Saturday, March 12, 2011

PENYATUAN SENI MERENTASI KURIKULUM AWAL KANAK-KANAK

PENGENALAN
Penyatuan seni merentasi kurikulum awal kanak-kanak adalah salah satu dasar dalam pembentukan kurikulum sama ada ia sebagai satu mata pelajaran atau ia digunakan sebagai bahan dalam pengajaran. Tugasan ini menghuraikan lebih terperinci mengenai penyatuan seni merentasi kurikulum kanak-kanak. Ia menghuraikan maksud kurikulum itu sendiri dan kaitannya dengan seni. Selain itu,tugasan ini juga memberi beberapa contoh aktiviti seni yang boleh digunakan di dalam beberapa mata pelajaran seperti matematik, bahasa, sains, pembelajaran sosial dan seni ekspresif. Seni adalah salah satu cara lain bagi memberi kanak-kanak peluang belajar dengan berkesan. Ia lebih menyeronokkan dan senang untuk kanak-kanak menerima pengalaman dari sumber pertama. 

PENYATUAN SENI MERENTASI KURIKULUM AWAL KANAK-KANAK
Merujuk Dever dan Jared (1996) penyatuan aktiviti seni di dalam pengajaran dan pembelajaran memberi sekurang-kurangnya dua faedah kepada pelajar. Pertama, seni memberi kanak-kanak peluang memikirkan tentang apa yang dipelajari seperti mereka mewujudkan perwakilan dan produk yang mencerminkan kefahaman baru mereka.  Misalnya apabila mereka bermain dengan tanah liat dengan membentuk haiwan di ladang, mereka mula belajar tentang haiwan yang di bentuk. Kedua, seni dapat membantu kanak-kanak mengenali ciri-ciri bahan yang di gunakan. Misalnya dalam membentuk haiwan di ladang, mereka dapat mengesan ciri-ciri tanah liat yang boleh membentuk dan melekit.
SENI DAN KURIKULUM AWAL KANAK-KANAK
Kurikulum digunakan untuk merujuk program pendidikan,aktiviti, tetapan aktiviti dan panduan yang di tetapkan oleh sekolah,kementerian ataupun organisasi tertentu. Dalam kata lain, kurikulum adalah merujuk kepada apa yang berlaku di sekolah ataupun pusat penjagaan. Terdapat dua pendapat mengenai kurikulum awal kanak-kanak.
·         Kurikulum sebagai program.
·         kurikulum sebagai isi, kandungan, atau bidang ilmiah
KURIKULUM SEBAGAI PROGRAM
Kurikulum merujuk kepada semua pembelajaran yang diperolehi kanak-kanak di dalam program yang ditetapkan. Hal ini merujuk kepada, pembelajaran kanak-kanak yang dirancang secara khusus melalui pengalaman samada secara langsung atau tidak langsung. Sebagai contoh, kanak-kanak belajar melalui konsep bermain. Kurikulum yang telah dibentuk adalah belajar sambil bermain. Pembelajaran yang diperolehi kanak-kanak adalah pengalaman mereka sepanjang proses pembelajaran berlangsung. Kanak-kanak belajar mengenai haiwan peliharaan dan diberi peluang melihat kucing, arnab dan hamster. Dalam pembelajaran ini kanak-kanak menerima pembelajaran melalui pengalaman mereka bermain dengan haiwan – haiwan peliharaan itu.
 Perkembangan kanak-kanak tidak boleh dibahagikan kepada bahagian-bahagian yang kecil, oleh itu kurikulum kanak-kanak juga tidak boleh dipisahkan secara entiti. Kurikulum kanak-kanak adalah saling berkaitan. kanak-kanak tidak mudah "tukar saluran" atau "menukar gear" untuk bergerak daripada matematik kepada pemikiran saintifik. pengetahuan dan kemahiran-kemahiran ini tidak tersusun dengan rapi mengikut matapelajaran tertentu. Disebabkan itu, matematik dan sains, komunikasi dan seni bahasa, dan seni ekspresif adalah digambarkan dengan bulatan-bulatan yang bertindih. Pengalaman seperti memasak dan bermain adalah sangat dicadangkan kerana mereka merentasi dan melibatkan pengajian dalam banyak, daripada  kawasan-kawasan kurikulum itu walaupun tidak semua. Walaupun pemisahan kurikulum ini bagus secara analisis, tetapi kanak-kanak adalah holistik dan pembelajarannya juga secara holistik. Misalnya,  mereka menceburi pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah yang boleh merentasi bidang matematik dan sains, seni, dan kajian sosial. 
SENI DAN MATEMATIK
Matematik boleh di gunakan di dalam seni. Kanak-kanak selalunya menjumlahkan bahan-bahan seni yang di gunakan. Mereka akan membandingkan alatan antara satu sama lain. Misalnya mereka membeza saiz krayon, kuantiti warna, bilangan berus dan banyak lagi. Kanak-kanak juga selalu menjumlahkan sesuatu yang mereka cipta atau lukis. Misalnya mereka melukis lukisan potret orang. Mereka akan memastikan bilangan mata, jari dan bahagian anggota lain. Selain itu mereka juga boleh mengenalpasti bentuk-bentuk geometri di dalam seni.
Diantara aktiviti yang di cadangkan:
1)      GAMBAR BERBENTUK GEOMETRI
Guru boleh melakukan aktiviti dengan menyuruh kanak-kanak menggunting kertas dan membentuk bentuk geometri. Misalnya, guru meminta kanak-kanak mencipta robot dari bentuk segitiga, segiempat dan bulat.selain itu guru juga boleh mengggunakan biskut untuk membentuk bentuk geometri.
2)      SENI KIUB
Kanak- kanak yang lebih besar mungkin menikmati untuk membuat sekeping gambar atau menggunakan kertas graf . Kertas graf dengan medan-medan besar adalah dicadangkan. Aktiviti ini memerlukan kesabaran dan tidak digalakkan untuk kanak-kanak kecil. Kertas mestilah di potong setengah atau sebahagian daripadanya jika kanak-kanak keliru dengan semua petak di kertas itu.
3)      GARISAN, ARCA DAN BULATAN
Kanak-kanak gembira menggunakan alatan matematik seperti pembaris, kompas dan  protraktor. Arahan khusus bagi penggunaan alat-alat ini harus di beri. Modelkan penggunaan  pembaris, kompas dan protraktor dengan cara yang berbeza-beza bagi menghasilkan reka bentuk dan corak yang menarik. Kanak-kanak akan tertarik untuk mewarna ruang yang terbentuk atau menyampung antara garisan dengan tebal.
4)      KEPELBAGAIAN PEMBENTUKAN KERTAS
Seni boleh dihasilkan dengan pelbagai bentuk seperti bulat, segitiga, segiempat sama, segiempat tepat dan bentuk ganjil. Setiap bentuk yang unik memberi cabaran kepada kanak-kanak.
Guru boleh membincangkan tentang bentuk-bentuk yang terhasil. Seperti guru menunjuk bentuk kertas dan pelajar menamakan bentuk tersebut. Selain itu guru boleh meminta kanak-kanak mengkategorikan bentuk-bentuk dengan mengeluarkan gambar seperti roda yang boleh dikategorikan bulat, layang-layang bentuk permata dan layar kapal bentuk segitiga.
Guru juga boleh memperkenalkan konsep pecahan dengan meminta kanak-kanak memotong seberapa banyak bentuk segitiga daripada kertas bentuk segitiga yang besar.
5)      PAPAN GEOMETRI
Kanak-kanak boleh membentuk bentuk geometri diatas papan geometri dengan menggunakan getah pengikat. Papan geometri dibuat dengan menggunakan papan dan paku. Paku ditutup dengan getah pelindung bagi keselamatan kanak-kanak. Barisan di papan bergantung kepada saiz papan. Galakan pelajar dengan menjawab soalan-soalan seperti:
·         Berapa bilangan paku dipapan?
·         Berapa paku diperlukan bagi membentuk bulatan?
·         Adakah paku diperlukan lebih untuk membentuk segitiga?
·         Berapakah bentuk yang boleh dihasilkan dengan menggunakan 10 paku?
6)      REKA BENTUK TALI
kanak-kanak boleh membuat rekaan-rekaan linear abstrak dengan tali pada sebuah bingkai kayu. Guru boleh memaku bingkai kayu bagi menggalakkan kanak-kanak menyambung garisan-garisan tersebut dengan  tali atau benang. Kanak-kanak akan mengesan jenis-jenis bentuk, corak dan sudut.
7)      TANGRAM
Tangram adalah sejenis teka teki china yang lama. Ia mengandungi 7 sudut bagi membentuk empat segiempat tepat. Selain itu ia juga boleh digunakan sebagi penyatuan gambar. Guru boleh membuat menggunakan kertas tebal dan keras.
8)      CORAK KRAYON
Membuat corak dengan menggunakan krayon.
9)      KAEDAH MENGGOSOK
Guru boleh menggunakan kaedah angka dan domino. Guru melukis di atas kertas dengan menggunakan krayon putih, kanak-kanak di minta mewarna di atas kertas. Angka akan kelihatan. Guru baca angka bersama kanak-kanak. Guru juga boleh meminta kanak-kanak menggosok kertas di atas domino. Bilangan bintik akan kelihatan. Ini boleh digunakan bagi memperkenalkan konsep penolakan.
Selain itu guru juga boleh menggunakan kaedah siri nombor, penambahan dan kad matematik. Kesemua kaedah ini adalah seperti penyusunan menaik dan menurun nombor, pengiraan jari dan kad imbas.
SENI DAN SAINS
Sains boleh digunakan dalam seni apabila kanak-kanak melakukan eksperimen dengan alatan atau bahan seni mereka.misalnya tanah liat yang keras bila di jemur di tengah panas, krayon yang cair bila di tempat panas dan pemcampuran dua warna asaa yang menghasilkan warna kedua yang lain. Selain itu, kanak-kanak juga belajar tentang kepekatan cecair dan daya tekanan.
Antara aktiviti yang menyatukan seni dan sains adalah:
1)      KOLAJ KUMPULAN MAKANAN
Setelah belajar tentang kumpulan makanan, guru boleh menyuruh kanak-kanak mencari gambar-gambar makanan untuk dilekat mengikut kategorinya.
2)      SENI SEMULAJADI
Kanak-kanak gembira apabila diberi peluang menikmati alam semulajadi dengan membuat pemerhatian kepada pokok –pokok. Mereka boleh mengumpul bahan-bahan semulajadi seperti pokok,daun, bunga dan lain-lain. Kemudian mereka akan diminta untuk melekatkan bahan-bahan itu di dalam buku.
Selain itu kanak-kanak juga suka melakukan aktiviti menggosok bahan-bahan semulajadi. Seperti menggosok daun dengan warna dan hasilnya akan tercetak corak daun itu pada kertas yang digosok.
Kanak-kanak juga boleh menikmati aktiviti mengecat. Misalnya, kanak-kanak mengecat daun dan melekapkannya di atas kertas pada tempat dan posisi yang berbeza. Corak daun akan tercetak dan kanak-kanak akan melihat reka bentuk yang baru.
Kanak- kanak juga boleh mewarna dan melukis corak di atas batu. Mereka akan gembira apabila melihat reka bentuk yang terhasil.
3)      PERCAMPURAN WARNA, WARNA AJAIB DAN EKSPERIMEN WARNA.
Aktiviti ini mengajar kanak-kanak tentang perubahan dalam percampuran warna. Misalnya, kanak-kanak meniup biru merah dan kuning diatas kertas lukisan dan membiarkan warna itu bercampur. Mereka akan melihat hasil dari warna-warna itu. Selain itu mereka juga akan terpegun apabila melihat setiap warna asas bertukar menjadi warna skunder.
Proses pembelajaran ini melibatkan pemerhatian, penerangan, hipotesis dan perbincangan. Selain itu, kitar semula juga dapat membantu pelajar mengenali ekologi kehidupan dan secara tak langsung berkaitan dengan ilmu sains.
SENI DAN BAHASA/ SENI KOMUNIKASI
Seni memberi peluang kepada kanak-kanak memberitahu sesuatu samada secara nonverbal atau grafik. Dengan galakan juga, kanak-kanak akan menceritakan kepada kita apa yang telah dicipta atau reka. Kanak-kanak membaca kerja seni mereka, sepertimana orang dewasa membaca buku. Dalam masa yang sama, kanak-kanak menikmati jalan cerita dan tajuk gambar mereka. Kanak- kanak digalakkan membacanya bersama-sama guru. Kanak-kanak yang lebih besar akan cenderung untuk mencetak perkataan sendiri sebagai jalan cerita. Mereka akan mencipta dan mengeja dengan salah. Ini yang sepatutnya terjadi kerana ia adalah peringkat terpenting untuk kanak-kanakbermula untuk menulis dan membaca. Menconteng, membuat tanda, dan mengecat adalah peringkat terpenting dalam perkembangan mewarna dan menulis.
Disebabkan seni adalah luahan tanpa suara, ia tidak melibatkan bahasa dan tidak melibatkan  kefahaman arahan pertuturan. Kanak-kanak boleh menyelesaikannya sendiri dan membuat pemerhatian antara satu sama lain. Seni adalah masa terbaik untuk kanak-kanak mempertingkatkan penggunaan bahasa mereka. Seni juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memperbanyakkan kosa kata mereka. Mereka dapat berbincang dan bertukar fikiran antara satu sama lain. Guru dapat membantu kanak-kanak menggunakan perkatan dengan betul.
