Saturday, March 12, 2011

KEMUNCULAN PARTI-PARTI POLITIK SELEPAS PENDUDUKAN JEPUN YANG BERTANGGUNGJAWAB KEPADA PEMBEBASAN RAKYAT TANAH MELAYU DI BAWAH BELENGGU PENJAJAHAN BRITISH

1.0       Pengenalan

 Pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1941-1945) iaitu lebih kurang 3 tahun 8 bulan telah menggalakkan kemunculan dan kemajuan semangat kebangsaan di negara ini. Kesedaran anti penjajahan yang tersebar selepas perang dunia kedua telah melahirkan nasionalis golongan Melayu membabitkan diri dalam politik, sama ada dalam pendekatan yang radikal atau sederhana. Pengalaman menjawat jawatan kanan seperti pegawai daerah serta pelbagai tekanan ekonomi di zaman Jepun ini telah menimbulkan rasa kendiri dalam diri orang Melayu itu untuk memerintah negara sendiri.
Pada zaman ini juga wujud permusuhan kaum. Pertelagahan berlaku antara kaum Melayu dan Cina yang akhirnya membentuk penubuhan parti- parti politik mengikut kaum yang mendukung penubuhannya. Kekalahan Jepun menyemarakkan lagi pihak kolonial British untuk menghidupkan gagasan Malayan Union yang pernah difikir semasa perang berlangsung lagi. Pelaksanaan ini merupakan faktor penting dalam sejarah Malaysia kerana ia telah menghidupkan dan memarakkan semangat orang Melayu. Yang paling penting ia telah memulakan gerakan politik anti British dengan cara terbuka. Malah merupakan bibit-bibit permulaan perpaduan orang Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Perjuangan ini bertambah pesat ekoran terlaksananya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Darurat yang berlangsung selama 13 tahun itu telah mempercepatkan lagi proses kemerdekaan Tanah melayu. Hinggalah tahun 1955 iaitu apabila pilihanraya Persekutuan/umum diadakan, politik Tanah Melayu mengalami perubahan drastik ekoran pendudukan Jepun. Jelas dilihat selepas perang Dunia ke-2. British terpaksa rela menyediakan dan melatih serta membimbing anak-anak Melayu tempatan menerajui negara.

Tugasan ini telah menghuraikan konsep sebenar Malayan Union dan sebab-sebab tentangan dari kebanyakan orang Melayu terhadap Malayan Union. Selain itu, tugaan ini juga menghuraikan penubuhan parti-parti politik berikutan gagasan Malayan Union. Antaranya UMNO, PKMM, PKM dan AMCJA..
2.0       Malayan Union 1946

            Malayan Union telah diperkenalkan oleh Parti Buruh Britain beberapa bulan selepas British menduduki semula  Tanah Melayu. Menurut British, Malayan Union adalah satu langkah pentadbiran dan parti politik yang sangat maju. (Ramlah ,1993). Semangat nasionalisme penduduk tempatan khususnya orang melayu semakin tinggi dengan tertubuhnya Malayan Union ini. Sebelum ini, mereka merasakan adat dan tradisi mereka tercabar, tetapi Malayan Union telah menukarkan taraf negeri-negeri Melayu  daripada negeri naungan British kepada jajahan langsung British iaitu ini adalah antara salah satu usaha untuk memanjangkan lagi tempoh penjajahan British di Tanah Melayu. Malayan Union juga telah memperkenalkan prinsip jus soli iaitu  kewarganegaraan diberikan kepada semua orang asing yang dilahirkan di Tanah Melayu serta mereka yang berumur 18 tahun keatas dan yang telah bermastautin selama 10/15 tahun sebelum 15 februari 1942 iaitu tanpa diskriminasi kaum, serta menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu.  Ini telah menyebabkan hak istimewa orang Melayu sebagai bumiputera telah terhapus.  Orang Melayu telah ditipu dengan usaha untuk memberikan kemerdekaan oleh Malayan Union sedangkan kuasa pemerintahan Tanah Melayu , iaitu kuasa sultan telah dilucutkan. Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent adalah merupakan Gabenor yang pertama. Tetapi pelaksanaan sepenuhnya Malayan Union tidak dapat dijalankan kerana mendapat tentangan Orang-orang Melayu terhadap Edward Gent.

2.1       Sejarah pembentukan Malayan Union
Awal tahun 1942, kerajaan British telah menubuhkan ‘’Unit Perancangan Tanah Melayu’’ di United Kingdom untuk menyediakan pembinaan Tanah Melayu selepas Perang Dunia ke-2 tamat. Unit perancangan itu dinamakan sebagai Malayan Planning Unit (MPU) dan di ketuai oleh Mejar-General Ralph Hone. Beliau diberi tugas untuk merangka satu bentuk pentadbiran baru untuk Tanah Melayu selepas perang tamat MPU ini ditubuhkan berikutan kekalahan British di Tanah Melayu atas tangan Jepun dalam masa yang singkat, dan ianya memberi ruang kepada British untuk berfikir terhadap kelemahan pentadbiran mereka di Tanah Melayu.. Hasrat kerajaan British untuk menyediakan Tanah Melayu terhadap kemerdekaan adalah sebab utama pembentukan Malayan Union yang telah di nyatakan dalam kebanyakan buku-buku Inggeris. Ini dilihat sebagai satu kewajaran kerana British telah menandatangani Piagam Atlantik pada 14 ogos 1941. Piagam ini mengatakan bahawa semua Negara dunia berhak untuk menentukan dan memerintah Negara sendiri (Merdeka). Harold MacMichael dihantar ke Tanah Melayu pada 11 Oktober 1945 untuk mendapatkan tandatangan Sultan-sultan  bagi mempersetujui penubuhan Malayan Union ini. Perlaksanaan tugasnya dari 18 Oktober hingga 21 Disember 1945. Pada masa yang sama, parlimen British telah mengeluarkan ‘’kertas putih’’ yang mengandungi cadangan-cadangan Malayan Union.
Antara cadangan perlembagaan Malayan Union mengandungi dua fasal utama, iaitu berkaitan dengan pentadbiran dan kerakyatan. Terdapat tujuh cadangan yang terkanjung dalam fasal pertama iaitu berkaitan dengan pentadbiran. Antaranya  adalah negeri-negeri melayu bersekutu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan manakala negeri-negeri melayu tidak bersekutu adalah Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Dua buah negeri-negeri selat  iaitu Pulau Pinang dan Melaka digabungkan sebagai satu unit politik yang dikenali sebagai Malayan Union. Manakala Singapura diasingkan dari Malayan Union kerana jumlah penduduk Cinanya yang ramai, kedudukan yang strategik dan taraf pelabuhan yang bebas. Singapura menjadi wilayah yang berasingan dan ditadbir oleh seorang Gabenor. Selain itu, kedudukan sultan-sultan dikekalkan tetapi kekuasaan serta kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran. Kuasa sultan hanya tertumpu dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam melayu, dimana mereka dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Melayu negeri masing-masing. Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan sebagai badan yang menguruskan hal-ehwal tempatan tetapi diletakkan di bawah kawalan langsung kerajaan pusat.
Antara cadangan lain yang terdapat dalam fasa pentadbiran adalah Malayan Union akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British dengan berpusatkan pentadbiran yang diketuai oleh Gabenor di Kuala Lumpur. Gabenor akan menjalankan pentadbiran dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan Pusat. Selain itu, Majlis Penasihat juga ditubuhkan. Seorang gabenor Jeneral dilantik untuk mengawasi pentadbiran Malayan Union, Singapura dan wilayah Borneo.
Cadangan-cadangan perlembagaan Malayan Union yang terkandung dalam fasal dua iaitu berkaitan dengan kerakyatan. Dalam fasal ini, perlembagaan Malayan Union memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Syarat kerakyatan yang dikemukakan adalah seseorang itu mestilah lahir di Tanah Melayu atau Singapura. Mereka juga tinggal di Tanah Melayu selama 10 Tahun daripada tempoh 15 tahun yang terdahulu sebelum 15 Februari 1942. Ianya juga boleh dikira warganegara sekiranya lahir di Tanah Melayu, tetapi ibu atau bapa atau kedua-duanya adalah warganegara Malayan Union. Bagi mereka yang tidak layak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan, mereka bolehlah memohon menjadi warganegara selepas tinggal di Tanah Melayu selama lima tahun.

