Friday, January 13, 2012

ULASAN BADAI SEMALAM

 Badai Semalam merupakan sebuah adaptasi novel yang telah di bawa ke pentas teater. Pada satu ketika dahulu novel sastera ini telah menjadi buku teks wajib bagi pelajar kesusateraan. Cerita ini merupakan sebuah kisah hati seorang gadis yang bernama Mazni, yang mempunyai jiwa yang kuat untuk terus belajar dan mencapai cita-cita sebagai seorang doktor. Walaupun dia seorang anak orang gaji yang hanya menumpang di rumah bekas majikan, tetapi semangat ingin terus belajar dan mencapai kejayaan mazni itu yang cuba dibangkitkan oleh penulis untuk menggerak jiwa semua wanita agar terus cekal untuk berjaya.
Mazni dan ibunya, Cik Bibah umpama lambang dan satu kekuatan untuk menyampaikan mesej kepada kaum wanita pada zaman itu bahawa seorang wanita bukan sahaja bertugas di dapur, tetapi mampu juga menjadi penjawat profesional, kemiskinan dan kesukaran hidup bukanlah masalah dan punca utama untuk berjaya.
            Cinta, cita-cita dan pengorbanan ,merupakan tema yang paling sesuai bgi menghuraikan perjalanan pementasan ini. sangat ketara laluan kehidupan yang dilalui Mazni secara berterusan di duga, bermula dari diherdik dan dan dihina, kemudian mendapat fitnah dan dikeji, seterusnya ibu pula meninggal dunia, mulalah hidup yatim piatu, dapat pula suami yang insaf hanya sementara, terpaksa berpisah dengan kekasih hati, lalu bertemu dan kembali terkecewa akhirnya dia berpindah keluar dari Tanjung Puteri. Banyak konflik yang telah dilalui oleh Mazni yang akhirnya dia berjaya juga mencapai cita-cita dan impian.
            Persembahan yang mantap gabungan dari artis-artis yang ternama seperti Erra Fazira, Fizz Fairuz, Aaron Aziz, Umie Aida, Ziela Jalil, Elmelda Rosmila dan Jasmin Hamid sangat menarik minat ramai penonton. Tambahan lagi novel ini memang telah sangat dikenali. Cerita yang menonjolkan zaman 10 tahun selepas merdeka. Pada zaman ini pemikiran masyarakat melayu masih berkasta, yang susah tidak mungkin akan bersama yang senang dan yang perempuan tiada guna berjaya melainkan berada di bahagian dapur akhirnya. Pementasan ini lebih menarik minat dengan adanya set dan prop yang sangat menarik dan cantik. Terdapat 11 peralihan prop besar melatari pementasan ini. bermula dari stesen keretapi sehinggalah pengakhirannya juga di situ.
            Selain itu teknik hujan dan pengcahayaan yang digunakan oleh pereka set sangat menakjubkan dan dapat membuai emosi penonton secara tidak langsung. Malah peralihan set besar dari satu babak, ke babak yang lain memperlihatkan kronologi episod duka Mazni hingga saat dia meninggalkan Tanjung Puteri. Selain itu hiasan dan rekaan set juga mengikut era pada zaman berkenaan, seperti hiasan dalam rumah banglo, suasana di kelab malam, hospital, sekolah kostum serta alunan lagu digabungkan sebaik mungkin untuk menonjolkan realiti ketika itu. Namun terdapat juga kelemahan seperti masa yang diambil untuk menukar satu prop ke prop yang lain. Adakala masih terdapat pelakon salah menggunakan ruang masuk dan keluar kawsan pentas dan prop terlalu lambat untuk di letakkan pada keadaan. Misalnya pada babak yang memerlukan Karim berada dalam rumah menunngu Mazni pulang. Disebabkan prop lambat untuk naik, maka penonton tidak puas dan tidak dapat lihat aksi Karim yang terlebih dahulu telah bersuara ketika prop sedang dinaikkan dari bawah lantai. Selain itu ketika Mazni ingin keluar dari rumah, dan dihalang oleh Karim. Di mana Karim hanya memasuki bilik mazni pada pandangan dinding ke empat yang telah dikeluarkan bagi membolehkan penonton melihat keadaan di dalam bilik.
            Menurut Roy A.Beck di dalam penulisannya bertajuk Stagecraft,(1999)  di dalam sebuah pementasan, lakonan memainkan peranan sebahagian pertama, tetapi apa yang penting adalah apa yang telah ditetapkan pada pementasan itu seperti suasana (scenery), pengcahayaan, latar suara, prop, kostum dan juru solek. Tugas mereka sama penting seperti seorang pelakon dan lakonannya. Pementasan Badai Semalam merupakan sebuah teater yang mengetengahkan teater berbentuk realiti atau realism. Maka set dan prop yang telah ditetapkan juga berbentuk realism. Dengan adanya suasana-suasana yang betul.
            Misalnya keadaan hiasan dalaman rumah banglo milik mazni dan Karim. Set yang penuh yang telah di reka oleh pereka set sangat menarik hati para penonton. Kedudukan sofa, almari dan meja belajar serta 2 pintu keluar masuk yang mewakili pintu rumah dan pintu bilik sangat membawa penonton ke dunia realiti kehidupan Mazni dan Karim. Selain itu pengcahayaan yang digunakan juga sangat bersesuaian dan melambangkan pengcahayaan yang biasa di sebuah rumah, yang mewakili siang dan malam.
            Warna di dalam sesuatu pementasan menyumbangkan kepada beberpa emosi dan perasaan. Berikut merupakan perlambangan warna dan perasaan yang telah dijadikan kajian:
|  Kuning melambangkan kegembiraan, tenang, mentari, jika agak pudar melambangkan kesakitan, penakut dan cemburu.
|  Merah melambangkan dendam, keseronokan yang teramat sangat dan bahaya.
|  Hijau melambangkan rehat, muda, pembesaran, kepercayaan. Warna ini juga melambangkan emosi yang semulajadi.
|  Ungu melambangkan kesetiaan, kemuliaan, kematian, kesedihan dan kekuatan semangat.
|  Biru melambangkan ketenangan, jarak jauh dan kekosongan
|  Hitam pula melambangkan penonjolan, kematian, tekanan. Terlalu banyak hitam di atas pentas boleh memberi tekanan kepada penonton tetapi hitam yang bercampur dengan warna lain boleh membangkitkan emosi yang lain.
|  Putih pula melambangkan kepada kebenaran, tidak bersalah, suci, tenang.
|  Kelabu pula melambangkan kemanusiaan, pemberhentian dan usia yang tua.
|  Akhir sekali warna tanah yang lebih lambang kepada kehidupan semulajadi, kemiskinan dan usia.
( B.A. Roy,1999)
            Warna-warna ini memainkan peranan penting di dalam pengecatan dan pengcahayaan. Misalnya di dalam teater badai semalam, warna pengcahayaan yang digunakan kebanyakkan adalah yang melambangkan lampu neon, lampu kuning ,mentari dan bulan. Seperti babak di tepi pantai dan terdapat tembok, set yang mengunakan layar projektor yang memaparkan laut, onbak dan suasana malam di tepi pantai. Cahaya yang digunakan adalah cahaya bulan dan lampu jalan. Set ini telah membawa jiwa penonton bersama-sama berada di tepi laut bersama Karim dan Mazni.  Selain itu ada juga pengcahayaan biru yang membangkitkan mood ketenagan dan rehat ketika mazni dan Karim berbincang di tepi laut.
            Warna cahaya yang digunakan di dalam disko juga menunjukkan emosi dan perasaan yang melambangkan warna tersebut. hitam yang bercampur dengan warna lain melambangkan kepada rasa keseronokkan yang teramat sangat dan rasa kepuasan yang teramat sangat. Warna pengcahayaan ketika disko menunjukkan perasaan Karim yang sangat suka pada kebebasan dan gemar berhibur.
Selain itu warna juga bermain peranan ketika babak ibu Mazni meninggal dunia. Ketika semua orang berpakian putih keluar dengan asap yang keluar dari lantai. Pengcahayaan berwarna ungu yang pudar bercampur sedikit hijau dan malap, yang melambangkan perasaan Mazni yang sedih dan kosong. Pakaian putih pelakon korus juga menaikkan emosi penonton ketika babak itu yang membawa kepada rasa sedih, kasihan dan simpati kepada Mazni.
 Selain itu pakaian atau kostum juga memainkan peranan yang penting dengan warna. Hal ini dapat dilihat pada watak mak mentua Mazni atau Ummi Aida yang juga sebagai mak Karim. Dia sering memakai pakaian yang terang dan bewarna merah melambangkan kegarangan dan sikap yang mudah cemburu dan benci kepada menantunya yang hanya anak seorang orang gaji. Solekan warna yang terang pada wajahnya juga menunjukkan emosinya yang membenci kepada mazni dan ibunya. Dan sangat percaya kepada kata-kata Mahani. Melambangkan seorang majikan yang sombong dan berfikiran kasta.
 Berikut merupakan beberapa kepentingan pengcahayaan:
1.      Penonton datang untuk menonton persembahan.
2.      Setiap karya teater atau pementasan teater mempunyai mood yang perlu ditukarkan di dalam bentuk tetapan dan pengcahayaan.
3.      Pengcahayaan memenunjukan penukaran masa, siang, malam, tengahhari dan tengah malam.
4.      Kesan khas seperti kilat, bayang dan percambahan cahaya.
            Keempat-empat kepentingan pengcahayaan ini merupakan kewujudan persembahan, mood, masa, dan kesan khas. Hal ini supaya penonton tidak perlu mengecilkan mata melihat persembahan yang pengcahayaan terlalu terang. Hilang emosi kerana pengcahayaan terlalu gelap dan sukar memasuki dunia pelakon kerana cahaya yang tidak seimbang dengan masa dan waktu babak lakonan. ( B.A. Roy,1999)
            Misalnya di dalam badai semalam, cahaya yang digunakan sewaktu di tepi pantai menunjukkan waktu atau masa malam dan ada cahaya bulan. Selain cahaya projektor, terdapat juga pencahayaan umpama lampu jalan. Seterusnya cahaya di dalam hospital dengan menggunakan lampu neon dan samar menunjukkan kawasan yang beremosikan sedih dan sakit. Selain itu ketika kematian ibu Mazni yang banyak menggunakan warna yang malap dan pengcahyaan yang membawa penonton kepada mood simpati dan kasihan pada Mazni. Selain itu pengcahayaan juga melambangkan tempat seperti disko. Lampu yang pelbagai digunakan bagi melambangkan keadaan di dalam disko yang bersesuaian dengan alunan muzik dan tarian para pelakon. Pengcahayaan ketika di dalam rumah juga melambangkan masa dan keadaan pada masa itu.
 Kostum juga memainkan peranan penting di dalam sesuatu pementasan teater. Di dalam Teater Badai Semalam, para pelakon telah memakai pakaian yang berusur tahun 60-70 an. Dimana feshen yang diketengahkan bagi lelaki baju kemeja berbunga dan bercorak serta seluar yang berkaki besar dibawah. Perempuanpula pebih kepada baju kemeja yang dipakai ke dalam dan seluar berkaki besar, ‘dress labuh’ dan baju disco yang berlabuci. Berikut merupakan beberapa contoh fesyen pada tahun 70 an yang juga mempunyai persamaan dengan pemakaian pelakon-pelakon dan watak di dalam Teater Badai Semalam terutamanya Karim, Mazni dan Zaki.
Terdapat juga pemakaian mazni seperti baju kurung dan uniform sekolah yang melambangkan dia sebagai pelajar tingkatan 6 dan anak seorang bekas orang gaji yang menumpang di rumah bekas majikan. Tetapi pakaian mazni berubah dari semasa kesemasa terutama ketika babak karim di dalam hospital yang memerlukan mazni menukarkan baju sebnyak 3 kali melambangkan hari yang berbeza.
            Pakaian ibu mertua mazni dan Mahani juga melambangkan zaman 70 an di mana banyak memakai kain sarung dan kebaya pendek. Manakala orang gaji lebih kepada pakaian kain sarung dan baju kurung.
            Selain itu peranan juru solek juga penting dengan tatarias. Rambut yang dibentuk pada Mazni sangat mengikut fesyen pada era 70 an dan rambut serta solekan Dora juga menampakkan era pada waktu itu.
 Selain itu terdapat beberapa kesan khas dan dapat menarik penonton iaitu prop yang berada ditepi pantai dan babak permulaan dan pengakhiran ketika hujan dan mazni berada di stesen keretapi untuk meninggalkan Tanjung Puteri. Babak ini membuatkan penonton teruja dengan air hujan yang turun. Kewujudan kereta sport milik Karim di atas pentas juga lebih membawa penonton kedunia realiti pementasan. Penonton seperti dibawa ketempat realiti teater berkenaan sedangkan tempat-tempat tersebut hanyalah sekadar di atas sebuah pentas yang sama.
            Pada pendapat saya, set dan prop di dalam teater Badai Semalam sangat cantik, realism dan berjaya menarik perhatian penonton. Selain itu kewujudan set dan prop ini juga berjaya membawa mood para penonton untuk lebih memahami kronologi cerita dan konflik-konflik yang di lalui Mazni. Sebahagian kelemahan di dalam pementasan ini dapat dilupakan dengan kehebatan set dan prop pentas. Pengcahayaan dan kesan-kesan khas juga berjaya membuat penonton teruja dan seronok menonton. Disamping  karya yang hebat, pelakon yang terkenal, set, prop dan pencahayaan juga adalah faktor mengapa Teater Badai Semalam di minati oleh ramai peminat seni teater.
 RUJUKAN
B.A. Roy (1999). Stagecraft. Western Michigan University: National Textbook Company.
http://www.bharian.com.my/articles/BadaiSemalammenusukjiwa/Article/ Di perolehi pada 5            disember 2011

No comments: