Saturday, April 16, 2011

TEORI PSIKOSEKSUAL SIGMUND FRUED. ISU: PERANAN IBU BAPA DALAM PERSONALITI NEGATIF REMAJA

1.0 PENGENALAN KEPADA SIGMUND FRUED
Ulasan ini akan memperkenalkan biodata tokoh, teori yang telah diasaskan, proses teraputik dan sumbangan tokoh.
1.1 Biodata Tokoh
Sigmund Freud ialah seorang ahli psikologi dari Austria yang telah mengutarakan teori perkembangan psikoseksual. Menurut Freud perkembangan manusia adalah dipengaruhi oleh perkembangan masa lampau mereka terutama ketika umur enam tahun yang pertama. Semasa perkembangan ini berlaku perlakuan manusia adalah dibentuk daripada tiga bentuk pemikiran, iaitu sedar, prasedar dan tidak sedar. Pemikiran ini diibaratkan seperti ‘iceberg’ di mana bahagian sedar adalah sebahagian kecil sahaja dalam hidup ini manakala bahagian prasedar dan tidak sedar adalah sebahagian yang besar dalam hidup ini seperti mana yang dapat dilihat dalam gambar rajah di bawah.

1.2 Teori Sigmund Frued
Personaliti manusia adalah integrasi id, ego dan superego. Id ialah dorongan semulajadi atau lebih dikenali sebagai naluri. Ego merupakan struktur dalaman yang terbentuk daripada pengalaman dan realiti. Manakala superego merupakan nilai dan norma masyarakat. Perkembangan dalam diri seseorang itu dapat dilihat dalam teori psikoseksual yang diperkenalkan oleh ahli psikologi yang bernama Sigmund Freud. Menurut Freud perkembangan diri setiap individu terbahagi kepada lima peringkat iaitu :

Umur
Peringkat
             0 - 18 bulan
           Peringkat oral
             2 - 4 tahun
           Peringkat anal
             4 - 6 tahun
           Peringkat falik
             6 - 12 tahun
           Peringkat latensi
           12 - 18 tahun
           Peringkat genital          
Setiap peringkat berlaku secara urutan dan perkembangan yang berlaku dalam setiap peringkat tersebut akan memberi kesan yang besar kepada pembentukan personaliti seseorang itu.
1.3 Proses Teraputik
Sigmend Freud juga telah memperkenalkan proses teraputik. Matlamat proses teraputik adalah untuk menjadikan bahagian tidak sedar kepada sedar serta menguatkan ego supaya tingkah laku individu adalah berdasarkan lebih realiti dan kurang kepada instinct (naluri). Fokus proses adalah menggunakan kaedah teraputik untuk membawa bahan-bahan yang berada di bahagian tidak sedar dan diproses. Pengalaman semasa kanak-kanak dibina semula, dibincang, diinterpretasi dan dianalisis. Proses ini memerlukan peranan terapis dan klien. Peranan terapis adalah secara neutral supaya klien dapat membina hubungan yang rapat dan meluahkan masalah yang dihadapi. Terapi tidak banyak berkongsi idea dengan klien. Matlamat utama kaunseling ini adalah membolehkan klien mendapat gambaran tentang masalah yang dihadapi. Peranan klien pula mesti bersedia untuk meluahkan perasaan secara bebas tanpa tapisan kendiri. Teknik-teknik teraputik adalah interpretasi, analisis mimpi, perkaitan bebas, analisis dan interpretasi penentangan dan analisis interpretasi pemindahan.
            Teknik interpretasi adalah untuk menimbulkan kembali bahan-bahan yang berada di bawah tahap tidak sedar. Interpretasi digerakkan oleh terapis dengan merangsangkan kepada klien makna yang berkaitan dengan bahan-bahan yang berada di tahap tidak sedar yang berjaya dicungkil kembali. Interpretasi merupakan satu teknik di mana terapis cuba menunjukkan, menerangkan dan mengajar klien makna tingkah laku yang dimanisfestasikan di dalam mimpi, di dalam perkaitan bebas, penentangan dan hubungan teraputik itu sendiri. Interpretasi ini mempunyai perasaan yang signifikan kepada perkembangan klien untuk mendapatkan celik akal kepada masalah dan pengalamannya.
            Teknik analisis mimpi pula digunakan oleh terapis untuk memasuki tahap tidak sedar. Klien akan menerangkan mimpinya kepada terapis dan mimpi ini akan diinterpretasi dari simbol-simbol yang digambarkan oleh klien supaya klien mendapat celik akal untuk masalah yang tidak dapat diselesaikan sebelum sesi teraputik. Semasa tidur, pertahanan diri semakin rendah dan perasaan yang ditekan akan timbul. Freud melihat mimpi sebagai satu jalan kepada tahap tidak sedar kerana melalui mimpi keinginan, keperluan dan ketakutan yang tidak sedar dapat diluahkan.