2.2       Sebab-sebab penubuhan Malayan Union
Antara sebab-sebab penubuhan Malayan Union adalah bagi mewujudkan keseragaman dan kecekapan. Dalam aspek ini, Malayan Union dilaksanakan supaya dapat mewujudkan keseragaman atau kecekapan dalam pentadbiran seluruh Tanah Melayu. Sebelum tercetusnya perang dunia, terdapat tiga bentuk pentadbiran yang tidak seragam, iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tudak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Sistem pentadbiran sebelum perang perlu dihapuskan kerana ianya mempunyai banyak kelemahan. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya bukan sahaja dapat mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, tetapi juga menjimatkan belanja pentadbiran.
Selain itu, Malayan Union ditubuhkan bagi melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu. Semangat ini ingin dilahirkan terutamanya di kalangan orang-orang Cina dan India. Taat setia orang Cina dan India masih lagi ke Negara asal mereka. Diharapkan dengan pemberian kerakyatan yang longgar, orang Cina dan India akan menumpukan taat setia kepada Tanah Melayu apabila  mereka menjadi warganegara Malayan Union. Malayan Union juga bertujuan untuk mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, perkembangan ekonomi antara negeri tidak seimbang. Secara umumnya, negeri-negeri selat dan negeri-negeri melayu Bersekutu lebih maju daripada negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya akan mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu.
Menurut British, Malayan Union merupakan persiapan Tanah Melayu menuju kearah berkerajaan sendiri. Sebelum hasrat ini tercapai, pentadbiran yang stabil perlu diwujudkan. Selain itu, kesedaran sifat cintakan Negara perlu ditanam di kalangan penduduk  seluruh Tanah Melayu. Malayan Union juga dilaksanakan bagi meneruskan usaha British untuk menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu sebagai satu unit politik seperti yang dijalankan sebelum Perang Dunia Kedua. Penubuhan Malayan Union akan membolehkan British meneruskan penguasaannya keatas politik dan ekonomi Tanah Melayu kerana Malayan Union akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British. Antara tujuan lain Malayan Union dilaksanakan adalah untuk membalas dendam terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. Menurut James V. Allen juga mendakwa penubuhan Malayan Union bertujuan mengenang jasa orang Cina yang telah bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun dari Tanah Melayu. Akibatnya, perlembagaan Malayan Union dirangka sebegitu rupa yang menguntungkan orang Cina yang berkaitan dengan kerakyatan.
Antara lain, Malayan Union dilaksanakan bagi menghalang usaha ke arah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh pennduduk Tanah Melayu, terutamanya orang Melayu. Sejak pendudukan Jepun, orang Melayu telah berusaha untuk mendapatkan kmerdekaan. Usaha mereka akan terhalang kerana Malayan Union akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British. Sebab terakhir Malayan Union ditubuhkan adalah bertujuan memudahkan British menyusun strategi pertahanan. Sebelum perang Dunia Kedua, British mendapati sukar untuk menyusun strategi pertahanan Tanah Melayu kerana bukan semua negeri ditadbir seecara langsung oleh British. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya memudahkan British menyusun strategi pertahanan berkesan.

2.3       Penentangan Malayan Union oleh orang Melayu
     Pengenalan dan penubuham Malayan Union telah menimbulkan penentangan hebat dari orang Melayu. Ini kerana orang melayu tidak bersetuju dengan cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan bagi mempersetujui penubuhan Malayan Union. Semasa diminta untuk menandatangani perjanjian tersebut, Sultan-sultan tidak diberitahu tentang cadangan-cadangan yang terkandung dan perlembagaan Malayan Union. Sultan-sultan juga tidak diberi masa cukup untuk meneliti kebaikan dan keburukan Malayan Union. Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan berbincang dengan pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri sebelum menandatangani persetujuan penubuhan Malayan Union. Ugutan Harold MacMichael telah menambahkan kemarahan orang Melayu. Sekiranya mana-mana Sultan enggan menandatangani persetujuan penubuhan MU, Sultan tersebut akan dianggap pro-Jepun dan disingkirkan dari takhta. Contoh yang jelas ialah Sultan Badlishah yang diberi kata dua sama ada menandatangani persetujuan penubuhan MU atau turun dari takhta.

Penubuhan Malayan Union akan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal-ehwal Islam dan adat resam Melayu. Malah kuasa Sultan dalam hal-ehwal Islam juga terjejas apabila British mencadangkan penubuhan Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh Gabenor. Sultan-sultan dianggap sebagai pelindung orang Melayu. Kemerosotan kuasa Sultan bererti kehilangan kuasa orang Melayu. Selain itu, disebabkan oleh prinsip jus soli, orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat  Malayan Union ini. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana merek masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Pemberian taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang sudahpun menguasai ekonomi akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu.

Orang Melayu juga menentang Malayan Union kerana mereka menyedari perlembagaan Malayan Union merupakan balas dendam British terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen mendakwa, sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang Melayu bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan Malayan Union amat merugikan orang Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak istimewa dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan.  Malayan Union dilaksanakan pada masa cemas dalam hubungan antara orang Melayu dan Cina akibat pemerintahan Jepun. Oleh itu, orang Melayu mendakwa perkembangan ini dilaksanakan dalam suasana anti Melayu dan pro Cina kerana Malayan Union merugikan orang Melayu dan menguntungkan orang Cina.

Orang Melayu tidak terlibat dalam merangka perlembagaan Malayan Union. Perlembagaan itu dirancang oleh Pegawai British dalam Malayan Planning Unit (MPU) di London. Pendapat orang Melayu langsung tidak diminta oleh British semasa mereka merangka perlembagaan tersebut. Diantara bentuk-bentuk penentangan yang dibuat adalah dalam bentuk media massa. Akhbar-akhbar telah memainkan peranan penting dalam membangkitkan penentangan orang Melayu. Akhbar-akhbar telah mendedahkan keburukan dan kerugian yang akan dialami oleh orang Melayu jika Malayan Union dilaksanakan. Orang Melayu telah diseru supaya bersatu dalam usaha menentang Malayan Union. Orang Melayu juga diseru supaya memulihkan pertubuhan yang telah wujud dan menubuhkan pertubuhan baru. Pertubuhan-pertubuhan ini perlu digabungkan bagi menguatkan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union. Berita tentang penentangan orang Melayu dimuatkan dalam akhbar untuk pengetahuan semua orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Di antara akhbar-akhbar tersebut ialah Utusan Melayu, Warta Negara, Majlis dan Pelita Malaya.

            Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah bersatupadu dan bekerjasama dalam usaha menentang Malayan Union. Mereka telah menulis surat kepada Raja British dan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu bagi memohon sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Mereka juga mendesak Kerajaan British dan Pejabat Tanah Jajahan membatalkan rancangan penubuhan Malayan Union dan merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu khususnya yang dapat melindungi kepentingan orang Melayu. Bekas pegawai British tersebut telah menulis dalam akhbar di Britain, terutamanya akhbar Times untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Antara bekas pegawai British tersebut ialah Frank Swettenham, Authur Richard, Cecil Clementi, Rolland Braddle dan Winstreadt. Orang-orang Melayu telah mengadakan perarakan dan perhimpunan di semua ibu negeri dan di bandar-bandar lain di Tanah Melayu untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap Malayan Union. Sebagai contoh: pada 15 Disember 1945, 10 ribu orang telah berkumpul di hadapan istana di Kota Bahru semasa Harold MacMichael menemui Sultan untuk mendapatkan tandatangan. Pada 25 Januari 1946, hampir 5000 orang telah mengadakan perhimpunan di Padang Mahkamah, Alor Setar. Pada 10 Februari 1946, perhimpunan yang dihadiri oleh 15 ribu orang diadakan di Johor Bahru. Satu perhimpunan raksasa yang dihadiri lebih 50 ribu orang diadakan di Kuala Kangsar pada 10 Mac 1946.

Hasil dari daya usaha Kesatuan Melayu Selangor dan Dato’ Onn bin Jaafar, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Kongres tersebut dihadiri 107 perwakilan dan 56 pemerhati dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu. Kongres tersebut telah mendesak orang Melayu supaya bersatu dan berusaha untuk menentang Malayan Union. Kongres tersebut juga mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang akan dianggotai oleh orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya kedua diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu tersebut. Akibatnya lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO dalam Kongres Melayu Se-Malaya ketiga di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Dato’ Onn bin Jaafar dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama.

Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, British tetap mahu melaksanakan Malayan Union. Akibatnya, Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah memulaukan upacara panubuhan Malayan Union dan perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor pertama pada 1 April 1946. Selama seminggu sejak penubuhan Malayan Union, orang Melayu telah mengadakan perkabungan untuk menunjukkan betapa sedihnya mereka akibat penubuhan Malayan Union. Dalam perkabungan tersebut, kaum lelaki Melayu memakai songkok yang dililit kain putih manakala kaum wanita Melayu melilitkan kain putih di lengan baju mereka. Perkabungan orang Melayu mendapat simpati orang asli. Diberitakan dalam akhbar Pelita Malaya, bertarikh 5 April 1946, orang-orang Sakai di Ulu Langat turut serta menyertai aktiviti berkabung ini. Mereka telah keluar ke Pekan dengan memakai bunga-bunga kabung. Ahli-ahli Melayu dalam Majlis Penasihat menarik diri untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap Malayan Union.

3.0       Penubuhan United Malay National Organisation (UMNO)
            Gagasan Malayan Union pada masa itu ditentang oleh orang-orang melayu secara berasingan, seolah-olah tidak ada kesepaduan di dalam tindakan-tindakan yang dilakukan. Melihat kepada keadaan ini pihak akhbar-akhbar Melayu pada masa itu seperti akhbar Majlis, Utusan melayu dan Warta Negara telah menyeru para pemimpin Melayu supaya menyatukan seluruh gerakan-gerakan mereka yang ada agar menjadi lebih teratur dan tersusun.
            Seruan daripada akhbar-akhbar melayu telah disahut oleh Dato’ Onn jaafar yang merupakan Yang Dipertua Pergerakan Melayu Seluruh Johor (PMSJ). Beliau telah mengambil inisiatif dengan menulis surat kepada semua persatuan-persatuan Melayu supaya diadakan satu kongres yang dapat menyatukan seluruh penduduk melayu didalam satu kesatuan. Surat terbuka Dato’ Onn ini telah disiarkan dalam akhbar majlis keluaran 24 januari 1946.
            Persatuan-persatuan Melayu dan indvidu telah menyambut baik cadangan Dato’ Onn yang ingin melihat orang melayu bersatu dalam menentang malayan Union. Bermula dari surat tersebut, akhirnya terlaksanalah satu perjumpaan dan perhimpunan secara besar-besaran persatuan melayu di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.
            Pada 1-4 Mac 1946 bertempat di Padang Kelab Sultan Sulaiman,Kuala Lumpur perhimpunan ini diadakan selepas PMSJ cawangan Melaka menarik diri daripada menganjurkannya, maka Kongres Melayu SeTanah Melayu yang pertama pun diadakan dan dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sulatan Hishammudin Alam Shah. Dalam kongres itu seramai 107 orang wakil dan 56 orang pemerhati daripada 41 buah persatuan dari negeri-negeri di Tanah Melayu telah menghadirinya. Di samping itu ribuan orang melayu yang hadir berhimpun mendengar wakil-wakil berbincang. Dato’ Onn Jaafar telah dipilih sebulat suara untuk mempengerusikan persidangan tersebut. Hasil daripada kongres meleyu yang pertama ini, tercetusnya penubuhan UMNO atau         PEKEMBAR ( Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Satu jawatankuasa untuk merangka perlembagaan pertubuhan kebangsaan itu telah ditubuhkan. Ia terdiri daripada Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang dan Dato’ Nik Ahmad Kamil.
            Selama empat hari kongres berjalan, tidak timbul sebarang masalah. Kesemua persatuan yang hadir memberi kerjasama kepada beliau. Cadangan Dato’ Onn untuk menubuhkan satu pertubuhan kebangsaan melayu  dipersetujui ; tetapi namanya diubah kepada UMNO atau PEKEMBAR yang asal telah dipinda pleh Za’ba dan Dato’ Hamzah. Pada hari kedua persidangan kongres itu membincangkan soal Malayan Union , ahli kongres mengutuk cara Harold macMichael mengmbil tandatangan Raja-Raja melayu dan mengutuk malayan Union. Kongres ini akhirnya membuat satu resolusi di akhir persidangan. Resolusi ini dihantar ke Pejabat Tanah Jajahan sebagai satu bantahan bertulis orang melayu secara kolektif.
            Pada 29-30 Mac 1946, Dato’ Onn telah mengadakan kongres tergempar untuk membincangkan tindakan-tindakan yang akan diambil untuk menghalang kerajaan inggeris daripada melaksanakan Malayan Union di Tanah Melayu. Kongres ke- 2 ini telah mengmbil ketetapatan agar orang-orang melayu memulaukan majlis perlantikan Gabenor Jeneral dan memohon Raja-Raja Melayu agar tidak menghadiri majlis perlantikan tersebut yang diadakan pada 1 April 1946. Hasilnya majlis perlantikan Gabenor Jeneral yang diadakan itu telah dipulaukan oleh orang melayu dan Raja-Raja melayu setelah dipujuk agar tidak menghadirinya.
            Kongres tergempar ini dihadiri oleh 9 orang wakil daripada 9 buah persatuan negeri melayu sahaja kerana kesuntukan masa. Dalam perbincangan selama 2 hari ini mereka membuat beberapa keputusan penting yang mana salah satunya adalah meminta Raja-Raja Melayu memulaukan majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagi gabenor malayan union. Mereka juga meminta ahli yang dilantik bagi Majlis Mesyuarat malayan Union menolak perlantikan itu . bagi orang melayu pula mereka diminta berkabung sebagai tanda kematian hak mereka.
            UMNO sekali lagi mendapat kerjasama daripada masyarakat melayu. Mereka menerima keputusan kongres itu. Pemulauan mereka melemahkan sokongan orang melyu dalam pentadbiran British. Manakala orang melayu mula memakai songkok berlilit kain putih sebagi tanda berkabung. Bantahan orang melayu pada peringkat pentadbir dan rakyat bawahan adalah sebulat suara. Bagaimanapun UMNO mempunyai masalah dengan raja-raja Melayu. Mereka tetap ingin menghadiri majlis perlantikan itu. Dato’ Onn yang telah ditugaskan memujuk raja-raja melayu bersama Dato’ Hj. Wahab Toh Muda  dan Dato’ Nik Ahmad Kamil, terpaksa berjumpa dengan raja-raja melayu di Station Hotel , iaitu tempat penginapan mereka yang berdekatan dengan King’s House, kediaman Gabenor Malayan Union.
            UMNO bimbang sikap raja-raj melayu itu akan melumpuhkan Kongres 1946. Oleh itu dengan menggunakan pengalamannya dengan Sultan Ibrahim di Johor, Dato’ Onn selaku Yang Dipertua UMNO merayu dan berbincang tetapi mengingatkan raja-raja melayu supaya berkerjasama dengan Kongres 1946 untuk mengelakkan rakyat melayu menderhaka. Raja melayu akhirnya bersetuju setelah satu jam berunding dengan Dato’ Onn. Inilah kali pertama rakyat Melayu mengancam kedudukan raja-raja melayu secara terbuka.
            Dato’ Onn dan UMNO dapat memujuk raja-raja Melayu dengan pertolongan daripada Sultan Ibrahim. Sultan Ibrahim yang disegani oleh raja-raja melayu kerana umurnya dan hubungan rapatnya dengan British telah meminta raja-raja melayu supaya tidak menyokong Malayan Union. Melalui suratnya kepada Sultan kedah, yang kemudiannya disebarkan kepada raja-raja melayu yang lain. Tindakan ini dibuatnya semata-mata kerana baginda insaf dengan ketelanjurannya menandatangan perjanjian MacMichael 1946. Baginda ingin membalas budi Dato’ Onn yang tidak menyebelahi kumpulan tujuh yang cuba menggulingkan baginda dari taktha kerajaan Johor pada awal Januari 1946. Bagi tanda berbudi bahasa, pada esoknya Sultan perak menghantar surat meminta maaf kepada Edward gent, Gabenor Malayan Union.
            Kongres ke-3 telah diadakan pada 11-12 mei 1946, iaitu setelah Undang-Undang Tubuh atau Perlembagaan UMNO disiapkan oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk penubuhan UMNO dengan rasminya. Kongres Ini diadakan di Istana Besar Johor bahru dan dirasmikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.Perlembagaan UMNO dengan rasminya disahkan dalam persidangan ini. Dengan pengesahan tersebut maka UMNO dengan rasminya ditubuhkan dengan memakai slogan HIDUP MELAYU. Selepas pengesahan piagamnya, dalam Mesyuarat Agungnya yang pertama, Dato’Onn Jaafar telah dipilih sebulat suara sebagai Yang Dipertua Agung UMNO yang pertama.
Gerakan UMNO menjadi lebih berkesan dengan sokongan daripada bekas pegawai British melalui akhbar di London pada April 1946. Antaranya R. O. Winstedt, bekas penasihat British di johor pada tahun 1937 dan Frank Swettenham, bekas Residen Jeneral Negeri melayu Bersekutu. Kedua-dua mereka melihat dasar Malayan Union ini bertentangan dengan dasar kerajaan British selama ini. Namun yang lebih berkesan lagi ialah kecaman adalah anggota kecaman daripada anggota pembangkang Parti Konservatif Britain dalam  ‘House of Commons’. Bagi mereka Malayan Union ialah satu tindakan yang memusnahkan orang melayu.
            Simpati anggota parti konservatif itu menguntungkan Dato’ Onn dan UMNO. Mereka bukan sahaja membidas, tetapi juga meminta supaya dibenarkan mengkaji bantahan orang melayu secara dekat. L.D.Gammans, seorang bekas pegawai rendah di Tanah Melayu pada tahun 1920-an, mengetuai rombongan kerajaan British supaya mengadakan satu perjanjian baru bagi meninjau keadaan politik di Sarawak pada mei 1946, telah menulis surat kepada Dato’ Onn. Beliau ingin mengetahui keadaan sebenarnya. Beliau meminta Dato’ Onn memberi kerjasama dalam soal itu. Ini menunjukkan simpati yang mendalam daripada L.D. Gammans kerana beliau mengesyaki sesuatu yang tidak kena di dalam Malayan Union. Rombongan itu turut disertai seorang wakil parti Buruh, David Rees Williams.
Maka orang melayu melalui UMNO dan Raja-Raja Melayu terus berjuang untuk menamatkan pemerintahan Malayan Union di Tanah melayu. Satu jawatankuasa kerja yang dianggotai wakil-wakil dari kerajaan inggeris, Raja-Raja melayu dan UMNO terbentuk. Melalui jawatankuasa Kerja tersebut, akhirnya malyan Union telah dimansuhkan dan satu Perjanjian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani diantara raja-Raja Melayu dengan wakil kerajaan inggeris di King House, Kuala Lumpur pada 21 januari 1948 dan Persekutuan Tanah melayu mula berkuatkuasa pada 1 februari 1948.

4.0       Parti Komunis Malaya (PKM)
Ideologi komunis tiba di Tanah Melayu pada tahun 1920-an terutamanya di sekitar tahun 1925. Imigran Cina telah membawa buku-buku dan risalah-risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil dari kegiatan mereka, guru-guru dan murid-murid sekolah Cina telah menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada tahun 1926. Sehingga 1927, komunis di Tanah Melayu bergerak di sebalik Parti Kuomintang (KMT) kerana wujudnya kerjasama antara Parti Komunis China (PKC) dan KMT di China. Perpecahan KMT-PKC pada tahun 1927 telah menyebabkan PKC menghantar 5 orang wakilnya ke Tanah Melayu. Pada 6 April 1930, satu persidangan komunis telah diadakan di Singapura dan hasilnya lahirlah Parti Komunis Malaya (PKM) yang beribu pejabat di Singapura.

4.1       Pada tahun 1945-1948
            Tahap perkembangan PKM dari tahun 1945-1948 memperlihatkan PKM berjuang secara berperlembagaan dan bercita-cita untuk membentuk sebuah negara Komunis selepas pendudukan Jepun. Selepas peperangan tamat, PKM muncul sebagai sebuah parti yang kuat. Oleh kerana kelewatan British kembali ke Tanah Melayu, berlaku kekosongan pentadbiran selama lebih kurang dua minggu. Kesempatan ini diambil oleh PKM keluar dari hutan merampas senjata-senjata Jepun dan melakukan kekejaman terutama membalas dendam terhadap orang Cina dan Melayu yang bekerjasama dengan Jepun dahulu. Pada 12 September 1945, British tiba di Tanah Melayu dan memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (BMA). Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dibubarkan dan anggotanya diminta menyerahkan senjata mereka. Hanya 6800 orang anggota anggota MPAJA sahaja yang menyerah senjata. Sejumlah besar senjata disembunyikan di dalam hutan. Walaupun begitu, PKM terus diiktiraf sebagai pertubuhan yang sah kerana jasa-jasa bekerjasama dengan British menentang Jepun. Sejak itu, PKM mula menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu untuk menambahkan anggotanya. Sejak tahun 1945, PKM berusaha mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya melalui perlembagaan.
            PKM menganjurkan  “Gerakan Massa” untuk memaksa British memberi Tanah Melayu berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. PKM juga menjalankan gerakan secara aktif mempengaruhi parti-parti politik, kesatuan-kesatuan sekerja, pertubuhan Cina dan sekolah Cina. Untuk mendapat sokongan pekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Buruh Am dan untuk mendapat sokongan belia, PKM menubuhkan Liga Belia Demokratik Baru pada tahun 1946. Bagi menguasai kesatuan sekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Sekerja Pusat, contohnya, PKM yang menubuhkan Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) telah menguasai semua kesatuan sekerja yang bergabung di bawah PMFTU. Bagi melumpuhkan ekonomi supaya memudahkan PKM merampas kuasa, mereka telah mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan pemogokan. Tujuan utama PKM mengadakan pemogokan ialah untuk menghalang dan merosakkan usaha-usaha pemerintahan British untuk memulihkan kembali kedudukan ekonomi dan sosial yang telah musnah akibat peperangan. Akibatnya 300 pemogokan telah dipengaruhi oleh PKM telah berlaku di Tanah Melayu dan Singapura pada 1946-1947. Bagi menghadapi pemogokan tersebut, British telah melaksanakan undang-undang kesatuan sekerja yang mendorong pemimpin parti politik supaya tidak menjadi pemimpin kesatuan sekerja. Tindakan tersebut telah menghancurkan PMFTU yang dikuasai oleh PKM.
            Pada 15 Februari 1946, PKM telah menganjurkan satu perarakan besar di Singapura bagi memperingati kekalahan British di tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Tujuannya ialah menjatuhkan maruah British serta menunjukkan kekuatan PKM. Pada 22 Disember 1946, PKM telah menyertai All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) bagi menggagalkan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu (PTM). Pada 6 Mac 1947, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura bagi mengkaji semula dasar dan taktik PKM. Setiausaha Agung PKM, iaitu Lai Teck tidak menghadirinya dan beliau talah menghilangkan diri bersama-sama wang parti. Seramai 29 orang telah terbunuh di Batu Caves. Lai Teck juga dituduh gagal mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu selepas kekalahan Jepun. Keadaan ini telah menggoncangkan kedudukan PKM dengan melemahkan semangat anggota PKM. Akibatnya, pimpinan PKM jatuh ke tangan golongan radikal pimpinan Ong Boon Hua yang lebih dikenali sebagai Chin Peng. Pada 18 dan 19 Februari 1948, satu persidangan komunis telah diadakan di Calcutta, India dan dihadiri oleh perwakilan komunis dari Asia serta Australia. PKM diwakili oleh Lee Soong. Persidangan Calcutta telah membuat ketetapan bahawa pemberontakan bersenjata mesti dijalankan bagi menjayakan matlamat perjuangan komunis.

4.2       Pada tahun 1948-1951
            Berikutan dengan keputusan Calcutta, PKM mula mengubah dasar dan taktiknya sejak tahun 1948. Chin Peng telah menggantikan Lai Teck sebagai ketua PKM. Beliau seorang yang radikal dan bertindak dengan mengubah dasar berperlembagaan PKM kepada melancarkan revolusi bersenjata. Tindakan ini hasil dari Keputusan Persidangan Pemuda Komunis Antarabangsa Calcutta 1948 yang meminta dilancarkan gerakan gerila di seluruh dunia. Sejak itu, PKM berusaha untuk mencapai matlamat melalui pemberontakan bersenjata. Langkah ini juga diambil akibat kegagalan PKM untuk mencapai matlamat melalui perlembagaan yang dijalankan sejak tahun 1945. PKM menubuhkan pasukan tentera anti-British yang dikenali sebagai Malayan People Anti-British Army (MPABA) yang dibawah pimpinan pengerusi jawatankuasa pusat tentera PKM iaitu Law Yew. Antara pemimpin lain ialah Law Lee dan Yeng Kuow. Kebanyakan anggota MPABA terdiri daripada bekas anggota MPAJA. Bagi menjayakan matlamatnya, PKM akan menggunakan strategi Mao Tze Tung. Mengikut strategi ini, PKM akan menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan kerajaan amat lemah. Kawasan ini akan diwujudkan sebagai kawasan bebas daripada kawalan kerajaan. Dari kawasan ini, PKM akan menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya dan seterusnya menyerang dan menguasai seluruh Tanah Melayu.
Bagi melumpuhkan ekonomi, PKM mempengaruhi kesatuan sekerja untuk mengadakan pemogokan. Akibatnya banyak pemogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk Singapura pada bulan Mei dan Jun 1948. Pemogokan ini disertai perbuatan-perbuatan jenayah seperti membakar kilang-kilang getah, menetak beribu-ribu pokok getah, membunuh pekerja estet dan pengurus ladang. PKM telah menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Pembebasan Rakyat Malaya. Pada masa darurat juga, Min Yuen diperkenalkan. Tujuan Min Yuen diperkenalkan adalah supaya dapat membekalkan makanan dan barangan keperluan seperti pakaian dan ubat-ubatan di samping egen perisik bagi pihak komunis. PKM meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Dalam keganasan tersebut, komunis telah membunuh tiga orang pemimpin Kuomintang di Johor pada 12 Jun 1948. 15 Jun 1948 pula komunis telah menembak mati dua orang pengurus dan seorang penolong pengurus ladang getah berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak. Berikutan dengan peristiwa itu, kerajaan mengisytiharkan Darurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948. Semasa darurat, berbagai-bagai langkah untuk membanteras komunis dijalankan. PKM dan beberapa buah persatuan yang dianggap berbahaya kepada negara telah diharamkan. British juga telah melaksanakan Undang-undang Darurat pada 7 Julai 1948.
            Akibat pengisytiharan Darurat, anggota PKM melarikan diri ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang pasukan keselamatan dan juga orang awam terutamanya peladang-peladang dan pelombong-pelombong Eropah. Pejabat-pejabat kerajaan terutamanya balai polis menjadi sasaran PKM. Taktik peperangan yang digunakan ialah perang gerila iaitu secara serangan dan lari. Akibatnya ramai orang yang terkorban dan banyak harta benda yang dimusnahkan oleh PKM. Mereka memusnahkan sistem hubungan jalan raya dan jalan keretapi. PKM juga menyerang ladang-ladang bijih timah di mana pokok getah dan jentera perlombongan dimusnahkan untuk menyekat pengeluaran bagi melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Dalam usaha untuk mendapat bantuan, PKM menubuhkan pasukan propaganda “Min Yuen” yang terdiri daripada setinggan-setinggan Cina yang tinggal di pinggir hutan. Edger O. Balance dalam bukunya “The Communist Insurgent War 1948-1964” menegaskan bahawa terdapat antara 30-40 ribu anggota “Min Yuen” pada peringakat awal pemberontakan PKM. Dalam usaha untuk menakutkan orang ramai dan menjejaskan pasukan keselamatan, PKM menjalankan kempen membunuh pegawai tinggi kerajaan. Akibat dari kempen itu, mereka telah berjaya membunuh Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 semasa beliau dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

4.3       Pada tahun 1951-1954
            Pada September 1951, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Pahang untuk mengkaji semula taktik PKM. Serangan ganas yang dilancarkan oleh PKM mendapat kritikan daripada orang ramai kerana orang yang tidak berdosa turut terkorban. Apabila PKM menyedari keganasan yang mereka lakukan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap PKM menyebabkan mereka berusaha untuk mengelakkan serangan ke atas orang awam. Sejak September 1951, serangan hanya dilakukan ke atas pasukan keselamatan, orang Eropah, pengintip kerajaan dan bekas anggota PKM yang berpaling tadah. Pada 1950-an, mereka meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Pada bulan Februari, Jeneral Templer telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi. Beliau bertindak dengan memperkuatkan lagi tenteranya dan melancarkan Perang Psikologi. Perang Psikologi telah berjaya melemahkan keanggotaan PKM dengan menawarkan pemberian pengampunan, hadiah dan wang tunai serta syarat-syarat kewarganegaraan yang longgar kepada anggota PKM yang menyerah diri. Menjelang tahun 1954, perjuangan bersenjata komunis mengalami kekalahan. PKM telah menyedari bahawa mereka tidak akan berjaya dengan cara pemogokan. Maka pada tahun 1955, PKM bersetuju berunding dengan Ketua Menteri Tanah Melayu iaitu Tunku Abdul Rahman. Walaupun rundingan itu gagal, namun pada tahun 1960 dengan rasminya darurat diumumkan tamat.

4.4       Dasar PKM pada tahun 1945-1948
            Setelah PKM mula diterima sebagai parti yang sah, PKM telah menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu bagi menambahkan keanggotaannya. Sejak tahun 1945, PKM berusaha mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya melalui perlembagaan. Oleh itu, PKM telah menganjurkan “Gerakan Massa” untuk memaksa British memberi Tanah Melayu berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. PKM juga menjalankan gerakan secara aktif untuk mempengaruhi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina.

4.5       Dasar PKM pada tahun 1948-1954
            Dalam tahun 1948, PKM memasuki zaman baru kerana ia talah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah negara komunis di Tanah Melayu melalui satu revolusi bersenjata. Faktor-faktor yang menyebabkan perubahan dasar ini ialah kegagalan mencapai matlamat melalui perlembagaan. Beberapa ahli Sejarah berpendapat bahawa pemberontakan PKM meletus akibat kegagalan polisi perdamaian bersatu. PKM telah gagal untuk mencapai cita-citanya melalui cara-cara perlembagaan antara tahun 1945-1948. Justeru itu, PKM terpaksa menggunakan cara-cara lain seperti kekerasan untuk menggulingkan kerajaan British di Tanah Melayu. Perubahan pucuk pimpinan ahli juga menyebabkan krisis dalam PKM sendiri yang telah mengakibatkan pemberontakan komunis 1948. Pada bulan Mac 1947, Setiausaha Agung PKM, Lai Teck telah menghilangkan diri dengan wang parti. Peristiwa ini telah menyebabkan pucuk pimpinan PKM jatuh ke tangan golongan radikal pimpinan Chin Peng. Mengikut pendapat Chin Peng, dasar yang lebih aktif perlu dilaksanakan bagi memulihkan semangat perjuangan komunis. Persidangan di Calcutta melibatkan ahli-ahli Sejarah seperti Harny Miller pula berpendapat bahawa keputusan PKM untuk memberontak adalah dipengaruhi oleh keputusan Kongres Pemuda Komunis Asia yang diadakan di Calcutta pada 18 dan 19 Februari 1946. Kongres tersebut telah mengarahkan parti-parti komunis untuk mengadakan pemberontakan bersenjata bagi memcapai matlamat mereka.

4.6       Taktik PKM pada tahun 1945-1948
            Untuk mencapai matlamat, PKM telah menubuhkan cawangan di seluruh Tanah Melayu, misalnya PKM telah menubuhkan Kesatuan Buruh Am untuk mendapat sokongan pekerja dan Liga Belia Demokratik Baru untuk mendapat sokongan belia. Untuk menguasai kesatuan sekerja, PKM telah menubuhkan Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) yang berjaya menguasai semua kesatuan sekerja yang bergabung di bawah PMFTU. Bagi melumpuhkan ekonomi dan memudahkan PKM merampas kuasa, PKM telah mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan pemogokan. Akibatnya, 300 pemogokan yang dipengaruhi PKM telah berlaku di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1946-1947. PKM juga menceburkan diri dalam kegiatan dan pergerakan politik misalnya PKM telah menentang rancangan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) pada tahun 1948. Pada pendapat mereka, pembentukan PTM sudah pasti menggagalkan rancangan PKM untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya, maka pada 22 Disember 1946, PKM telah menyertai AMCJA bagi menentang rancangan pembentukan PTM.


4.7       Taktik PKM pada tahun 1948-1954
            Bagi mencapai matlamat, PKM telah menubuhkan pasukan tentera anti-British yang dikenali sebagai MPABA di bawah pimpinan pengerusi jawatankuasa pusat tentera PKM iaitu Law Yew. Antara pemimpin lain ialah Law Lee dan Yeng Kuow. Kebanyakan anggota MPABA terdiri daripada bekas anggota MPAJA. PKM juga menggunakan strategi Mao Tze Tung dalam perjuangan mereka. Mengikut strategi ini, PKM akan menyerang dan menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan Kerajaan British amat lemah. Kawasan ini akan diwujudkan sebagai kawasan bebas daripada kawalan kerajaan. Dari kawasan ini, PKM akan menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya dan seterusnya menguasai seluruh Tanah Melayu. Bagi melumpuhkan ekonomi, PKM mempengaruhi kesatuan sekerja mengadakan pemogokan. Akibatnya pemogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk di Singapura pada bulan Mei dan Jun 1948. PKM juga meneruskan usaha meresapi parti-parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina.
Dalam keganasan tersebut, PKM telah berjaya membunuh 3 peladang Eropah di Sungai Siput, Perak. Peristiwa ini telah menyebabkan darurat diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948. Pada 23 Julai 1948, Undang-undang Darurat dikeluarkan. Undang-undang ini telah mengharamkan PKM. Akibatnya anggota PKM lari ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan mereka. Mereka telah menyerang pasukan keselamatan dan orang awam terutamanya peladang-peladang dan pelombong-pelombong. Mereka juga memusnahkan sistem perhubungan jalan raya dan jalan keretapi. Dalam usaha mendapat bantuan, PKM menubuhkan pasukan propaganda Min Yuen yang terdiri daripada setinggan-setinggan Cina yang tinggal di pinggir hutan. Pada September 1951, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Pahang. Apabila menyedari bahawa keganasan yang mereka lakukan menimbulkan kebencian orang ramai, PKM telah mengubah taktik perjuangan mereka, iaitu hanya menyerang pasukan keselamatan, orang Eropah, pengintip dan bekas anggota PKM yang berpaling tadah. Menjelang tahun 1954, perjuangan PKM mengalami kegagalan.


4.8       Gerakan Min Yuen (Gerakan Rakyat)
            Gerakan Min Yuen adalah golongan radikal yang berhaluan kiri yang ditubuhkan dibawah PKM dan dianggotai sebilangan besarnya oleh orang Cina. Tanggungjawabnya ialah menolong PKM iaitu mengumpul makanan, menyediakan sumber kewangan, pakaian, memperoleh bekalan ubat-ubatan, mendapatkan maklumat penting, mencari rekrut-rekrut baharu komunis serta menjadi mata-mata kepada PKM dan menyebarkan propaganda. Tujuan Min Yuen ditubuhkan ialah untuk memberi maklumat tentang Jepun dan membekalkan makanan serta ubat-ubatan kepada komunis. Pergerakan mereka berpusat di bandar-bandar, kampung-kampung dan kawasan berhampiran hutan. Keahliannya hampir setengah juta orang. Kegiatan Min Yuen sukar dikesan kerana mereka menjalankan operasinya pada sebelah malam. Bagi melumpuhkan pergerakan Min Yuen, satu pelan tindakan yang dikenali sebagai Rancangan Briggs telah dijalankan bagi memindahkan penduduk Cina dipinggir-pinggir hutan ke kawasan petempatan baru yang dikawal.

5.0       Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
Sebelum Perang Dunia Kedua, terdapat dua pertubuhan parti politik Melayu iaitu Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang ditubuhkan pada tahun 1926 dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1938. KMS memperjuangkan kedudukan istimewa orang-orang Melayu di Negeri-Negeri Selat, manakala KMM pula adalah parti radikal iaitu anti-penjajah British dan mahu negara kita merdeka dengan mengekalkan identiti politik Melayu melalui percantuman dengan Indonesia.
Apabila KMM diharamkan, bekas pemimpin KMM telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, parti politik baru Melayu ini telah ditubuhkan dengan nama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ini adalah parti politik Melayu pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak.
Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso dan akhirnya berpindah tangan kepada seorang tokoh agama yang mampu menguasai Bahasa Arab, Bahasa lnggeris serta Bahasa Melayu dengan baik iaitu Dr. Burhanuddin al-Helmi. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah.
PKMM sebenarnya telah diasaskan oleh Mokhtaruddin Lasso dan Ahmad Boestamam yang kedua-duanya memainkan peranan yang cukup besar dalam pucuk pimpinan awal parti PKMM. Pada awalnya, PKMM tidak beralih kepada komunisme, tetapi apabila Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai presiden yang pertama pada bulan Oktober 1946 untuk PKMM, parti ini mula dipengaruhi oleh komunis.
Antara Majlis Tertinggi dalam PKMM ialah Mokhtaruddin Lasso sebagai Yang Dipertua, Dr. Burhanuddin Helmi sebagai Naib Yang Dipertua, Dahari Ali sebagai setiausaha, Arshad Ashaari sebagai bendahari dan Ahmad Boestamam sebagai ahli jawatankuasa. Ahli-ahli Majlis Tertinggi ini membawa pengaruh yang cukup besar dan kuat dalam memperjuangkan PKMM.
Setelah sebulan PKMM ditubuhkan, parti ini telah menubuhkan beberapa cawangan lain di beberapa buah negeri. Antara negeri-negeri itu ialah Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Melaka dan Singapura. PKMM telah menyebarkan pengaruhnya melalui beberapa akhbar-akhbar harian seperti Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu. Selain itu juga, PKMM turut menyebarkan pengaruhnya melalui terbitan majalah bulanan iaitu majalah Berjuang dan Voice of the People.
PKMM juga telah berjaya memperluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu seterusnya dapat menubuhkan beberapa bahagian dalam struktur organisasinya. Antara bahagian-bahagian dalam struktur organisasi di bawah PKMM adalah seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) iaitu cawangan pemuda yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan  Angkatan Wanita Sedar (AWAS) iaitu cawangan pemudi yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh. Selain itu, cawangan lain di bawah PKMM ialah Barisan Tani Semalaya (BATAS) dan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA).
Apabila Mokhtaruddin Lasso dilantik sebagai presiden yang pertama untuk PKMM, parti ini mula dipengaruhi oleh komunis. Bagaimanapun, pimpinan pemuda iaitu Ahmad Boestamam telah merenggangkan API dari PKMM di bawah Mokhtaruddin Lasso dan pengaruh komunis. Ahamd Boestamam juga telah mengeluarkan manifesto yang berasingan dari PKMM untuk mengelakkan penjajahan komunis ke atas partinya.
Penglibatan Mokhtaruddin Lasso dalam penubuhan PKMM adalah kerana ditugaskan oleh Parti Komunis Malaya yang telah dianggotainya. Selepas Parti Komunis melihat betapa teruknya hubungan antara orang Melayu dan Cina setelah berlakunya serangan balas membalas dengan puak Malayan People’s Anti-Japanese Army dengan orang-orang Melayu akibat anggapan MPAJA bahawa kesengsaraan orang Cina pada zaman Jepun adalah disebabkan oleh kolaborasi pemimpin-pemimpin dan anggota polis Melayu dengan pihak Jepun. Akhirnya, PKM telah menyedari tentang kepentingan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu dalam rancangannya untuk membebaskan Malaya daripada penjajahan British.
Beberapa bulan kemudian,apabila Kesatuan Melayu Muda (KMM) bergabung dengan PKMM, pucuk pimpinan telah beralih tangan. Presiden yang kedua untuk PKMM adalah di bawah pucuk pimpinan Dr. Burhanuddin Helmi. PKMM telah bertukar pucuk pimpinan yang ketiga pada bulan Disember 1947 yang dipimpin oleh Ishak Haji Muhammad dan seterusnya menjadi presiden ketiga untuk PKMM.
Oleh sebab pertukaran pucuk-pucuk pimpinan ini, PKMM tidak lagi jatuh atau terpengaruh dengan komunisme tetapi sebaliknya bertukar kepada nasionalisme. Semasa pemerintahan Dr. Burhanuddin, PKMM telah dibawa ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan Kesatuan Malaya-Indonesia. Ia adalah merupakan satu perjuangan utama PKMM. Walaupun pada dasarnya, perjuangan PKMM yang sebenar-benarnya adalah untuk mendapatkan kemerdekaan penuh dari Britain tetapi PKMM lebih cenderung bagi Tanah Melayu untuk menyertai Indonesia bagi mendapatkan kemerdekaan pada 1949.
Matlamat utama PKMM adalah untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh dan teratur serta menentang sebarang bentuk penjajahan British.. Selain itu, PKMM juga telah berusaha dalam mengatasi masalah orang Melayu dari segi pelajaran, sosial dan juga ekonomi seterusnya membantu orang Melayu dalam mempunyai kebebasan mencetak serta bersuara.
Antara objektif penubuhannya yang menjanjikan pembebasan kepada orang Melayu ialah menyatupadukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam diri orang-orang Melayu serta bertujuan untuk menyatukan Malaya dalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya. Selain itu, usaha PKMM adalah bertujuan untuk mencapai hak kemerdekaan berpidato, bergerak, berfikir dan menuntut pelajaran. PKMM juga berusaha dalam membangkitkan kedudukan bangsa Melayu dengan memajukan perusahaan perniagaan dan pertanian serta menaik tarafkan nasib orang Melayu.
PKMM juga turut memberi kebebasan bercucuk tanam. Orang yang ingin bercucuk tanam dibebaskan dari membayar sewa tanah pada bila-bila masa pun serta bebas menjual hasil usahanya di pasar perniagaan. Orang Melayu juga diberi kebebasan penuh untuk mendirikan sekolah-sekolah kebangsaan seterusnya mendapatkan pelajaran percuma. Orang Melayu diberi kebebasan dalam mencetak buku-bukunya sendiri dan menggalakkan pelajaran secara demokrasi.
Pada hari pengisytiharan dasar-dasar perjuangan PKMM pada 30 November 1945, ia telah mengeluarkan lapan resolusi yang dianggap sebagai diinspirasikan oleh rancangan ‘Sembilan Perkara Parti Komunis Malaya’ oleh pihak kerajaan. Selain itu, kegiatan-kegiatan PKMM turut dicurigai oleh kerajaan. Ini adalah kerana kegiatan-kegiatan PKMM yang anti-UMNO dan juga anti-penjajah. Oleh yang demikian, PKMM cuba melakukan sesuatu supaya pengaruhnya boleh bertahan.
Dalam usaha PKMM untuk mengekalkan pengaruhnya adalah dengan berusaha untuk menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA). Pusat Tenaga Rakyat atau lebih dikenali dengan singkatan PUTERA ini ialah parti-parti radikal Melayu. Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA), kemudiannya bergabung pula dengan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA) bertujuan untuk menentang Perjanjian Persekutuan 1948 bagi penubuhan Persekutuan Tanah melayu.
Dengan mengenepikan faktor-faktor perkauman, gabungan PUTERA dan AMCJA ini menegaskan pendiriannya yang anti-penjajahan British. Gabungan ini juga turut menentang ciri-ciri yang dianggapnya tidak demokratik yang masih dibenarkan wujud dalam perlembagaan Persekutuan. PKMM turut menegaskan bahawa cadangan-cadangan Persekutuan tidak dapat menyediakan Tanah Melayu sebagai kerajaan yang demokratik dan kuasa yang sepatutnya diberikan kepada beberapa orang pegawai tidak diberikan sepenuhnya.
Walaubagaimanapun, pengaruh PKMM ini tidak kekal lama. Antara penyebab utama PKMM tidak dapat bertahan lama adalah kerana penubuhan atau kemunculan UMNO. UMNO ialah parti yang lebih diyakini oleh orang-orang Melayu dalam memperjuangkan nasib mereka. UMNO sangat yakin dan tegas dalam memperjuangkan nasib orang-orang Melayu. Oleh sebab itu, ramai orang-orang Melayu lebih yakin dan memilih UMNO sebagai parti pilihan mereka.
Walaupun begitu banyak usaha yang dilakukan oleh PKMM untuk mengekalkan pengaruhnya, namun perjuangan PKMM pula telah dianggap oleh Inggeris sebagai mempunyai hubungan dengan komunis. Oleh yang demikian, beberapa orang pemimpin PKMM telah ditangkap oleh Inggeris dan turut dipenjarakan. Akhirnya, pada 18 Jun 1948, PKMM dan juga beberapa parti lain telah diharamkan penubuhannya apabila darurat telah diisytiharkan oleh pihak berkuasa British dengan persetujuan Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn Jaafar. PKMM juga telah keluar daripada UMNO secara automatik pada tahun 1946 setelah gagal dalam mempengaruhi pemikiran politik orang Melayu dalam UMNO.

6.0       All Malayan Council of Joint Action ( AMCJA) – PUTERA
Pan-Malayan Council of Joint Action (PMCJA) yang kemudiannya ditukar kepada All Malayan Council of Joint Action atau lebih dikenali sebagai AMCJA telah ditubuhkan pada tahun 1946 yang diketuai oleh Tun Tan Cheng Lock. AMCJA ditubuhkan selepas tertubuhnya Malayan Demokratik Union (MDU) yang ditubuhkan pada tahun Desember 1945. MDU ini bermatlamat mengadakan tentangan yang diharapkan dapat mengimbangkan sedikit nasionalisme Melayu supaya mereka tidak terhimpit dan tertekan. Kemunculan AMCJA ini adalah bersifat kiri dan terdiri daripada lebih kurang 400 00 orang yang majoritinya ialah orang Cina.
Antara matlamat AMCJA ialah pertama menyatukan Tanah Melayu dengan Singapura. Rakyat Cina membantah tindakan British memisahkan Singapura daripada Tanah Melayu. Dalam Perlembagaan Malayan Union, terdapat cadangan bahawa semua negeri-negeri Melayu, termasuk Pulau Pinang dan Melaka disatukan di bawah satu kerajaan pusat. Singapura tidak termasuk dalam Malayan Union dan kekal sebagai tanah jajahan dengan mempunyai Gabenor dan Majlis Mesyuarat Undangan yang berasingan. Inilah yang cuba ditegakkan oleh AMCJA.
Kedua,  sebuah Dewan Undangan Pusat yang anggotanya dipilih oleh rakyat. Ketiga pula hak-hak politik yang sama rata bagi semua yang menganggap Tanah Melayu sebagai Negara mereka yang sebenar dan tempat tumpuan taat setia mereka. Keempat, kedaulatan Raja-Raja Melayu dikekalkan sebagai Raja Berperlembagaan yang menerima nasihat melalui badan-badan yang berunsur demokrasi. Kelima ialah perkara berkaitan dengan agama Islam dan adat resam Melayu diletakkan di bawah tanggungjawab orang Melayu sahaja. Terakhir ialah perhatian khas diberi untuk memperbaiki soal kemunduran orang Melayu.
Matlamat yang diutarakan oleh AMCJA ini secara tidak disedari cuba menarik orang Melayu untuk bergabung dengan AMCJA. Akhirnya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menyertai AMCJA dan menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat atau PUTERA yang terdiri daripada sayap-sayap PKMM iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hizbul Muslimin dan lain-lain termasuk PKMM sendiri.
Namun, gabungan parti-parti ini tidak mempersetujui usul-usul perlembagaan persekutuan sebaliknya mengusulkan kemsukan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu dan juga mengurangkan kuasa kerajaan British. Contohnya, membangkang terhadap kuasa yang luas di tangan Pesuruhjaya Tinggi sebagai Ketua Kerajaan Persekutuan. Dr. Burhanuddin helmi dan Ishak Hj. Muhammad yang memimpin PUTERA berpendapat bahawa usul berkenaan terlalu banyak memberi faedah kepada British dan kurang berdemokratik
Pada tahun September 1947, tekanan PUTERA-AMCJA menjadi lebih kuat apabila mereka bergabung. Mereka telah mengadakan satu mogok ekonomi iaitu hartal yang dilancarkan pada 19 Oktober 1947 di seluruh Tanah Melayu. Namun hartal hanya Berjaya dilakukan di Melaka, Singapura dan Pulau Pinang sahaja kerana AMCJA sangat berpengaruh di sana. PUTERA-AMCJA juga gagal untuk mendesak penerimaan Perlembagaan Rakyat sebagai cadangan balas kepada cadangan Working Committee.
Pada umumnya, Dato’ Onn Jaafar hanya mengambil sikap ‘pandang dan lihat’ dengan tindakan PUTERA-AMCJA itu. Dalam ucapannya, beliau sentiasa menekankan kepentingan orang Melayu bersatu dan berdiri di belakang draf perlembagaan Working Committee itu. Tindakan PUTERA bekerjasama dengan AMCJA ditempelak oleh Dato’ Onn Jaafar. Menurut beliau, PUTERA adalah pertubuhan yang berselindung di sebalik nama Melayu bagi mencapai cita-cita politik beberapa orang pemimpin PKMM sahaja.
Dato’ Onn juga melihat Perlembagaan Rakyat sebagai tidak sesuai dan munasabah dengan kedudukan politik Tanah Melayu. Kedudukan politik orang Melayu mestilah dikekalkan sebelum satu kerajaan sendiri yang merdeka boleh dicapai. Bersama-sama AMCJA, PUTERA muncul sebagai penentang UMNO selepas usul mereka semasa di PKMM telah ditolak oleh UMNO. Pengaruh gabungan AMCJA – PUTERA mula merosot sekitar tahun 1949 hingga 1950.

7.0       Parti Islam Se-Tanah Melayu
           
Pada bulan Ogos 1951, bertempat di Kuala Lumpur, persidangan Persatuan Ulama Se-Tanah Melayu telah memberi ilham supaya mencadangkan penubuhan Parti Islam Se-Tanah Melayu. Satu keputusan telah diambil dalam mesyuarat di Kepala Batas pada bulan November 1951 untuk menukar nama pertubuhan itu kepada Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS), tetapi kedudukannya kekal sebagai sebuah pertubuhan bercorak agama dan kebajikan Islam.
Yang Dipertua PAS yang pertama ialah Haji Ahmad Fuad bin Hassan. Timbalan Yang Dipertua pula ialah Haji Mansur J.P. dan Setiausahanya pula ialah Haji Ahmad Maliki. Terdapat bekas ahli UMNO yang menganggotai PAS yang terawal seperti Haji Ahmad Fuad bin Hassan dan Haji Ahmad Maliki. Pada tahun 1954, perlembagaan PAS telah dipinda dengan meletakkan perjuangan mencapai kemerdekaan Tanah Melayu sebagai perjuangan parti dan menjadikan agama Islam sebagai asas kepada pentadbiran kerajaan dan masyarakat.
Menjelang tahun 1955, PAS membuat keputusan untuk bergerak sebagai sebuah parti politik bagi melindungi hak-hak orang Melayu. PAS didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti politik sehari sebelum hari terakhir pilihan raya Persekutuan pada tahun 1955.  Dalam pilihan raya tersebut, PAS yang bertanding buat pertama kali Berjaya memenangi sebuah kerusi di Kerian, Perak. Walaupun hanya sebuah kerusi yang dimenangi, tetapi ini merupakan satu kejayaan luar biasa bagi sebuah parti politik yang baru ditubuhkan.


8.0       Persatuan Melayu Sarawak (PMS)
           
Persatuan Melayu Sarawak (PMS) yang ditubuhkan di Kuching pada bulan Oktober 1939 merupakan pertubuhan terawal di Sarawak. Datu Patinggi Abang Haji Abdillah telah dilantik sebagai presiden PMS yang pertama. Kemunculan PMS dikatakan telah dipengaruhi oleh persatuan-persatuan Melayu di Singapura dan Tanah Melayu seperti Kesatuan Melayu Singapura dan Persatuan Melayu Selangor.

Antara matlamat penubuhan PMS adalah untuk menyatukan dan memajukan kedudukan sosioekonomi orang Melayu, melindungi agama Islam dan menjadi penghubung antara orang Melayu dengan pihak kerajaan. PMS mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang Melayu, dan menjelang tahun 1941 ahli PMS berjumlah hampir 700 orang.

Namun, muncul beberapa persatuan setelah timbul cadangan untuk meyerahkan Sarawak kepada kerajaan British di London. Antara persatuan tersebut ialah Pergerakan Pemuda Melayu dan Barisan Pemuda Sarawak. Kedua-dua buah pertubuhan ini mendesak supaya Sarawak diberi kemerdekaan di bawah Pentadbiran Brooke.

Terdapat satu sahaja pertubuhan orang Melayu yang menyuarakan sokongan supaya Sarawak diserahkan kepada kerajaan British ialah Pertubuhan Pemuda Melayu yang diketuai oleh Datu Abang Othman. Ini merupakan kemunculan orang Melayu sebagai penduduk tempatan terawal yang menyuarakan pendirian berhubung isu-isu politik dan melibatkan diri dalam kegiatan politik di Sarawak. 
9.0       Parti Negara Sarawak (PANAS)

            Pada bulan April 1960, Parti Negara Sarawak (PANAS) telah ditubuhkan. Tujuan penubuhan ini ditubuhkan ialah untuk membela kaum bumiputera Sarawak terutama orang Melayu. Pengerusi PANAS yang pertama ialah Datu Bandar Abang Haji Mustapha iaitu seorang pemimpin bangsawan dari Kuching. PAAS mendapat sokongan kuat daripada kaum Melayu dan Melanau-Islam, terutama dari Bahagian Ketiga, Sarawak. 


10.0     Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa)

            Barjasa atau Barisan Rakyat Jati Sarawak telah ditubuhkan pada bulan Disember 1961. Penubuhan ini ditubuhkan kerana rasa tidak puas hati orang Melayu dan Melanau-Islam terhadap PANAS. Matlamat Barjasa adalah untuk memperjuangkan kebajikan dan kemajuan penduduk Sarawak, terutamanya kaum bumiputera, melindungi dan mendukung prinsip demokrasi. Selain itu, Barjasa juga bermatlamat untuk memelihara dan mengembangkan perasaan muhibah dan harmoni antara kaum serta menyelamat penduduk Sarawak daripada pengaruh Komunis.
           
            Datu Tuanku Bujang bin Tuanku Osman merupakan seorang pemimpin bangsawan Melayu dari Sibu. Beliau merupakan pemimpin Barjasa. Barisan kepimpinan Barjasa menggabungkan pemimpin agama dan golongan intelek seperti Mohd Mortadza Haji Daud dan Abdul Kadir Hassan yang mewakili pemimpin agama dan Abdul Rahman Yaacob dan Abdul Taib Mahmud yang kedua-duanya merupakan lulusan undang-undang mewakili golongan intelek.





11.0     Parti Kebangsaan Melayu Labuan (PKML) dan Barisan Pemuda Society (BARIP)

Beberapa orang pemimpin kaum bumiputera di Labuan telah mengadakan satu perjumpaan pada bulan Jun 1946 selepas Perang Dunia Kedua untuk menubuhkan satu persatuan. Perjumpaan itu menghasilkan satu pertubuhan politik yang dinamakan Parti Kebangsaan Melayu Labuan (PKML). Pertubuhan PKML adalah untuk membaiki kedudukan kaum bumiputera Islam dan memajukan ekonomi anak negeri.

Pada tahun 1946 pula, Barisan Pemuda Society (BARIP) pula telah ditubuhkan sebagai sebuah parti politik di Sabah. Penubuhan BARIP adalah untuk menyatukan anak negeri Sabah dan bekerjasama dalam mempertingkatkan taraf hidup kaum bumiputera. Kegiatan BARIP ditumpukan untuk membaiki keadaan politik, ekonomi dan masyarakat bumiputera secara keseluruhannya.

Namun, kedua-dua parti politik ini tidak bertahan lama. Setelah BARIP dan PKML berkubur, bumiputera Islam telah menubuhkan Khairat Jumaat Muslimin di Jesselton pada tahun 1950. Tetapi persatuan ini juga tidak kekal lama. Selepas itu, ahli-ahlinya telah bersatu semula dan membentuk Persatuan Islam Pergaulan Ikhwan Sabah pada tahun 1957. Badan ini ditubuhkan untuk menggalakkan umat Islam mematuhi ajaran Islam dalam kehidupan mereka.


12.0     Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO)

Orang Kadazan mula memikirkan cadangan menyatukan semua kelompok etnik Kadazan-Dusun dalam sebuah pertubuhan parti politik. Cadangan itu menjadi kenyataan apabila Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) ditubuhkan pada bulan Ogos 1961. Donald Stephens, seorang saudagar balak yang berketurunan peranakan Australia-Kadazan merupakan pelopor kepada UNKO. Tujuan UNKO ditubuhkan ialah mengukuhkan perhubungan orang Kadazan-Dusun supaya mereka dapat memperjuangkan satu cita-cita dan matlamat dalam bidang politik, ekonomi dan social serta memelihara hak-hak kaum bumiputera di Sabah.


13.0     Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)

            Pada bulan Disember 1961, muncul sebuah pertubuhan politik yang mewakili kepentingan masyarakat Islam, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). USNO merupakan gabungan beberapa buah persatuan sosial dan agama seperti Persatuan Islam Sabah (PIS), Persatuan Islam Putatan (PIP) dan Persatuan Anak Negeri Sandakan.
           
Datu Mustapha bin Datu Harun, seorang pemimpin bumiputera Islam yang berpengaruh telah mengusahakan Penubuhan USNO. Keanggotaan USNO terbuka kepada semua bumiputera Sabah, terutama orang Islam. Datu Mustapha telah dipilih sebagai Yang Dipertua USNO yang pertama. Matlamat Penubuhan USNO ialah untuk memperjuangkan kepentingan kaum bumiputera Islam seperti orang Sulu, Bajau, Illanun, Melayu Brunei, Bisaya, Kedayan dan Kadazan.

14.0     Penutup

Perlembagaan Malayan Union digubal, tanpa mengambil kira pandangan orang Melayu terlebih dahulu. Ia akan menghapuskan kedaulatan dan politik Raja-raja Melayu. Selain itu, Malayan Union menawarkan syarat-syarat kerakyatan yang longgar kepada kaum bukan Melayu melalui prinsip jus soli.

Berikutan dengan itu, orang Melayu mendapat tamparan hebat daripada perlembagaan Malayan Union dan bangkit menentang melalui penubuhan UMNO yang diketuai oleh Dato’ Onn bin Jaafar.

Bantahan orang Cina terhadap Malayan Union dipusatkan kepada sebuah pertubuhan iaitu Pan-Malayan Council of Joint Action (PMCJA) yang kemudiaannya ditukar kepada AMCJA.

Kaum India pula tidak berminat langsung dengan keadaan politik di Tanah Melayu. Kebanyakan mereka masih menumpukan perhatian kepada parti politik di India dan perjuangan parti Kongres India.

Setelah orang Melayu memberontak dan memulaukan perlantikan Gabenor Jeneral, akhirnya Malayan Union telah diganti oleh perjanjian Perlembagaan Perseketuan tanah Melayu.    

1 comment:

Mr.Hasif said...

assalamualaikum. cik nilam suhana, nak tanya. dpat sumber pasal politik ni dari mana. saya naka wat rujukan. saya berminat pasal penulisan ni.