1.0 PENGENALAN
Hala tuju pendidikan di Malaysia adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang digubal bertujuan untuk melahirkan generasi masa depan yang seimbang dan harmoni daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Sistem pendidikan ini juga adalah untuk melahirkan ciri-ciri rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, berakhlak dan berketrampilan yang dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Selain itu, sistem pendidikan di Malaysia yang diamalkan sekarang dibentuk berasaskan cadangan dan laporan beberapa jawatankuasa pendidikan yang ditubuhkan khas untuk mengkaji sistem persekolahan di Tanah Melayu. Jawatankuasa ini memberi pelbagai cadangan yang menjadi asas kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan seterusnya memperkenalkan falsafah pendidikan kebangsaan yang menjadi landasan dan halatuju utama sistem pendidikan .
Sehubungan itu, tugasan ini adalah untuk menjelaskan mengenai konsep-konsep hala tuju pendidikan di Malaysia pada masa kini bagi mencapai matlamat modal insan kelas pertama. Terdapat cabaran dalam mengubah hala tuju pendidikan pada masa kini yang tidak berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Seterusnya kami juga mengaitkan pendekatan yang telah diambil oleh kerajaan dan pendapat oleh ahli kumpulan untuk penambahbaikkan hala tuju pendidikan di Malaysia dalam beberapa isu halatuju pendidikan yang berbangkit.
2.0 KONSEP DAN PENGERTIAN
Terdapat beberapa konsep dalam hala tuju dan dasar pendidikan kebangsaan. Ia bermula dari era sebelum penjajahan sehingga era kemerdekaan. Tugasan ini memerlukan kami menghuraikan konsep falsafah pendidikan kebangsaan setelah dasar ekonomi baru diperkenalkan.
2.1.1 KONSEP
Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan satu landasan yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan untuk membentuk modal insan kelas pertama.Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Fokus Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pendidikan merupakan satu usaha yang berterusan. Pendidikan merupakan proses pemulihan dan pemindahan pengetahuan, nilai murni, dan kemahiran berterusan sejak kecil hingga akhir hayat melalui peringkat awal, peringkat sekolah dan peringkat selepas sekolah. Pada peringkat awal menerapkan pendidikan asas di rumah dan tadika yang menitikberatkan pertuturan, bimbingan agama, asuhan budi pekerti dan penjagaan kesihatan. Peringkat sekolah pula ialah pendidikan di sekolah rendah dan menengah yang menekankan aspek perolehan ilmu, pengetahuan dan kemahiran, penghayatan agama, nilai murni dan pembentukan jati diri.
Konsep Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menekankan fokus kepada mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu melalui empat potensi iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek. Potensi intelek memberi fokus kepada daya berfikir dalam aspek 3M (membaca, menulis dan mengira), berfikir secara kritis dan kreatif serta memanfaatkan ilmu untuk diri dan orang lain. Emosi pula mempunyai perasaan jiwa yang kuat dengan mempunyai cirri-ciri seperti tenang, kasih sayang, perpaduan dan keceriaan. Rohani pula berkaitan dengan sifat kejiwaan dan kebatinan seperti menghargai dan bersyukur kepada Tuhan, membentuk akhlak mulia, memupuk dan membina disiplin. Manakala jasmani memberi tumpuan kepada perkembangan tubuh badan yang sihat seperti menjaga kesihatan badan, melakukan riadah dan meningkatkan daya pengeluaran.
Sebelum Falsafah Pendidikan Kebangsaan dibentuk, hala tuju dan falsafah pendidikan di Tanah Melayu berbentuk pra-merdeka yang terbahagi kepada dua peringkat iaitu era masyarakat tradisional dan era masyarakat penjajahan. Ciri-ciri pendidikan era masyarakat tradisional ialah pembelajaran secara turun-temurun yang diwarisi. Hala tuju pendidikan pada era masyarakat tradisional berbeza dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu pendidikan berasaskan proses
pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal. Perkembangan pendidikan era masyarakat tradisional ialah menghasilkan sekolah-sekolah pondok dan madrasah yang berteraskan agama Islam. Selain itu,pendidikan juga berpaksikan kepada falsafah pendidikan Islam yang mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai dan mengaplikasikan agama dalam kehidupan harian. Hala tuju pengajian pada peringkat ini lebih menekankan aspek teknik dan praktikal berbanding Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan potensi individu secara menyeluruh dalam semua aspek.
Era penjajahan telah mengubah sistem pendidikan tradisional dengan amat ketara. Kedatangan Inggeris telah mengubah corak pendidikan era tradisional yang berorientasikan keperluan identiti kaum. Terdapat lima jenis pendidikan yang berbeza iaitu orang Barat telah menubuhkan sekolah Inggeris, sekolah Melayu, sekolah pondok, sekolah vernakular Cina dan sekolah vernakular Tamil. Falsafah pendidikan sekolah Melayu berbentuk kemahiran yang sengaja disalurkan mengikut dasar untuk mengekalkan masyarakat Melayu sebagai kaum tani. Kurikulum sekolah Melayu tidak berkembang selain mendapat pendidikan dasar selama empat tahun. Falsafah pendidikan Cina lebih cenderung untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang matematik, sains dan sebagainya. Manakala hala tuju sistem pendidikan Tamil telah mengalami perubahan kerana dasar pentadbiran Inggeris yang memberi bantuan dan kemahiran. Penubuhan sekolah Inggeris pula berteraskan falsafah untuk mengembangkan agama Kristian dan ideologi penjajah Inggeris. Landasan yang digunakan pada era penjajahan adalah mengikut dasar penjajah iaitu dasar pecah dan perintah.
Akibat ketidakseimbangan pihak Inggeris dalam pendidikan, beberapa laporan kajian seperti Ordinan Pelajaran(1952), Laporan Barnes(1950), Laporan Fenn-Wu(1951) dan Laporan Razak(1956) telah membawa perubahan yang besar dalam hala tuju dan falsafah pendidikan di Malaysia. Pada era 1971 -1990, dasar ekonomi baru diperkenalkan bagi merapat jurang sosio ekonomi antara kaum. Bahasa melayu juga diperkenalkan sebagai bahasa pengantar utama. Skim pinjaman buku teks dan rancangan makanan tambahan juga dilaksanakan.Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah dilaksanakan dan pada tahun 1987, Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan bagi menjadi landasan pendidikan di Malaysia. Setahun berikutnya iaitu pada tahun 1988, Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah dilaksanakan bagi menerap matlamat di dalam Falsafah Kebangsaan Malaysia.