Menurut Anne Haas Dyson (1982,1985,1986,1988,1989,1990) mengkaji bahawa kaitan diantara kanak-kanak dengan gambar dan cetakan adalah berperanan kritikal dalam seni dan pengaruh dalam perkembangan kanak-kanak sebagai simbol bertulis. Melukis adalah permulaan bagi mengenal huruf kerana melukis dan bahasa menyediakan kanak-kanak peluang untuk refleksi, menyusun dan berkongsi pengalaman. Mereka juga menyelesaikan masalah visual. Masalah yang di selesaikan mempengaruhi teks yang telah mereka cipta. Walaupun mereka diberi peluang untuk dibantu sebagai permulaan menulis, namum kanak-kanak harus menguasai dan menerokai penggunaan pensil agar mereka memahami simbol dan ertinya.
Diantara aktiviti yang menyatukan seni dan bahasa/ seni komunikasi atau mengenal huruf:
1)      SENI BERTUTUR
Guru menggalakkan kanak-kanak menceritakan tentang seni yang dihasilkan.
2)      BONEKA
Membuat boneka adalah seni yang akan melibatkan kanak-kanak dengan pertuturan. Misalnya, kanak-kanak yang permalu akan rasa selesa bercakap di sebalik rak buku dan menunjukkan bonekanya ke atas. Secara psikologinya dia merasakan yang dia tidak bercakap, tetapi boneka itu yang bercakap.
3)      MENDENGAR DAN MELUKIS
Aktiviti ini dapat membantu kanak-kanak mendengar dan mengikut arahan dengan baik. Guru yang kreatif dapat mencorakkan aktiviti menjadi lebih pelbagai.
Terdapat banyak lagi aktiviti yang dapat dibuat oleh guru bagi menggalakkan kanak-kanak meningkat dalam bahasa dan komunikasi atau pengenalan huruf. Misalnya, menulis nama mereka, meminta mereka memperkenalkan diri di hadapan rakan-rakan dengan menggunakan namayag dihias, menulis, menekap dan mengecat huruf.
SENI DAN PEMBELAJARAN SOSIAL
Seni membantu kanak-kanak berhubung antara satu sama lain. Mewakili diri sendiri melalui potret-potret dan lukisan-lukisan bentuk manusia dan meningkatkan satu kesedaran pada diri, bahagian badan dan lain-lain. Melalui seni, seseorang dapat mengenal pasti peranan seseorang pelukis itu.Kajian mengenai pelukis boleh menjadi sebahagian daripada pengajaran dalam bantuan kemasyarakatan. Kanak-kanak boleh melawat muzium atau galeri. Pelukis itu juga boleh menghadirkan diri di sekolah dan menunjukkan proses lukisan dan kerja-kerjanya dihadapan kanak-kanak. Mereka boleh melakukannya bersama kanak-kanak. Hal ini dapat menerangkan tentang pengenalan kepada sejarah dan budaya, kerana pelukis mempunyai cara mereka yang berbeza-beza sejak zaman prasejarah lagi. Perbezaan budaya dan kumpulan ini dapat membentuk jenis seni yang berbeza.
Seni adalah satu element budaya. Menurut Mcfee (1993), seni adalah bentuk komunikasi budaya, ia adalah salah satu asas kemahiran berbahasa yang perlu kanak-kanak sertai dalam demokrasi budaya yang pelbagai. Semua budaya mempunyai seni yang tersendiri. Pengalaman kanak-kanak dalam menghormati dan menghargai seni orang lain memberi kanak-kanak kefahaman tentang persamaan dan perbezaan budaya.
KEPELBAGAIAN BUDAYA SENI DAN KRAFT
Salah satu komitmen dalam kebudayaan yang pelbagai adalah memperkanalkan seni dan kraft pelbagai budaya kepada kanak-kanak. Sejak permulaan zaman, setiap manusia sudah mula menyiap dan mereka seni dan kraft yang berciri-cirikan budaya mereka. Mereka yang dewasa di negara-negara di mana kraf-kraf telah diajar kepada mereka sejak kanak-kanak mungkin  merasa selesa dengan mengajar kraf-kraf kepada kanak-kanak pada peringkat awal. Guru lain mungkin menentang cara ini. Mendedahkan artifak budaya dan kraft serta mangajar kanak-kanak bagaimana proses-prosesnya dilakukan membangkitkan beberapa isu.
Pertama, kebanyakkan seni dan kraft dibuat oleh orang dewasa, kecenderungan untuk mengajar kepada kanak-kanak menyebabkan pendekatan berpusatkan guru yang mana hasilnya  lebih banyak daripada proses perkembangan kanak-kanak. Hal ini membangkitkan isu perkembangan kreativiti dan kesesuaian pelajaran kepada kanak-kanak. Walaupun niat guru adalah untuk memperkenalkan kraft kepada kanak-kanak, tetapi peringkatnya tidak sama dengan tahap kanak-kanak. Berkemungkinan kanak-kanak akan cepat putus asa dan kegagalan mereka akan menyebabkan mereka hanya akan mengikut arahan guru dan menggunakan kemahiran diluar keupayaan mereka. Kedua, sesetengah kraft seperti melukis batik atau teknik ikat celup, bukan sahaja susah, tetapi berbahaya kepada kanak-kanak. Ketiga, adalah risiko jika kraft itu tidak mencerminkan keseluruhan semua budaya. Hal ini akan menyebabkan berlakunya satu stereotaip dan penafian usaha-usaha menggambarkan sesuatu budaya dengan tepat. Keempat, kajian mengenai kraf-kraf mewakili sesuatu budaya harus dilakukan dalam satu cara yang holistik dan bersepadu, kerana mengelak dari penentangan secara rawak. Guru harus membantu kanak-kanak dalam mengetahui persamaan budaya dalam membuat, seni dan kraft termasuklah nilai-nilai dan pengiktirafan dalam perbezaannya.
Diantara aktiviti yang menyatukan pembelajaran sosial dan seni:
1)      BUKU TENTANG “SAYA”
Kanak-kanak digalakkan membuat buku yang menceritakan tentang diri mereka secara kreatif.
2)      KEMBAR SAYA
Kanak-kanak diberi dalam bentuk kumpulan dan melukis satu sma lain diatas kertas yang besar dan panjang. Apabila seorang baring di atas kertas, kank-kanak yang lain menekap rakan mereka secara keseluruhan. Satu kumpulan sebaik-baiknya berdua.
3)      BENDERA KELUARGA
Kanak-kanak di beri galakan membuat bendera tentang mereka dan keluarga. Simbol yang menunjukkan keluarga mereka.
Terdapat banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat bersama kank-kanak bagi menggalakkan seni dalam pembelajaran sosial. Misalnya persaan boneka, mural di dinding, cerita mngenai percutian mereka dan bercerita tentang album keluarga masing-masing.
SENI DAN SENI EKPRESIF
Seni adalah salah satu dari seni ekspresif. Muzik dan pergerakan adalah antara dua seni ekpresif yang penting dalam perkembangan kanak-kanak. Kedua-duanya adalah seni yang tidak bersuara. Kanak-kanak menyampaikannya melalui pergerakan mereka.
Di antara aktiviti yang menyatukan seni dan seni ekspresif adalah:
1)      CATAN MUZIKAL
Guru galakan kanak-kanak untuk cat atau warna jenis-jenis muzik yang berbeza.hal ini, termasuklah klasik, pop dan muzik rock. Mereka boleh berbincang tentang susunan warna dan bentukkan reka bentuk berpandukan tempo muzik tersebut.
2)      KOSTUM DAN PROP
Kanak-kanak boleh mereka bentuk, cat atau warna topeng, kostum, latar belakang babak dan prop yang digunakan dalam persembahan teater atau pergerakan kreatif.
3)      ALAT-ALAT MUZIKAL
Kanak-kanak boleh membuat alat-alat muzik sendiri seperti gitar dan dram. Mereka boleh menggunakan kotak kasut atau tin biskut bagi membentuk alat muzik ciptaan sendiri.
Selain dari aktiviti-aktiviti ini, guru juga boleh menggalakkan murid untuk membuat alatan menari sendiri seper tali atau pun hiasan pada gelung.
KESIMPULAN
Kurikulum mempunyai maksud yang berlainan bagi sesetengah orang. Ia boleh dikatakan sebagi satu program ataupun satu mata pelajaran. Penggunaan seni dalam mata pelajaran lain dapat membantu kanak-kanak gembira dalam mata pelajaran tersebut dan membolehkan mereka lebih memahami mata pelajaran tersebut. Penggunaan kurikulum dalam matematik dan sains dapat membantu kanak –kanak mengetahui sesuatu pelajaran dengan lebih baik seperti mengingat nombor dan warna. Kanak-kanak juga dapat memberi pendapat dan gembira dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Bagi mata pelajaran ekspresif seni, kanak-kanak di latih menjadi lebih kreatif. Hal ini akan melatih kank-kanak menjadi seorang yang lebih bijak dalam menyelesaikan masalah. Penyatuan seni dalam kurikulum awal kanak-kanak amat berfaedah kepada pendidikan awal kanak-kanak di mana ia dapat memberi perkembangan yang holistik dalam pembelajaran kanak-kanak.

No comments: