuat pergerakan sendiri
c)      Mencipta alat muzik menggunakan bahan terbuang
5.      Aktiviti luar bilik darjah
a)      Bermain pasir
b)      Bermain air
c)      Berkebun
Contoh aktiviti sains yang menggunakan air :
·         Memerhati air menyejat
·         Membaca buku cerita tentang air
·         Menyiram pokok : air diperlukan oleh tumbuhan
·         Campurkan air dengan semua jenis cecair : susu, jus limau, minyak, sabun dan madu
·         Perhatikan sama ada air diserap oleh semua bahan
·         Perbincangan mengenai “ semasa hujan, ke mana air pergi?”
·         Air dalam bekas yang berlainan bentuk
·         Memerhatikan paras air setelah mendapat pengganti air
·         Benda yang tenggelam dan timbul di dalam air
·         Bermain dengan air
·         Membandingkan paras air dalam bekas yang berlainan bentuk dan saiz
6.0 KESIMPULAN
            Secara kesimpulannya, Jean Jacques Rousseau telah mengukuhkan lagi bahawa sains sangat penting di dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ini kerana mereka bukan sahaja didedahkan dengan eksperimen dan subjek-subjek sains, tetapi secara semula jadinya kanak-kanak telah belajar mengenali dunia sekeliling mereka tanpa pengaruh dan halangan luar.
            Teori naturalisme juga telah mengukuhkan bahawa pembelajaran sains yang berpusatkan kanak-kanak dapat membantu mereka lebih berminat untuk belajar dengan berkesan. Kanak-kanak mempunyai rasa ingin tahu yang tersendiri. Mereka sangat unik dan mampu belajar secara semula jadi. Aktiviti sains adalah salah satu cabang bagi mereka mencuba dan belajar menyelesaikan masalah di samping diberi peluang untuk meneroka.
            Ibu bapa dan orang dewasa di sekeliling kanak-kanak harus memberi peluang kepada mereka untuk meneroka persekitaran mereka tanpa sebarang sekatan. Namun, ibu bapa dan orang dewasa haruslah memberi garis panduan bagi mengelakkan sebarang kecederaan atau kekeliruan dalam diri kanak-kanak. Mereka harus memberi kerjasama dengan pihak sekolah dalam memastikan perkembangan yang berterusan dalam diri kanak-kanak. Selain itu, perkara ini dapat mengelakkan kerencatan rasa ingin tahu dan minat kanak-kanak.
            Seorang guru sains juga harus kreatif dalam menyediakan aktiviti sains agar kanak-kanak tidak terpengaruh dengan halangan dan terbantut di dalam satu perkembangan tertentu. Guru yang kreatif harus bersedia dalam membantu dan membuka peluang kepada kanak-kanak untuk bebas meneroka.
            Kami sangat bersetuju dengan teori naturalisme yang ditekankan oleh Rousseau dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ia sangat berkaitan dengan aktiviti sains yang memerlukan kanak-kanak meneroka tanpa pengaruh dari guru dan orang dewasa. Teori ini juga menekankan aspek sifat-sifat semula jadi dalam diri kanak-kanak iaitu aktif dalam melakukan sesuatu, rasa ingin tahu yang tinggi dan suka mencuba sesuatu yang baru. Ia juga sangat berkaitan dengan pembelajaran inkuiri, pembelajaran secara meneroka dan ‘project approach’.

2 comments:

♥ layla naziera ♥ said...

pandangan beliau dalam psikologi perkembangan ada tak !

Anonymous said...

Terima kasih atas perkongsian.