2.2.2 PENGERTIAN
Falsafah boleh diertikan sebagai philosophy ataupun mencintai kebijaksanaan. Terdapat beberapa tokoh dahulu yang menerangkan tentang pengertian falsafah. Antaranya adalah Socrates, Plato dan Aristotle.
‘Falsafah adalah usaha yang mendidik bagi membentuk pengetahuan yang murni bagi mencapai kebijaksanaan.’(Socrates)
‘Falsafah adalah usaha mengetahui segala yang ada berhubung dengan manusia dan kehidupannya untuk mencapai hakikat kebenaran’(Plato)
‘Falsafah adalah disiplin yang menyelidiki asa sebab segala benda.’ (Aristotle)
Menurut islam pula falsafah adalah:
‘Falsafah ialah ilmu tentang alam yang maujud dan bertujuan menyelidiki hakikat yang sebenarnya.’ (Al-Farabi)
‘Falsafah ialah perbincangan berkaitan soal-soal agama dan ketuhanan semata-mata dan hasil pemikiran manusia yang spekulatif yang berdasarkan uji kaji dan pengamatan yang tajam.’(Al Ghazali)
Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah landasan dan halatuju pendidikan di Malaysia yang menyeluruh dari segi jasmani,emosi,intelek dan rohani bagi membentuk generasi masa depan yang berminda kelas pertama.
Dari sudut intelek, Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan kepada hikmah, iaitu ilmu yang membawa kepada kebenaran. Masyrakat yang kreatif , innovatif, logik dan analitik.Unsur kerohanian dan emosi pula lebih berlandaskan rukun Negara dan semangat patriotisme di dalam masyarakat. Unsur jasmani pula, menekankan kepada kecerdasan fizikal dan masyarakat yang berdikari.
Proses Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini adalah untuk mendidik pelajar secara berterusan bagi mengembangkan potensi pelajar. Pengajaran yang berbentuk fokus kepada individu dan bersepadu iaitu menyeluruh dari segi jasmani,emosi, rohani dan intelek. Proses ini bermatlamatkan pembentukan insan yang cemerlang, berilmu, mahir dan berakhlak. Kesan daripada proses ini, akan terbentuk dua dimensi dalam kehidupan iaitu dimensi interinsik dan dimensi instrumental. Dimensi interinksik adalah merujuk kepada kepercayaan kepada tuhan, berilmu, berketerampilan, berakhlak, bertanggungjawab dan sejahtera diri. Manakala, dimensi instrumental pula adalah mereka yang berupaya memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.merujuk kedua –dua dimensi ini seorang individu itu harus mempunyai dimensi interinksik dahulu sebelum memiliki dimensi instrumental.
3.0 ISU, CABARAN DAN PENDEKATAN
Tugasan ini telah membangkitkan beberapa isu dalam mengembalikan landasan pendidikan kebangsaan. Terdapat juga cabaran yang perlu dilalui bagi mamperkasakan falsfah pendidikan negara. Kami telah menyatakan beberapa pendekatan yang di ambil kerajaan bagi mencapai dasar dan hala tuju pendidikan di Malaysia.
3.1 PENDIDIKAN TIDAK MENGIKUT LANDASAN
Pendidikan yang lari dari konsep dan falasafah pendidikan kebangsaan. Terdapat beberapa cabaran yang perlu dilalui dan pendekatan yang telah diambil termasuk memperkenalkan kurikulum standard pra sekolah dan kurikulum standard sekolah rendah.
3.1.1 ISU
Pada asalnya pendidikan di sekolah perlulah berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu seimbang dari seluruh aspek (JERI) iaitu jasmani, emosi rohani dan intelek. Pendidikan di sekolah pada hari ini tidak betul-betul berlandaskan falsafah pendidikan kebangsaan, tetapi pihak sekolah dan guru pada hari ini lebih menekankan akedemik semata-mata untuk menaikkan tahap ‘semua A’ dalam mata pelajaran. Pelajar akan memberi fokus kepada bidang akademik sahaja dan bertungkus-lumus untuk mendapat A dalam peperiksaan. Hal ini menyebabkan pelajar tidak aktif dalam sukan dan kokurikulum lain.
Selain itu pendidikan di sekolah tidak berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kebanyakan pemahaman pelajar dan ibu bapa baranggapan bahawa sekolah adalah tempat untuk belajar akademik semata-mata dan bukannya tempat untuk bermain. Ada ibu bapa yang menghalang penglibatan anak dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini akan merugikan pelajar, kerana mereka tidak dilengkapi dengan aspek rohani, jasmani dan emosi. Hal ini akan mendatangkan kesan negatif dalam hidup mereka pada masa depan. Pelajar akan berasa kekok untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti berpersatuan kelak akibat tidak mahu menonjolkan diri semasa di sekolah. Pelajar ini hanya berkembang dari segi intelek sahaja apabila lebih mengutamakan pelajaran semata-mata dan tidak mahu melibatkan diri dengan aktiviti luar.
3.1.2 CABARAN
Bagi meletakkan kembali hala tuju pendidikan itu yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pelbagai cabaran yang telah dilalui. Terdapat ibu bapa yang menghalang anak mereka melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum atas alasan ia akan mengabaikan pelajaran mereka. Selain itu, guru-guru juga di minta mengadakan kelas tambahan di luar waktu sekolah. Cabaran ini menyebabkan pelajar akan lebih menumpukan aspek akademik dan mengabaikan aspek penting lain.
Selain itu guru juga lebih banyak menumpukan pencapaian akademik pelajar daripada membantu pelajar menjadi pelajar yang baik. Guru hanya mengajar untuk membolehkan pelajar mendapat A dalam setiap subjek tetapi guru tidak mengenalkan ilmu yang lain seperti sahsiah, jasmani dan rohani pelajar. Pelajar ini pada masa akan datang tidak dapat bergiat aktif apabila perkembangan mereka tidak menyeluruh. Guru seharusnya memberi keseluruhan ilmu kepada pelajar mengikut perkembangan mereka dan tidak terlalu mementingkan akademik semata-mata. Guru juga tidak memainkan peranan dalam menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kebanyakan guru juga tidak tahu tentang Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Guru seharusnya mendidik murid bagi menyeluruhkan perkembangan dan kebolehan mereka bagi mewujudkan modal insan yang baik.
3.1.3 PENDEKATAN
Apabila kurikulum dijadikan setanding dengan kokurikulum, ia menunjukkan langkah pertama bagi mengembalikan falsafah pendidikan ke landasannya. Setiap pelajar harus melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum bagi memudahkan mereka memasuki IPTA. Ko kurikulum juga menjadi asas dalam pendidikan di sekolah.
Selain itu, dengan adanya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), ia akan membantu generasi muda dalam melengkapi aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek. PLKN dapat membantu pelajar membina keyakinan diri dan kecerdasan. Program PLKN dapat memupuk semangat berpasukan, cintakan tanah air, hormat-menghormati antara satu sama lain, bergaul dengan pelbagai kaum seterusnya bertukar-tukar pendapat serta idea antara satu mereka. Program ini dilihat dapat menyeimbangkan pelajar setelah bertungkus-lumus dalam peperiksaan. Hal ini kerana pelajar tidak terlalu obses dalam intelek sahaja, malah turut meluangkan masa dalam aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek. Hal ini akan menggalakkan pelajar menyempurnakan aktiviti kokurikulum.
Dasar 10 matapelajaran dalam SPM dapat membantu pelajar meluangkan masa mereka untuk aktiviti lain. Selain daripada belajar, pelajar dapat mengikuti pelbagai aktiviti lain seperti menyertai kelab-kelab dan persatuan di sekolah. Pelajar dapat melibatkan diri secara aktif tanpa perlu mengabaikan pelajaran. Apabila pelajar mengambil lebih daripada 10 subjek, pelajar tidak dapat terlibat dalam mana-mana persatuan dan tidak mahu melibatkan diri secara aktif dalam persatuan kerana bimbang tidak dapat menumpukan perhatian terhadap mata pelajaran yang diambil. Justeru, dasar 10 subjek dilihat lebih relevan dengan seorang pelajar. Pelajar yang mengambil 10 mata pelajaran dapat melibatkan diri secara aktif dan meningkatkan perkembangannya secara menyeluruh manakala pelajar yang mengejar lebih dari 10 A tidak mendapat perkembangan jasmani, emosi, dan rohani.
Selain itu, apabila kerajaan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah, ia menunjukkan kearajaan mengembalikan hala tuju kepada landasan Falsafah Pendidikan Kebangsaan semula. Hal ini dapat dilihat, apabila kerajaan mula menitikberatkan pendidikan di peringkat awal kanak-kanak. Kurikulum standard prasekolah dan kurikulum standard sekolah rendah, di asaskan berlandaskan prinsip-prinsip kurikulum bersepadu sekolah rendah dan akan digunakan beriringan.
KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH DAN KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH.
Kurikulum Berasaskan Standard
Standard Kandungan adalah pernyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.
Standard pembelajaran adalah satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.
Tahap Persekolahan
Prasekolah
perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan
perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan
ke sekolah rendah serta pendedahan kemahiran 4M
Tahap1 sekolah Rendah
(Tahun 1 – 2)
penguasaan 4M dan kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap, dan nilai.
(Tahun 1 – 2)
penguasaan 4M dan kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap, dan nilai.
Tahap ll Sekolah Rendah
(Tahun 3 – 6)
pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai
(Tahun 3 – 6)
pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai
Bagi membentuk seorang insan yang seimbang, pelajar di beri pendedahan supaya berfikiran kreatif , kritis dan innovatif. Kurikulum di bentuk daripada enam tunjang utama dalam membentuk modal insan kelas pertama.
Komunikasi
- Penggabungjalinan kemahiran berbahasa semasa berinteraksi secara verbal dan non verbal dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil
· Literasi Sains & Teknologi
- Penguasaan pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
- Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik
- Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi
o Kerohanian, Sikap & Nilai
- Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai
· Fizikal & Estetika
- Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri
- Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi
· Kemanusiaan
- Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global
- Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan
· Keterampilan Diri
- Pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum
Namun kurikulum standard ini memerlukan sokongan dari semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru. Kurikulum ini adalah jalan terbaik yang di ambil kerajaan bagi membentuk pendidikan yang holistik bagi mengembalikan pendidikan ke landasan yang betul.
3.2 PERANAN MASYARAKAT DAN KELUARGA
Masyarakat adalah komuniti yang paling penting dalam mencapai matlamat pendidikan. Tugasan ini telah mengkategorikan ibu bapa, guru , persekitaran dan rakan sebaya sebagi masyarakat. Terdapat beberapa cabaran dalam mengembalikan peranan masyarakat bagi membentuk pendidikan yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara.
3.2.1 ISU
Masyarakat dan keluarga juga berperanan dalam memberi pendidikan kepada pelajar. Tetapi masyarakat pada hari ini menyerahkan segalanya pada pihak sekolah dan guru. Contohnya ibu bapa; ibu bapa haruslah menekankan betapa pentingnya pendidikan, dan memberi galakan pada anak-anak untuk aktif di sekolah. Selain itu, masyarakat juga mementingkan pencapaian akademik daripada pencapaian yang lain. Ada di antara mereka yang suka membandingkan pencapaian anak-anak dan hal ini akan menyebabkan pelajar lebih berminat untuk menumpukan pelajaran dalam aspek intelek sahaja. Selain itu, masyarakat juga tidak mahu keluar dari ilmu dan cara pendidikan traditional. Ada yang menentang apabila kerajaan memperkenalkan dasar baru seperti sekolah intergrasi, wawasan dan lain-lain. Faktor genetik dan persekitaran juga memainkan peranan penting dalam proses pendidikan.
3.2.2 CABARAN
Dalam mengembalikan peranan masyarakat dalam membentuk pendidikan yang holistik, pelbagai cabaran yang berbangkit. Antara cabarannya adalah menyedarkan masyarakat konsep dan falsafah pendidikan yang sebenarnya. Bukan hanya mengharap kepada guru dan pihak sekolah. Selain itu, cabaran dalam member kefahaman kepada ibu bapa pengetahuan tentang pendidikan terutama mereka yang di luar bandar. Faktor ekonomi kekeluargaan juga memberi cabaran dalam mengembalikan pendidikan ke landasan yang betul. Ada ibu bapa yang meikirkan kokurikulum tidak penting kerana membuang masa dan Ringgit Malaysia. Ad yang menghalang anak-anak bergiat di dalam kokurikulum dan member penumpuan dalam bidang akademik sahaja. Penubuhan pusat tuisyen pula menyebabkan pelajar tiada masa untuk aktiviti-aktiviti lain selain penumpuan akademik. Kanak-kanak yang di peringakat prasekolah juga di beri penekanan akademik. Hal ini adalah antara cabaran yang menyebabkan peranan masyarakat dan keluarga tersekat bagi mengembalikan pendidikan ke landasan yang betul.
3.2.3 PENDEKATAN
PLKN merupakan alternatif lain dalam menghadapi cabaran-cabaran yang berbangkit. Modul dalam PLKN menyeluruh dan holistik bagi membentuk remaja yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Masyarakat dapat melihat kepentingan aktiviti luar kelas setelah PLKN diperkenalkan. Selain itu, media massa juga memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan konsep PLKN kepada masyarakat.
Kempen-kempen kerajaan seperti bulan membaca juga baik dan dapat membantu dalam menyampaikan maksud dan konsep pendidikan sebenarnya kepada ibu bapa. Selain itu iklan di kaca televisyen juga dapat membantu menerangkan pendidikan yang seimbang.
Pihak sekolah juga harus memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada ibu bapa. Guru merupakan orang tengah dalam pendidikan. Hubungan langsung antara ibu bapa dan guru akan member kesan yang baik kepada pelajar. Dengan adanya hari terbuka sekolah, hari ibu bapa dan hari persembahan, ibu bapa dapat meluangkan masa untuk melihat perkembangan pendidikan anak-anaknya. Seperti yang di amalkan di dalam pendidikan barat mengenai kepentingan perhubungan ibu bapa dengan pihak sekolah. Cara ini dapat membantu ibu bapa faham mengenai konsep dalam pendidikan.
3.3 PENDIDIKAN TINGGI
Petumbuhan IPT seperti cendawan selepas hujan menyebabkan banyak masalah pengangguran. Selain itu cabaran-cabaran yang di lalui dalam isu pendidikan tinggi adalah ats cabaran mahasiswa dan pelajar menjadikan IPT sebagai matlamat pendidikan dimana tersasar dari landasan hala tuju pendidikan negara.
3.3.1 ISU
Kini terlalu banyak Institut Pengajian Tinggi (IPT) di buka, dan sesiapa sahaja boleh menyertainya. Syarat untuk memasuki IPT juga amat senang dan mudah, ini menyebabkan pelajar melakukan tugasnya cukup-cukup sahaja. Pelajar tidak melakukan tugasan dengan bersungguh-sungguh dan mengamalkan sikap negatif iaitu ‘janji siap dan janji hantar sudah dikira bagus’.
Perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Cuma tempoh perkembangannya agak perlahan dan menjadi semakin pesat selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ketika itu, ekonomi Negara sudah mula pesat membangun. Untuk rekod, sebelum merdeka, hanya sebuah sahaja pusat pengajian tinggi bertaraf universiti yang ditubuhkan oleh Inggeris, iaitu Universiti Malaya (UM) di Singapura pada tahun 1949. Ianya merupakan hasil penaikkan taraf Kolej Raffles yang ditubuhkan pada 1928. Oleh sebab UM terletak di Singapura, dan hasil pengaruh politik penjajah dan rakyat Singapura , maka penduduk di Tanah Melayu kurang mendapat manfaat daripada kewujudannya. (Kamarudin, 1989).
Setelah banyak IPT dibuka pelbagai bidang juga dibuka, ini menyebabkan bidang- bidang yang tidak releven juga turut dibuka. Setelah pelajar mengambil bidang yang tidak releven tersebut, ia akan menyebabkan pelajar tadi mengangur kerana tidak ada pekerjaan yang sesuai dengan bidang tersebut, ini juga menyumbang kepada jumlah penganguran di negara kita. Sejak dari dulu jumlah penganggur di negara kita sentiasa meningkat dan menyebabkan kegiatan jenayah juga semakin meningkat. Pemilihan ke IPT juga berasaskan akademik semata-mata. Pelajar pada zaman kini juga terlalu memilh kerjaya sedangkan kerjaya tersebut diluar kemampuan mereka. Hal ini menyebabkan ramai yang gagal dan menganggur. Selain itu ada sesetengah pelajar yang mengambil bidang dimana mengikut kehendak ibu bapa, ini juga menyebabkan pelajar belajar dengan tekanan dan akhirnya terpaksa diberhentikan.
3.3.2 CABARAN
Masalah siswazah menganggur merupakan suatu isu yang memberi cabaran besar terhadap perkembangan pendidikan tinggi negara semasa. Walaupun jumlah mereka yang menganggur tidak dapat dipastikan secara mutlak, namun anggaran tidak rasmi menunjukkan jumlahnya mencecah seramai 60 ribu orang atau merupakan 11 peratus daripada jumlah yang menganggur (MTEN 2001, Ishak Yussof et al.2004, Zulkifly Othman & Ishak Yussof 2005, Utusan Malaysia 2005a, Utusan Malaysia 2005b). Ada pandangan mengaitkan isu siswazah menganggur dengan masalah kemelesetan ekonomi yang berlaku. Ekonomi yang tidak stabil menyebabkan ramai siswazah yang menganggur. Pembiayaan pendidikan juga merupakan isu. Disebabkan kosnya yang terlalu tinggi, tidak semua mampu membiayainya. Kemudahan pinjaman pendidikan untuk membiayai pinjaman di IPTS juga amat terhad, dan jika diperolehi, ia terlalu membebankan bagi keluarga yang berpendapatan rendah. Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan sebahagian daripada penduduk negara ini terus tersisih daripada peluang untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tinggi, terutama dalam bidang-bidang kritikal tertentu (Ishak Yussof & Mohd Yusof Kasim 2006). Kesannya dapat dilihat dalam jurang perbezaan pendidikan dan pendapatan antara penduduk terus kekal.
3.3.3 PENDEKATAN
Setiap tahun kerajaan membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan membangun keseluruhan IPTA (Jabatan Akauntan Negara 2006). Kebanyakan IPTA menerima 90 peratus daripada peruntukan perbelanjaan mereka daripada kerajaan. Dengan ini masyarakat boleh memperolehi pendidikan tinggi daripada sektor awam jauh lebih murah berbanding dengan IPTS. Namun begitu, tidak semua mereka dapat meneruskan pengajian mereka di IPTA kerana tempat yang disediakan agak terhad. Pelaksanaan dasar meritokrasi menyebabkan mereka yang kurang cemerlang terpaksa memilih untuk melanjutkan pengajian masing-masing, dan bagi yang kurang mampu kerana yuran pengajian terlalu tinggi, maka terpaksalah melupakan hasrat mereka untuk melanjutkan pengajian.
Untuk membendung gejala ini kerajaan perlu membuka lebih banyak pekerjaan yang boleh membantu negara. Pengambilan pelajar ke IPT juga perlu dititik beratkan dari segi akademik dan kokurikulum. Ini akan membantu pelajar seimbang, tidak hanya fokus pada pembelajaran. Di bawah RMK-9, pendidikan tinggi negara dijangka terus berkembang pesat menawarkan bidang pengajian di pelbagai peringkat. Di samping itu, kerajaan juga mengambil langkah untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan ilmu peringkat tinggi di rantau. Ini dilakukan melalui usaha menarik lebih ramai pelajar asing belajar di sini dan proses ini sekaligus dijangka turut memberi kesan yang besar terhadap perkembangan pendidikan tinggi di Malaysia. Ini tidak bererti kesemuanya akan berjalan lancar seperti yang dirancang. Sebaliknya, pelbagai cabaran menanti dan bakal mendepani sistem pendidikan negara ini pada masa hadapan yang memerlukan perhatian setiap pihak berkenaan.
3.4 MASYARAKAT LUAR BANDAR
Dalam mencapai matlamat pendidikan negara masyarakat luar bandar harus mendapat perhatian yang lebih. Hal ini kerana mereka mempunyai infrastruktur dan ekonomi yang terhad.
3.4.1 ISU
Menurut Ungku Abdul Aziz 1964, Chamhuri Siwar dan Mohd. Haflah Piei,1988, masyarakat luar bandar adalah terdiri daripada mereka yang hidup dalam keadaan miskin dan serba kekurangan. Kemiskinan ini disebabkan oleh beberapa faktor, umpamanya tahap pendidikan yang rendah, ketiadaan kemahiran dalam pekerjaan, dan dipengaruhi oleh faktor keturunan (Agesa, 2004;Yuji Tamura, 2003;Downs, 1970;Nurizan Yahaya, 1998). Faktor ini menyebabkan masyarakat luar bandar sering menghadapi masalah dalam pelbagai perkara sehingga menyebabkan mereka berterusan berada dalam keadaan miskin. Oleh itu, mereka perlu dibantu bagi memperbaiki taraf hidup dan pendidikan generasi akan datang.
Walaupun kemajuan pendidikan di Malaysia semakin berkembang pesat, pendidikan orang Melayu terutama di kawasan luar bandar masih kurang memuaskan. Kemunduran pendidikan orang Melayu telah menjejaskan dan melambatkan peningkatan taraf sosio ekonomi yang dapat membantu mengurangkan masalah pembaziran reproduktif (Moha Asri Hj. Abdullah, 1997:172). Sebagai contoh, Watson (1982:88) mengatakan sistem pendidikan di Malaysia dipengaruhi oleh pengaruh British contohnya dalam aspek pentadbiran, struktur dan kurikulum serta peperiksaan. Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya pengagihan etnik, pengagihan kelas dan berlakunya ketaksamaan dalam sesebuah wilayah dan negeri. Perbezaan kaum dan kelas ini telah mewujudkan jurang khasnya dalam kalangan bangsa Melayu sendiri (Abdul Rahim Abdul Rashid, 2002:36). Hal ini telah memberi gambaran yang tepat bahawa kewujudan ketaksamaan daripada pelbagai aspek telah berlaku sejak waktu dahulu lagi dan masih berterusan hingga ke hari ini. Apa yang dibimbangkan adalah golongan terlibat merupakan golongan yang terdiri daripada masyarakat Melayu yang umumnya tinggal di kawasan luar bandar.
3.4.2 CABARAN
Tahap pendidikan masyarakat luar bandar juga rendah (Buarque et al., 2006:225). Oleh hal yang demikian, masyarakat luar bandar lebih menumpukan pekerjaan dalam sektor tradisional sahaja. Tahap pendidikan yang rendah dan kekurangan kemahiran menyebabkan masyarakat luar bandar berhadapan dengan masalah kurang daya saing dalam sektor pekerjaan serta sukar mendapatkan pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan (Nhamo dan Nhamo, 2006:312).
Masyarakat luar bandar sering berhadapan dengan masalah ketiadaan sumber bantuan dan kebajikan dari pihak yang terlibat. Pada hakikatnya, golongan ini menerima bantuan daripada pihak tertentu. Namun, ada juga kes yang melibatkan saluran bantuan tidak dapat diterima oleh golongan ini disebabkan oleh faktor seperti keciciran, sumber bantuan yang tidak bersesuaian, serta kurang mendapat pembelaan daripada pihak-pihak tertentu. Walaupun sememangnya terdapat sumber bantuan atau kebajikan daripada badan-badan kerajaan ataupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) samada berbentuk kewangan, kemudahan asas, dan infrastruktur, namun ia dikatakan kurang berkesan kerana tidak sampai kepada masyarakat luar bandar (Mohd. Zaini Omar, 2002).
3.4.3 PENDEKATAN
Masalah pendidikan dapat diatasi sekiranya golongan luar bandar diberi kemudahan dan bantuan. Menyedari keperluan ini, kerajaan telah mempelbagaikan langkah dan usaha bagi membantu masyarakat luar bandar keluar dari kepompong kemiskinan melalui pendidikan. Contohnya, bagi memastikan perbelanjaan pendidikan mencukupi, kerajaan telah menambahkan peruntukan kewangan kepada kira-kira 400,000 murid miskin seluruh negara dengan menambah RM20 menjadikan jumlahnya RM50 sebulan menerusi skim bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), mulai tahun 2007 (Malaysia, 2006b:342). Langkah ini merupakan salah satu cara mengurangkan beban keluarga dalam aspek perbelanjaan pendidikan bagi masyarakat luar bandar.
Sasaran menghapuskan kemiskinan terutama kemiskinan tegar menjelang 2010 menjadi antara agenda utama Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Salah satu strategi yang digariskan adalah melalui pencapaian pendidikan yang tinggi. Perkembangan positif ini jelas digambarkan melalui perangkaan pendidikan yang memberi maklumat penting dalam menilai kemajuan sektor pendidikan negara. Perangkaan ini juga memberi input asas kepada pihak penggubal dasar untuk merancang sekaligus menentukan perkembangan dan hala tuju pendidikan negara (Abdul Rahim Abdul Rashid, 2002:15). Oleh sebab itu, langkah dan usaha bagi memantapkan pendidikan sebagai teras pembangunan insan terus dipantau dan dinilai supaya sistem pendidikan negara mencapai kualiti yang telah disasarkan serta mampu mengatasi masalah kemiskinan.
3.5 KUALITI TENAGA PENGAJAR
Kelahiran guru yang terlalu ramai dari maktab dan pusat pengajian tinggi menyebabkan profesion ini kekurangan tenaga yang mahir. Kualiti tenaga pengajar yang kurang menyebabkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak berada di landasannya.
3.5.1 ISU
Tenaga pengajar profesional ialah wujudnya himpunan ilmu mengenai profesion itu sendiri, anggota profesion mestilah menguasai dan menghayati himpunan ilmu tersebut, mempunyai himpunan kemahiran dan kecekapan yang unik kepada profesion itu sahaja dan kepercayan serta keyakinan terhadap matlamat profesion iaitu pendidikan dan bukannya pengajaran semata. Adakah guru pada hari ini mempunyai ciri-ciri seperti ini? Isu yang ingin dibangkitkan ialah tenaga pengajar pada hari ini yang kurang berkualiti dan tidak mengikut perkembangan keperluan semasa. Selain itu guru pada masa kini juga tidak mengambil berat tentang matlamat dan landasan pendidikan Negara.
3.5.2 CABARAN
Cabaran profesion keguruan pada hari ini ialah bilangan guru yang semakin ramai tetapi tidak berkualiti. Kebanyakan penghasilan guru yang tidak berkualiti ini memilih profesion perguruan sebagai pilihan yang terakhir. Kebanyakan mereka mengambil Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di IPTA dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di maktab perguruan. Selain itu, pelajar-pelajar yang memilih bidang pendidikan menganggap pendidikan adalah salah satu cara untuk mereka mendapatkan pekerjaan dengan cara yang mudah apabila bergelar graduan kelak. Sikap ambil mudah inilah yang menyebabkan guru-guru yang dihasilkan tidak berkualiti. Guru hanya memainkan peranan untuk mengajar sahaja “bagai melepaskan batuk di tangga”. Guru diibaratkan sebagai melepaskan tanggungjawabnya sebagai guru iaitu masuk ke kelas dan mengajar. Hal ini mnyebabkan kerajaan tidak dapat mencapai matlamat pendidikan yang sebenarnya.
Jumlah guru wanita yang terlalu ramai kadangkala boleh menimbulkan beberapa masalah. Pertama, pelajar-pelajar lelaki tidak mendapat pendedahan yang secukupnya untuk melakukan aktiviti-aktiviti luar kelas yang mana kebanyakkannya guru wanita tidak tahan lasak, tidak berkebolehan untuk memimpin permainan-permainan tertentu seperti ragbi, bola sepak, sepak takraw dan lain-lain. Kedua, sesetengah guru wanita merungut bila dibebankan dengan matapelajaran di luar bidang dan kesanggupan mereka. Ketiga, apabila guru-guru bercuti panjang kerana bersalin kemungkinan pelajar-pelajarnya akan mengalami risiko ketinggalan kelas. Ada juga guru wanita tidak suka menglibatkan diri dalam aktiviti padang mereka lebih menumpukan aktiviti di dalam kelas. Hal ini, akan menyebabkan pelajar tidak memenuhi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Cabaran lain ialah pelbagai kelayakan. Hal ini bermaksud guru pada peringkat sekolah rendah juga mempunyai pelbagai kelayakan seperti peringkat sijil, diploma termasuk ijazah. Guru yang mempunyai kelayakan yang lebih tinggi memberi pelbagai cabaran kepada guru yang mempunyai kelayakan yang lebih rendah. Guru yang mempunyai kelayakan rendah akan berasa dipinggirkan apabila terdapat guru yang mempunyai kelayakan yang lebih tinggi. Hal ini, menyebabkan guru tidak menjalankan tugas dengan baik dan menyimpang dari matlamat pendidikan sebenarnya.
3.5.3 PENDEKATAN
Menurut Lasley, 1990 guru hendaklah memiliki pengetahuan teknikal tertentu contohnya ICT. Apabila pelajar bertanyakan kepada guru mengenai ICT, guru tidak akan berasa kekok untuk menjawabnya kerana telah biasa mendalami ilmu teknikal tersebut. Guru juga perlu mengaplikasikan pengetahuan teknikal dalam situasi sebenar. Contohnya, dalam memberi kerja rumah kepada pelajar, apa salahnya sesekali guru melatih pelajar menghantar tugasan dengan menggunakan e-mel. Selain itu, pelajar juga boleh bertukar-tukar pendapat dengan guru dengan menggunakan e-mel atau pun laman web sosial yang semakin popular sekarang iaitu facebook, friendster, myspace, tagged, yahoo messenger dan sebagainya. Penggunaan sistem ini yang semakin meluas tidaklah dikatakan membuang masa remaja, tetapi dapat memberi manfaat kepada guru itu sendiri malahan pelajar lebih-lebih lagi yang ingin sentiasa melakukan kerja mudah. Guru juga mesti mencerminkan mereka sebagai insan yang berilmu. Guru harus memberi nasihat yang berguna kepada pelajar dan memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada mereka. Apabila terdapat pelajar yang tidak memahami pelajaran, guru haruslah memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai hal tersebut. Pendekatan ini juga tidak menghadkan hubungan guru dengan pelajar. Perhubungan ini dapat membantu pelajar dalam aspek sosial dan emosinya.
Guru dan pelajar juga boleh menjadi kawan. Ini tidak bermaksud pelajar boleh sewenang-wenangnya menganggap guru seperti kawan mereka yang lain. Definisi berkawan dengan guru disini ialah murid akrab dengan guru iaitu murid akan berkongsi pelbagai masalah dengan guru termasuk perkara peribadi. Guru tersebut akan cuba menyelesaikan masalah tersebut sebaik mumgkin dan memberi nasihat yang berguna kepada pelajar dengan jaminan tidak akan menceritakan perihal tersebut kepada orang lain. Pendekatan ini dilihat sukar kerana jurang antara pelajar dan guru adalah jauh. Tetapi, jika guru dan pelajar mengamalkan pendekatan ini, masalah dalam pembelajaran akan berkurangan. Hal ini, dapat membantu mencapai konsep dan matlamat pendidikan di Malaysia.
3.6 PENDIDIKAN BUKAN FORMAL
Pendidikan bukan formal adalah faktor penting dalam membentuk jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ia adalah pelengkap dalam pendidikan formal dan tidak formal. Selain itu pendidikan bukan formal juga,mempunyai cabaran dalam mencapi matlamatnya. FPK adalah pendidikan yang berterusan. Hal ini dapat di bantu dengan adanya pendidikan bukan formal.
3.6.1 ISU
Pendidikan Bukan Formal (PBF) adalah pelengkap kepada pendidikan formal dan tidak formal. Justeru itu, ia amat penting dan bermakna kepada pembangunan manusia secara menyeluruh. Pendidikan Bukan Formal amat penting kepada sesebuah negara yang sedang pesat membangun seperti Malaysia. Hal ini kerana PBF adalah pelengkap kepada pendidikan formal.
Secara umumnya, menurut Carton, M (1985), PBF ialah segala bentuk aktiviti pendidikan yang tersusun dan sistematik untuk sesuatu golongan berdasarkan keperluan dan aspirasi mereka. Ciri-ciri lain pendidikan non-formal ialah para pesertanya tidak terbatas kepada golongan muda, dewasa atau golongan tua. Namun demikian, ia tertumpu kepada mana-mana golongan tertentu dengan matlamat dan objektif tertentu. Ia dijalankan atau diorganisasikan oleh sesuatu pihak atau agensi. Suasana pembelajaran adalah formal iaitu ada kurikulum yang berstruktur dan formal serta ada infrastruktur seperti bilik darjah dan kemudahan-kemudahan pembelajaran dan pengajaran.
Isu disini ialah PBF di Malaysia dikendalikan oleh berbagai-bagai institusi dan pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Setiap badan dan institusi besar mempunyai pusat-pusat latihan khusus untuk memenuhi kehendak-kehendak sendiri, tanpa mengambil kira badan-badan atau institusi-institusi lain. Sudah tentulah dengan begitu banyak institusi yang mempunyai program PBF, matlamat dan orientasinya akan berbeza antara satu dengan yang lain. Mengikut Kementerian Pelajaran (1981) PBF di Malaysia mempunyai lima objektif.
Dewasa ini, pendidikan merupakan wahana atau alat penting kepada individu dan masyarakat bagi meningkatkan mobiliti sosial masing-masing. Berbeza sama sekali pada zaman pra sejarah, zaman feudal dan pasca-feudal yang mana mobiliti sosial ditandai oleh bangsa, ras, keturunan dan status sosial yang dimiliki. Pendidikan bukan lagi ‘lambang’ bagi kelas dan golongan tertentu seperti mana yang berlaku di Tanah Melayu pada awal tahun 1920-an hingga terungkapnya Penyata Razak pada 1961. Ironinya, pendidikan telah menjadi alat penting selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan Dasar Ekonomi Baru 1970 selepas daripada peristiwa penting ini pendidikan telah berubah wajah dan corak kepada berbentuk massa. Dan hari ini, menjelang alaf baru pendidikan sudah semacam satu keperluan dan tidak terelakkan kepada setiap individu masyarakat tanpa mengira kaum, stratifikasi sosial demografi dan sebagainya.
3.6.2 CABARAN
Pendidikan dengan pelbagai sistem, bentuk, corak, dasar, falsafah dan amalan telah membawa paradigma yang tidak terbatas kepada ruang, masa dan tempat.Dan ia sesuai dengan sifat pendidikan itu yang bersifat telus dan dinamik. Malah sejak kebelakangan ini pendidikan sudah melepasi garis sempadan dan wilayah. Muncul paradigma baru pendidikan yang lebih bercorak massa, komersial, global dan berpanjangan sifatnya sesuai dengan istilah ‘pendidikan sepanjang hayat’(life long education).Tidak ada lagi halangan dan bayangan ‘elitis’ dalam pendidikan; bermakna peluang dan ruang merata kepada setiap ahli masyarakat. Cuma yang menggerakkan upaya dan kehendak individu untuk terus dididik dan terdidik adalah usaha dan kesungguhan yang bukan sedikit. Sukar sekali menempatkan diri dalam hirarki sosial yang menegak mahupun mendatar andai kurangnya atau tidak ada motivasi dalaman yang menggerakkannya.
Cabaran seterusnya ialah sistem pendidikan formal tidak mengandungi pengetahuan pengajaran kemahiran, pelajaran berkomunikasi dan pendidikan moral. Selepas 9 hingga 11 tahun bersekolah mereka akan memasuki dunia pekerjaan, masalahnya apa yang ada di luar tidak sama apa yang dipelajari di sekolah. Menurut Shamsuddin (1993); “...banyak anak-anak kita, yang lulus PMR ataupun SPM tidak semuanya berkerja dengan kerajaan. Peluang swasta untuk mereka pula dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Industri ini kebanyakannya bukan milik Melayu. Mereka ada kaedah mereka sendiri. Mereka lebih gemar pelatih...beri makan minum dan sedikit elaun. Misalnya menyediakan bengkel. Mereka ambil pelatih ini daripada kaum mereka yang rajin, tidak kira lulus SPM atau SRP. Satu lagi contoh ialah bidang binaan. Pelajar kebanyakkan ada sijil dan ada latihan sekolah Vokasional. Tetapi tukang simen, tukang batu dari Indonesia lebih murah. Mereka lebih inovatif dan berfikir. Kalau kerja tukang murah sangat, mereka berusaha jadi tauke secara perlahan-lahan - kutip besi buruk, kutip akhbar buruk, kutip botol buruk...”tetapi kemahiran ini tidak ada pada pelajar di Malysia. Boleh jadi ini semua tidak ada dalam sistem pendidikan formal.
3.6.3 PENDEKATAN
Sehubungan itu, satu pendekatan iaitu kurikulum bagi membina “generic skills” harus diberi penekanan samada dalam pendidikan formal mahupun dalam pendidikan bukan formal. Selain itu penekanan juga haruslah diberikan kepada perubahan sikap, pembinaan kualiti personal dan kepimpinan, sikap terhadap tugas, kerja dan tanggungjawab, kesedaran dan motivasi untuk membangun dan mencapai tujuan. Selain itu, program PBF berbentuk teknikal dan vokasional harus mendapat tempat yang sewajarnya pada masa kini. Dasar pendidikan seperti ini selaras dengan matlamat perindustrian negara, khususnya bagi mempertingkatkan pengeluaran dan menyediakan lebih banyak tenaga mahir, tenaga juruteknik dan juga tenaga sokongan dalam sektor perusahaan dan perindustrian.
Dalam usaha membentuk apa jua masyarakat, institusi pendidikan dianggap mempunyai peranan yang penting. Kadang-kadang masyarakat terlalu sangat menyerahkan takdirnya kepada sekolah, seolah-olah sekolah dapat menyelesaikan segala kepincangan yang ada. Mungkin juga dari segi kognitif atau ilmu pengetahuan sekolah formal mempunyai peranan yang penting tetapi dari segi pembinaan sikap, tingkahlaku dan nilai, peranan yang dimainkan oleh sekolah bergantung kepada sokongan daripada institusi-institusi atau agensi-agensi lain dalam masyarakat seperti keluarga, media massa, pertubuhan dan lain-lain. Masalah hari ini ialah institusi-institusi lain kadang-kadang tidak memainkan peranan yang sepatutnya. Oleh itu, ia tidak memperkukuhkan usaha sekolah, malahan kadangkala merupakan institusi yang kontra kepada usaha sekolah. Kita tidak dapat menyalahkan ahli-ahli institusi tersebut sebab mereka sendiri tidak mengetahui nilai, sikap dan norma bagaimanakah yang sedang disalurkan di sekolah. Di sinilah peranan besar harus dimainkan oleh PBF. PBF, walau apa corak atau jenisnya, haruslah menjadi institusi yang menyokong usaha sekolah tadi. Peranannya ialah memberi latihan kepada mereka yang amat memerlukan bagi masa depan dan survival hari muka. Pendekatan ini juga dapat mengembalikan hala tuju pendidikan ke landasan yang betul.
4.0 PENUTUP
Setiap masalah pasti ada penyelesaianyang yang bersesuaian, bagi isu dan cabaran yang wujud pasti ada pendekatan yang bersesuaian, sebagai pihak berwajib pendekatan yang diambil haruslah munasabah, holistik dan diterima oleh semua. Pendekatan yang munasabah bermaksud pendekatan yang bersesuaian dan selaras dengan masa terkini, pendekatan tersebut perlulah adil bagi semua orang dan tidak terlalu kolot. Pendekatan yang holistik adalah pendekatan dari pelbagai aspek seperti pembangunan ilmu, kemahiran, modal intelektual dalam sains, teknologi dan keusahawanan. Semua pendekatan juga harus meliputi dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Pendekataan yang boleh diterima oleh semua adalah pendekataan yang dicipta tidak bersifat berat sebelah dan tidak menyusahkan sesiapa jika di laksanakan. Seperti kata-kata bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi;
“Pendekatan yang diambil hendaklah holistik dan penekanan perlu diberi kepada pembangunan ilmu, kemahiran, modal intelektual dalam sains, teknologi dan keusahawanan. Pada masa sama, kita hendaklah membangunkan satu budaya progresif di kalangan masyarakat dengan nilai moral dan etika yang tinggi.”
Pendekatan yang berkesan akan melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Ini seiringdengan matlamat negara untuk membentuk modal insan kelas pertama. Dengan adanya modal insan kelas pertama, ini akan membentuk negara yang maju dan membangun dengan berjaya. Pendekatan yang berkesan juga akan mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Generasi terkini adalah pemangkin negara pada masa depan, jika generasi sekarang bersalsiah tinggi maka negara pada masa depan akan maju dan berjaya. Seperti kata Yusof Al Qaradhawi
“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman dan makmur tetapi jika keadaan sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku.”
Dari kata-kata ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah faktor yang menyumbang pembangunan negara yang terbesar. Jadi hala tuju dan landasan pendidikan negara amat penting bagi mencapai Negara yang boleh bersaing di peringkat global. Matlamat ini dapat di capai dari pembinaan modal insan kelas pertama.
BIBLIOGRAFI
http://mymalaysiainfo.com/education/index.htm. Diperoleh pada 28 januari 2010
Siti Masayu Rosliah (2008) peluang dan cabaran masyarakat luar bandar. Jurnal Pendidik dan Pendidikan.. m.s. 40-62.
Mohd Syariefudin Abdullah,Muhamad Kamal Kamaruddin & Ahmad Sohaimi Lazim.(2009) kenegaraan dan ketamadunan . Selangor: Oxford, Fajar Sdn Bhd
Ruslan Zainuddin (2004) Nota Lengkap STPM:Sejarah Malaysia (Edisi Kedua).
Selangor:Oxford, Fajar Sdn Bhd
&ec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm. Diperoleh pada 28 januari 2010
2020. Diperoleh pada 28 Januari 2010
Diperoleh pada 28 Januari 2010.
Junaidah Salehudin, Rosnani Rifin & Nor Aslina Mamat (2006) masteri memori
melalui peta minda sejarah SPM. Selangor: PNI Neuron (M) Sdn Bhd.
Mohd Azhar Abdul Hamid et Al(2008) Pendidikan bukan formal(PBF) Di Malaysia.
cabaran dan hala tuju wawasan 2020.m.s. 102-113.
Zulkifly Osman, Ishak Yussof & Zainizam Zakariya (2006) hala tuju dan cabaran
pendidikan tinggi Negara di bawah rancangan Malaysia Ke-9.m.s.165-169
1 comment:
Berterima kasih kerana banyak mendapat ilmu dan rujukan dalam menyiapkan asgnnmnt sy. TQ. sharing is caring...
Post a Comment