            Teknik perkaitan bebas digunakan sebagi teknik untuk meneroka tahap tidak sedar. Teknik ini dianggap sebagai satu alat yang digunakan untuk membuka pintu kepada kemahuan, fantasi, konflik dan motivasi yang berada di tahap tidak sedar. Klien semasa berbaring di atas kerusi panjang (couch) disuruh secara spontan untuk berkongsi fikiran, perasaan dan ekspresi yang datang kepada fikirannya tanpa tapisan. Perkaitan ini akan diinterpretasi oleh terapis.
            Penentangan adalah konsep asas di dalam kaunseling psikoanalisis yang menunjukkan bahawa klien cuba menghalang kemajuan proses kaunseling. Bahan-bahan yang berada di tahap tidak sedar dihalang daripada dikeluarkan atau diluahkan dan dengan ini menghalang proses kaunseling. Penentangan merujuk kepada apa jua pendapat, sikap, perasaan atau tindakan (sedar atau tidak sedar) yang memupuk status-quo serta menghalang klien daripada berubah. Semasa proses perkaitan bebas atau perkaitan mimpi, klien menunjukkan ketidakrelaan luahan perasaan berkaitan pemikiran, perasaan dan pengalaman. Freud melihat penentangan ini sebagai dinamik tidak sedar yang digunakan oleh klien untuk melindungi diri daripada kebimbangan yang tidak dapat dihadapi dan juga kesakitan yang akan timbul jika klien sedar tentang perasaan, pengalaman dan idea yang selama ini dipendamkan. Penentangan menghalang bahan yang mengancam daripada masuk ke tahap sedar. Terapis atau kaunselor menunjukkan dan membuat interpretasi kebanyakan penentangan yang jelas dilihat oleh terapis untuk mengurangkan kemungkinan klien menolak interpretsi ini juga untuk meningkat peluang klien dan kaunselor atau terapis mula melihat tingkah laku penentangan ini. Penentangan bukanlah semata-mata untuk diatasi tetapi ia dilihat lebih kepada satu pendekatan bela diri yang digunakan oleh seseorang dalam kehidupan seharian. Ia perlu diakui sebagai satu alat yang boleh melindungi kebimbangan tetapi pada masa yang sama ia mengganggu kebolehan seseorang untuk menerima perubahan yang mungkin boleh menuju kepada kehidupan yang lebih bermakna. Adalah sangat penting kaunselor atau terapis menghormati penentangan klien dan membantu ia menangani penentangan ini semasa proses teraputik. Jika dapat ditangani dengan betul penentangan boleh menjadi salah satu alat dalam memahami klien.
            Pemindahan di dalam proses teraputik dimanisfestasikan di titik di mana perhubungan klien sebelum ini menyumbang kepada salah faham tentang hubungan dengan terapis pada masa kini. Adalah masuk akal klien akan memberi tindak balas kepada terapis sama seperti mereka bertindak balas kepada orang signifikan di dalam hidup mereka. Situasi pemindahan dianggap sebagai bermakna kerana manisfestasinya memberi klien peluang untuk mengalami semula pelbagai perasaan yang sebelum ini tidak berpeluang dialami oleh klien. Melalui hubungan dengan terapis klien dapat meluahkan perasaan, pengalaman dan kehendak yang telah tersimpan di bawah tahap tidak sedar. Melalui interpretasi kaunselor yang betul tentang ekspresi klien masa kini berkaitan dengan perasaan lampau, klien dapat mengubah corak tingkah laku yang telah dipunyai oleh seseorang klien untuk sekian lama. Analisis pemindahan ini membenarkan klien mencapai celik akal masa kini dari segi pengaruh masa lalu ke atas perfungsian sekarang. Interpretasi perhubungan pemindahan ini membolehkan klien mengatasi konflik terdahulu yang menyebabkan lekatan serta menghalang perkembangan emosi yang sihat. Pada asasnya kesan hubungan awal dalam kehidupan seseorang adalah tindakan timbal balik (counteracted) dengan melihatnya dalam hubungan teraputik berkaitan dengan konflik emosi seseorang.
1.4 Sumbangan Sigmend Freud
Teori Freud mendapat tentangan daripada pelbagai inidividu sementara aplikasi pemikiran Freud kepada bidang kaunseling sangat terkawal. Walaupun demikian sumbangan Freud amat penting kepada disiplin psikologi dan tidak harus dipandang rendah.        
            Adalah perlu ditekankan bahawa penggunaan teknik psikoanalitik secara cekap memerlukan latihan lebih daripada skop kebanyakan latihan kaunselor. Tanpa mengambil kira orientasi teori seseorang kaunselor, adalah perlu kaunselor dilatih supaya boleh memahami fenomena psikoanalitik seperti pemindahan dan kembalikan pemindahan (countertranference), penentangan dan penggunaan mekanisme bela diri sebagai reaksi kepada kebimbangan. Pendekatan psikoanalitik menyediakan kaunselor satu kerangka konsep unutk melihat tingkah laku dan memahami punca dan fungsi petanda-petanda sesuatu tingkah laku. Jika kaunselor menafikan sejarah awal klien mereka menghadkan misi serta penyebab penderitaan yang sedang dialami klien serta semulajadi perfungsian klien masa kini. Walaupun apa yang diperolehi sangat kecil dengan menyalahkan masa lalu ke atas apa yang sedang dialami oleh seseorang pada masa kini atau berselindung kepada masa lalu, adalah sangat berguna untuk memahami dan meneliti masa lalu kerana ia berkaitan dengan situasi klien pada masa kini.
            Untuk mempraktikkan teraputik, pandangan psikoanalitik sangat berguna khususnya di dalam memahami penentangan di dalam bentuk membatalkan temu janji, lari daripada proses teraputik sebelum tamat proses dan menolak melihat ke dalam diri sendiri, memahami bahawa urusan yang tidak sesuai boleh diatasi supaya klien boleh menyediakan pengakhiran baru kepada beberapa peristiwa yang telah menjejaskan emosi seseorang, memahami nilai dan peranan pemindahan dan memahami bagaimana penggunaan mekanisme bela diri secara berlebihan, kedua-duanya dalam perhubungan kaunseling dan kehidupan seharian, boleh menghalang klien daripada berfungsi secara berkesan.
            Konsep kompleks Oedipus, penis envy, kebimbangan castration, perasaan berahi terhadap ahli keluarga dan kaitan antara situasi masa lalu dan tingkah laku masa kini nampak pelik, tetapi apabila diteliti dengan mendalam konsep ini perlu dilihat dari perspektif  yang lebih luas semasa Freud membina teorinya iaitu di era Victorian di mana bapanya adalah seorang yang autokratik. Oleh itu apa yang diutarakan oleh Freud adalah logik dan boleh diterima akal.
            Fenomena sumbang mahram, rogol, lesbian dan gay yang berleluasa dipraktikkan pada masa kini di seluruh dunia terutama di Barat dapat dikaitkan dengan logik dan kebenaran teori yang diutarakan oleh Freud.
2.0 TEORI PERSONALITI
Personaliti adalah berasal dari perkataan latin yang bermaksud ‘persona’ iaitu topeng muka. Topeng muka ini digunakan oleh pelakon-pelakon Yunani di atas pentas dan bersesuaian dengan watak yang hendak dipersembahkan.  Menurut psikologi, personaliti merujuk kepada pembentukan psikologi seseorang individu secara keseluruhan. Ini merangkumi pelbagi aspek seperti perangai, kecerdasan, sentimen, sikap, minat, kepercayaan, cita-cita dan nilai-nilai murni. Menurut pandangan pengkaji-pengkaji personaliti, mereka percaya personaliti adalah perwatakan seseorang dalam tingkah lakunya seharian dan  sikapnya kepada persekitaran. Secara amnya personaliti bermaksud sahsiah keperibadian atau perwatakan seseorang. Secara khususnya personaliti dapat dibahagikan kepada beberapa pendapat.
            Menurut Sigmund Frued dalam teori psikoanalisisnya, personaliti manusia adalah dipengaruhi oleh kesan kesedaran dalam diri seseorang. Terdapat tiga tahap kesedaran, iaitu sedar, prasedar, dan bawah sedar. Tahap sedar tergolong dalam segala aspek tingkah laku, tindakan, perasaan yang mana disedari oleh individu. Misalnya, berlari, makan, minum, rasa sepi, duka dan sebagainya. Tahap prasedar tergolong dari keadaan pemikiran yang berkaitan dengan perasaan. Misalnya perasaan lapar, rasa panas dan rasa sejuk. Perasaan ini selalunya terserah kepada pengalaman seseorang. Tahap bawah sedar berdasarkan teori psikoanalisis ialah tahap yang paling penting. Ini kerana ianya sangat mempengaruhi kepada pembentukan tingkah laku seseorang. Pada tahap ini semua naluri dan keinginan manusia membentuk keperibadiannya.  Oleh kerana itu, peralihan tahap bawah sedar ke sedar adalah sangat sukar. Ianya perlu dirujuk dan mendapat bimbingan mereka yang lebih arif seperti ibu bapa. Amnya, teori psikoanalisis berpendapat bahawa perasaan pemikiran bawah sedar, melalui satu proses iaitu situasi yang dihadapi dihalang oleh kenyataan. Individu dalam tahap ini merasakan dia tidak dapat menerima kenyataan dan masyarakat juga tidak dapat menerima kenyataan itu. Misalnya seperti kata-kata tersasul, mimpi dan khayalan individu tersebut.
             Selain itu, teori psikoanalisis juga membahagikan personaliti manusia kepada tiga struktur. Pertama id, kedua ego dan ketiga super ego. Id adalah bahagian minda yang berhubungan dengan naluri dan dorongan bawah sedar. Ciri id seseorang itu telah wujud sejak dilahirkan. Ia dianggap sebagai elemen struktur yang semulajadi, diwarisi, dan sedia ada dalam diri manusia. Id keseluruhannya adalah tingkah laku bawah sedar yang menjadi sumber naluri kehidupan atau LIBIDO dan naluri kematian atau THANATOS, lebih primitif, tidak tersusun, tidak rasional, dan lebih kepada orientasi kehendak nafsu. Ia lebih kepada kepuasan.
            Ego pula lebih kepada harga diri yang mempengaruhi keyakinan diri seseorang. Secara keseluruhannya ego terbentuk dari pengalaman dan tidak wujud sejak kelahiran. Terdapat dua sumber ego, satu adalah dari pengalaman serta kebolehan tenaga pemikiran yang nyata atau yang sebenar dan kedua adalah menggunakan kaedah tipu helah, menentang dan memesongkan kebenaran.
            Super ego pula lebih menyerupai nurani atau kesedaran individu itu. Ia adalah pemikiran bawah sedar yang sentiasa menyedarkan individu tentang kebaikan dan keburukan sesuatu dan menyebabkan seseorang berasa bersalah sekiranya melakukan kesalahan. Ia penting untuk pembentukan moral yang baik. Super ego adalah penentuan antara ego dan id.
            Bagaimanapun mengikut Freud untuk menyelesaikan konflik di antara id, ego dan super ego, manusia biasanya menggunakan mekanisme helah bela diri seperti rasionalisasi, sublimasi, pemindahan, projeksi, introjeksi, pembentukan reaksi, kompensasi, fantasi, represi, penafian, agresi, regresi, dan lain-lain. Pelbagai jenis helah bela diri ini merupakan faktor yang penting dalam mempengaruhi personaliti seseorang.
            Terdapat lima ciri-ciri mekanisme helah bela diri yang dinyatakan oleh Sigmund Frued. Ciri pertama adalah aktiviti tidak sedar yang dilakukan oleh ego dengan tujuan melindungi diri daripada ingatan, fikiran atau situasi yang merunsingkan. Ciri kedua adalah pemikiran atau tingkah laku yang digunakan secara tidak sedar untuk menangani kebimbangan atau ancaman terhadap penghargaan kendirinya. Ciri seterusnya adalah diwujudkan untuk menangani desakan konflik di antara id dan super ego iaitu membolehkan individu untuk menangani kebimbangan tertimbul. Ciri keempat adalah ia merupakan cara atau taktik seseorang memberi alasan tentang sesuatu tindakannya, sedangkan alasan yang diberikan itu bukan sebab yang sebenarnya dan ciri terakhir adalah sebagai perlindungan atau pembelaan diri terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukannya.
            Dua kategori yang terdapat dalam helah bela diri iaitu helah bela diri aktif dan helah bela diri pasif. Helah bela diri aktif terdiri daripada sublimasi, rasionalisasi, pemindahan, projeksi, introjeksi, pembentukan reaksi, kompensasi dan fantasi manakala helah bela diri pasif pula terdiri daripada represi, penafian, agresi dan regresi.
            Helah bela diri aktif sublimasi adalah cara yang mana seseorang menyalurkan kekecewaan, kekurangan atau kekosongan yang dialami kepada aktiviti lain yang sihat. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai perasaan agresif yang tinggi mungkin memilih untuk bermain bola sepak atau menumbuk beg tinju. Rasionalisasi pula adalah penjelasan yang diberi oleh seseorang terhadap tingkahlakunya dengan tujuan menyembunyikan tujuan yang sebenar demi menjaga ego atau harga dirinya. Misalnya, seseorang mungkin mengidentifikasi dirinya dengan kumpulan sukan atau kelab sosial untuk meningkatkan status diri. Pemindahan adalah memindahkan perasaan yang kurang manis daripada sesuatu objek kepada objek yang menerimanya. Misalnya, abang bergaduh dengan adik dan menyalahkan adiknya kerana memulakan pergaduhan itu. Projeksi adalah membalikkan konflik atau kelemahan dalam dirinya kepada orang lain. Contohnya, pelajar yang gagal dalam peperiksaan menyalahkan kegagalannya kerana kesalahan soalan peperiksaan. Introjeksi pula merupakan helah bela diri aktif yang menyerapkan ke dalam dirinya dengan menyamakan ciri-ciri orang lain yang disukai atau disanjungi. Sebagai contoh, seseorang meniru perbuatan ibunya melayan tetamu ketika rakan-rakannya berkunjung ke rumah. Pembentukan reaksi adalah menafikan keinginan yang telah disembunyikan dengan melakukan sesuatu yang bertentangan. Contohnya, seorang ibu yang membenci anaknya sendiri mungkin melindungi perasaan ini dengan menunjukkan kasih sayang kepadanya. Kompensasi ialah melakukan sesuatu aktiviti yang hampir sama dengan tujuan menggantikan sesuatu aktiviti yang tidak berupaya melakukannya. Sebagai contoh, seorang pelajar yang rendah akademik membina personaliti yang baik, sementara seorang yang mengalami kecacatan fizikal mungkin cemerlang dalam bidang kecekapan fizikal yang lain. Helah bela diri aktif yang terakhir adalah fantasi yang merupakan helah bela diri yang membentuk khayalan atau angan-angan dengan tujuan mengurangkan perasaan yang pahit atau tidak diingini. Sebagai contoh, seseorang melepaskan tekanan perasaan dengan mendengar lagu bagi mengurangkan tekanannya.
            Helah bela diri pasif represi adalah mengalihkan kesedaran sesuatu ancaman dalam minda dengan cara melupakannya. Ia merupakan konsep Freud yang terawal. Contohnya, kejadian traumatik seperti menyaksikan pembunuhan ibu sendiri bukan dilupakan tetapi dikeluarkan daripada kesedaran seseorang dalam bentuk amnesia (sukar tidur). Penafian pula adalah meyakinkan diri bahawa sesuatu ancaman tidak akan berlaku atau tidak ada. Contohnya, enggan menerima realiti kematian orang yang disayangi atau menafikan kata-kata doktor tentang diagnosis penyakit seseorang. Agresi merupakan helah bela diri pasif yang memerlukan tindakan mencederakan atau merosakkan punca kekecewaan atau ancaman. Sebagai contoh, seseorang mencederakan diri sendiri bagi mengelak dari ancaman. Helah bela diri pasif terakhir iaitu regresi adalah pengunduran diri dengan mengulangi tingkahlaku yang kurang matang seperti menangis. Misalnya, seorang kanak-kanak mengundur tahap penyesuaian dan menjadi kurang matang kerana inginkan perhatian ibunya lebih daripada adik.
            Psikoanalisis juga menyatakan lima peringkat dalam perkembangan personaliti. Peringkat-peringkat itu terdiri daripada peringkat oral, 0-18 bulan. Pada peringkat ini keseronokan bayi dapat dicapai melalui mulut. Mulut adalah zon erotik bayi yang aktif. Mengikut kefahaman psikoanalisis, keadaan ini menyebabkan kesinambungan mekanisme bela diri yang membawa trait yang pasif, optimis dan ingin mengetahui apabila dewasa.
Peringkat anal, 2-4 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak mula berkembang dan berupaya mengasing fungsi pembuangan najis dari kehendak nalurinya semulajadi. Kanak-kanak dilatih dengan cara yang sesuai bagi melaksanakan kehendaknya membuang najis. Latihan yang dilalui mempengaruhi sahsiahnya semasa meningkat dewasa.
Peringkat falik, 4-6 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak lebih kepada organ jantinanya. Peringkat ini juga merupakan permulaan berkembangnya kompleks oedipus dan kompleks elektra. Kompleks oedipus berlaku kepada kanak-kanak lelaki apabila tanpa disedari, tertarik kepada ibu dan kompleks elektra berlaku pada kanak-kanak perempuan apabila tanpa disedari, tertarik kepada bapa. Peringkat paling kritikal ini akan menentukan kepesatan seksual yang berkembang dalam diri individu.
Peringkat latensi, 6-12 tahun. Pada peringkat ini perkembangan seksual makin berkembang. Disebabkan itu bermulalah gejala penyekatan seksual dalam diri individu. Pada peringkat ini ciri-ciri dan sifat jantina mula menguat dalam diri individu. Mereka mula berkawan sama ada dari sama atau berlainan jantina. 
Peringkat terakhir adalah peringkat genital, 12 tahun ke atas. Kebiasaannya individu sudah mencapai baligh pada tahap ini. Teori psikoanalisis menerangkan lebih banyak tentang orientasi seksual untuk peringkat ini. Individu pada peringkat ini sudah cenderung kepada perhubungan berlainan jantina. Peringkat ini mula membina perkembangan ego dalam diri dan membentuk kematangan dan pemikiran kepada haluan masa depan iaitu alam perkahwinan. (Othman, 2000).
            Menurut Carl Jung (1875-1961) pula, personaliti individu boleh diklasifikasikan kepada tiga kumpulan iaitu, ekstrovert, introvert, ambivert. Ekstrovert adalah individu yang relaks, gemar kepada aktiviti-aktiviti luar, keseronokan, suka bercampur gaul, aktif, inovatif atau gemar kepada perubahan, mudah bercakap, cepat bertindak balas, tidak mudah bimbang dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan. Introvert pula adalah individu yang disifatkan seperti pasif, gemar berseorangan, pemalu, sensitif, cermat reflektif atau sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu, boleh dipercayai, tenang, tingkah laku yang terkawal dan kurang bersedia untuk menanggung risiko. Manakala bagi individu ambivert mereka adalah golongan yang mempunyai trait-trait seorang ekstrovert dan introvert.(Shahabuddin, Mahani & Ramlah, 2003)
Dalam Islam pula akhlak mendorong kepada adab dan tingkah laku seseorang. Pandangan psikoanalisis berkenaan tindakan bawah sedar memainkan peranan penting dalam pembentukan personaliti adalah bertentangan dengan pandangan Islam. Tindakan bawah sedar tidak boleh menjadi ukuran dan kesimpulan dalam kajian personaliti. Islam meletakkan empat unsur dalam pembentukan tingkah laku seseorang.
Pertama adalah nafs, yang merujuk kepada apa yang terdapat dalam diri manusia yang mendorong tingkah lakunya. Firman Allah dalam al-Quran. “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu masyarakat sehingga mereka mengubah apa yang terdapat dalam diri mereka.” (al- Ra’ad (13):11) nafsu diwujudkan dalam diri manusia secara sempurna. Ia berfungsi untuk menyeimbangkan tingkah laku manusia serta mendorong manusia melakukan kebaikan (mutma’innah) berbanding keburukan (al-amarah).
Kedua adalah qalb. Merujuk kepada perkataan kalbu atau hati. Nabi Muhammad pernah berkata, “ Dalam diri manusia terdapat satu gumpal daging, sekiranya daging itu baik, maka baiklah keseluruhannya, tapi jika daging itu busuk, maka busuklah keseluruhannya dan daging itu adalah hati.” Segala tingkah laku manusia termasuklah emosi, perasaan dan rasa ingin tahu adalah berpunca dari hati. Keadaan ini dapat dilihat dari firman Allah: “ Dia (Allah) menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menghiasnya indah dalam kalbu mu.” (al-Hujarat:7) “ kami akan campakkan ke dalam hati orang-orang yang tidak beriman itu perasaan takut.” (al-Imran:151)
Ketiga adalah aql. Aql adalah merujuk kepada akal dan pemikiran seseorang. Antara makhluk yang hidup di dunia ini, manusia sahaja yang dianugerahkan akal. Otak manusia adalah pengurniaan yang teristimewa. Manusia dapat menggunakan akal untuk membezakan tingkah laku yang baik atau buruk.
Keempat adalah roh. Roh adalah pemberian Allah yang paling tinggi dalam diri manusia dan merupakan sesuatu yang abstrak. Dengan erti kata lain, roh adalah suatu yang halus daripada pengetahuan manusia.
            Pandangan Islam mengenai personaliti lebih kepada sifat dalaman atau kerohanian. Personaliti seseorang itu akan diterjemah daripada sifat dalamannya iaitu dari kawalan nafsunya, keikhlasan hatinya, pertimbangan akalnya dan kejadian rohnya. (Shahabuddin, Mahani & Ramlah, 2003)
3.0 KONSEP DIRI REMAJA
Peralihan zaman kanak-kanak ke alam dewasa adalah satu masa yang penting kepada remaja. Pada masa ini mereka akan menentukan konsep diri atau satu proses bagi menentukan jati diri mereka. Menurut Rogers, (1985) antara perubahan nyata yang berlaku pada remaja adalah:
Perubahan pada fizikal. Bagi remaja lelaki perubahan jasmani mereka jelas kelihatan. Anggota badan akan mula kelihatan gempal dan bertubuh tegap. Bagi perempuan pula, mereka mula menampakkan sifat-sifat kewanitaan dengan mula datang haid, buah dada membesar dan punggung melebar. Selain itu, simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan dan rangsangan seksual yang mula meningkat pada peringkat ini.
Perubahan emosi dan fikiran. Perasaan remaja lelaki stabil kerana mereka bukan lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak apa yang dilakukan adalah ditentukan ibu bapa. Mereka melakukan perbuatan secara spontan tanpa dipengaruhi emosi dan fikiran. Tetapi apabila mereka meningkat ke alam remaja, mereka mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, dan berkhayal tentang kehidupan orang dewasa yang susah dicapai oleh mereka. Perubahan ini menimbulkan kegelisahan dalam diri remaja, kerana untuk berdikari mereka tidak mampu, dan untuk mengikut jejak langkah orang dewasa juga mereka tidak bermaya. Keadaan ini menimbulkan konflik nilai diri dalam diri mereka. Mereka mengalami rasa gembira, kesunyian, berkhayal dengan orang yang dikagumi dan cenderung mencontohi dalam pelbagai perkara seperti berpakaian, bergaul dan cara berfikir.
Narcisma merujuk kepada ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada zaman kanak-kanak perasaan ini di arah kepada ibu bapa. Apabila mereka mencapai remaja, perasaan narcisma ini memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian (Emotional Vacumm) yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan memperluaskan rakan sosial yang sesuai.  Narcisma amat kuat kepada perempuan kerana dari segi biologi wanita memerlukan seseorang untuk membimbing dia keluar daripada rasa kesunyian. Jika narcisma digunakan secara positif, maka remaja akan menentukan dirinya tidak mudah dieksploitasi oleh orang lain. Sekiranya narcisma tidak dapat dikawal, kerana remaja mempunyai konsep diri yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan memenuhi rasa kesunyian di luar dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Dalam aktiviti narcisma, perempuan lebih mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.
Menyertai kumpulan. Mereka mula memperluaskan rakan sosial dengan membentuk kumpulan baru berdasarkan umur, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau taraf sosial yang sama. Hal ini kerana perubahan fikiran dan emosi menuntut remaja untuk memperluaskan rakan sosial mereka. Pada masa inilah kita dapati ibu bapa sering berbeza pendapat sesama mereka dalam usaha memberi bimbingan dan pendidikan pada remaja.
Menentang kekuasaan. Pada masa ini remaja mula merasakan diri mereka berkuasa dan tidak suka akan kongkongan. Perbezaan pendapat remaja dan ibu bapa akan mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap merendahkan harga diri mereka yang sedia bergelora.     
            Sebenarnya konsep diri telah bermula sejak kecil lagi tetapi mula menonjol pada masa remaja kerana mereka sudah mula pandai berfikir dan beremosi. Tetapi konsep diri ini amat penting pada usia remaja. Ia akan melalui peringkat pemurnian di mana jika konsep mereka menyimpang dari konsep pemurnian mereka akan menghadapi masalah keperibadian yang buruk. (Ghafani, 2005)
4.0 PERSONALITI NEGATIF REMAJA
Sifat yang ada pada remaja, adalah kesinambungan daripada dunia kanak-kanak mereka. Pada masa ini masyarakat masih belum yakin bahawa remaja mempunyai personaliti tertentu. Pada masa ini remaja mula mencari identiti diri yang jati, dan mereka suka mencuba-cuba dan mula terpengaruh dengan persekitaran. Menurut teori Erik Erikson iaitu teori perkembangn fizikal-emosi menjelaskan beberapa peringkat mengapa seseorang boleh menghadapi tingkah laku negatif.
Peringkat pertama adalah peringkat awal kelahiran atau peringkat bayi. Pada peringkat ini Erikson menyifatkan emosi bayi percaya lawan ketidakpercayaan. Pada peringkat ini bayi baru membina rasa percaya pada persekitaran. Tetapi apabila kepercayaan bayi tidak dipenuhi, maka lahirlah ketidakpercayaan yang menterjemahkan kepada perlakuan dan tingkah laku negatif.
Peringkat kedua adalah peringkat awal kanak-kanak. Di mana keinginan sendiri lawan rasa malu dan ragu-ragu. Kanak-kanak mula mempunyai keinginan untuk membuat pemilihan sendiri. Mereka juga mula ingin menunjukkan kebolehan dan daya usaha mereka sendiri tanpa bantuan orang lain. Tetapi keinginan mereka sering terbatas dengan peraturan-peraturan orang dewasa. Mereka pada peringkat ini mula berasa malu pada diri dan persekitaran apabila melalukan kesalahan atau ditegur.
Peringkat ketiga adalah peringkat awal kanak-kanak tadika. Peringkat ini berlakunya konflik inisiatif lawan serba salah. Kanak-kanak pada peringkat ini mula belajar tentang pengetahuan baru sama ada secara langsung atau tidak langsung mereka amat peka pada fakta-fakta yang tepat atau fakta-fakta yang salah. Mereka juga akan merasa serba salah apabila melakukan kesalahan atau memberi jawapan yang menyimpang dari soalan. Kesannya, mereka akan bertindak negatif dengan sendirinya apabila di dalam keadaan serba salah.
Peringkat keempat adalah peringkat sekolah. Pada peringkat ini kanak-kanak dapat menggunakan sepenuhnya fungsi tubuh badan mereka. Kanak-kanak pada masa ini mula ingin menunjukkan kehebatan dalam diri mereka. Mereka mula menguasai keperluan asas yang diperlukan dalam kehidupan mereka. Pada masa ini kanak-kanak memerlukan rangsangan positif untuk berjaya. Antara peneguhan positif adalah pujian-pujian dan penghargaan atas kejayaan mereka. Tetapi mereka tidak dapat menerima apabila dikritik dengan kritikan yang tidak dapat difikir secara munasabah. Emosi pada peringkat ini adalah kerajinan lawan rasa rendah diri.  
Peringkat kelima adalah peringkat remaja. Pada peringkat ini remaja mengalami konflik identiti lawan kekeliruan identiti. Pada peringkat ini individu mula mengenali identiti dirinya dan kemuncak penentuan jati diri dan personaliti individu. Remaja pada masa ini akan cepat memberontak dan tersalah mengambil keputusan. Ibu bapa dan persekitaran memainkan peranan penting dalam membantu remaja pada peringkat ini.
 5.0 KAITAN KAJIAN DENGAN TEORI
Dengan merujuk kepada teori Sigmund Freud dan Erik Erikson, didapati ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Pada tahap remaja, mereka masih mencari identiti dan suka mencuba-cuba. Walau bagaimanapun mereka hanya memilih sesuatu yang praktikal. Pada masa inilah pengaruh persekitaran memainkan peranan yang amat besar. Setelah remaja keluar dari zaman kanak-kanak, dunia mereka tidak lagi tertumpu kepada pengaruh keluarga. Pengaruh sekeliling memainkan peranan yang penting.
            Personaliti negatif seorang remaja, selalunya berhubungkait dengan masalah ibu bapa. Mereka yang berpersonaliti negatif tidak baik dengan ibu bapa, perhubungan yang agak tegang, sukar dikawal, serta kurang mendapat perhatian keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam pembentukan identiti remaja. Peranan ibu bapa dapat membantu remaja menghindari gejala sosial dan membentuk personaliti yang negatif. Pertama, peranan ibu bapa itu penting dalam memberi ilmu agama dan didikan moral yang secukupnya. Hal ini kerana, didikan agama dan moral bagaikan perisai yang mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial. Kedua, ibu bapa bertanggungjawab dalam mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Hal ini  terjadi demikian kerana  banyak pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya akan menghasut jiwa remaja yang bertelinga nipis dan pantang dicabar.  Jika rakan sebaya mereka tidak berperibadi mulia,  remaja yang setahun jagung dan darah yang baru setampuk pinang pasti akan mengikut jejak langkah rakan mereka seperti melepak, berlumba haram dan sebagainya. Lantarannya, pergaulan anak tidak boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain, ibu bapa perlu mewujudkan keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak  yang mulia sehingga berjaya. Selain itu, sebagai ibu bapa seharusnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak. Bak kata pepatah, jika bapa borek, anak rintik, kemana tumpahnya kuah, jika tidak ke atas nasi dan bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Peribahasa lama ini harus dihayati. Kebenarannya, seorang anak itu akan mengikut jejak langkah ibu dan bapanya. Begitu juga yang diterangkan dalam teori Sigmund Freud. Sigmund Freud menegaskan bahawa peranan ibu bapa sangat penting di awal perkembangan 1 hingga 5 tahun.  Freud mendapati bahawa personaliti seseorang itu menjadi unik disebabkan oleh hubungan anak dengan ibu bapa. Freud juga menegaskan bahawa personaliti individu telah dibentuk dan menjadi kukuh pada umur ke 5. Menurut Freud, setiap individu mesti akan melalui kelima-lima peringkat yang telah dihuraikan di bawah iaitu tahap oral, anal, falik, latensi dan genital. Ada kalanya seseorang itu tidak dapat pergi ke tahap lain kerana ada konflik yang belum diselesaikan. Konflik ini dipanggil fixation. 
"fixation is a portion of libido or psychic energy remains invested in that developmental stage, leaving less energy for the following stages."
Kesimpulannya, Freud menegaskan kepentingan 5 tahun pertama dalam zaman kanak-kanak setiap individu kerana ia banyak mempengaruhi personaliti pada dewasa nanti. Menurut Freud, personaliti kami sebagai seorang dewasa - iaitu bagaimana kami bertingkah laku, berfikir dan berasa - ditentukan oleh konflik yang dilalui semasa zaman kanak-kanak. Mengikut Teori Freud, tahap Latency adalah antara umur 5 hingga akil baligh. Freud berpendapat bahawa tahap oral, anal dan falik adalah tahap di mana personaliti dewasa kebanyakannya telah dibentuk. Tiga struktur utama personaliti dalam teori Freud (id, ego, super ego) telah dibentuk pada umur lima tahun dan hubungan antara id, ego dan super ego kukuh pada tahap tersebut. Seorang lagi ahli psikologi bernama Erich Fromm, bersetuju dengan Freud bahawa lima tahun yang dahulu dalam kehidupan adalah penting. Namun, Fromm tidak percaya bahawa personaliti akan menjadi kukuh pada umur itu. Beliau menyatakan bahawa perkara-perkara yang berlaku kemudian dalam kehidupan juga mampu mempengaruhi personaliti seseorang. Seterusnya, Erik Erikson, seorang ahli psikologi yang dilatih oleh anak Sigmund Freud, Anna Freud, menyokong teori Freud dengan menambah lagi kepada kajian beliau. Pertama sekali, Freud menekankan zaman kanak-kanak seseorang dan personaliti dibentuk pada umur 5 tahun. Tetapi, Erikson melihatkan pembentukan personaliti sepanjang hayat seseorang. Kedua, penekanan Freud terhadap ego berbanding dengan id. Erikson pula berpendapat bahawa ego ialah satu bahagian yang berdikari dan bukan bergantung kepada id. Ketiga, Erikson mengenali impak budaya dan sejarah pada personaliti. Hal ini kerana, pada usia remaja, mereka lebih rapat dengan rakan berbanding ibu bapa. Ketidak akraban ini yang sering mengakibatkan remaja mudah terpengaruh dengan sumber luar. Selain itu, ibu bapa pada masa kini tidak mendedahkan ilmu rohani atau didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak.
            Melalui teori Sigmund Frued, kami telah membuat beberapa kajian dan temubual bagi mengukuhkan lagi hubungan teori ini dengan kehidupan realiti remaja masa kini. Terdapat enam kajian yang telah kami lakukan iaitu tiga daripada temu bual dan tiga lagi daripada artikel-artikel keratan akhbar. Daripada temubual yang dibuat kepada remaja, kebanyakan yang mempunyai masalah sosial adalah daripada masalah keluarga, terutamanya keluarga yang bercerai.
Remaja 1: Kajian dijalankan kepada seorang remaja perempuan yang berumur 22 tahun dan tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Subjek, mengalami masalah dengan keluarga sejak berusia 12 tahun. Permasalahan bermula apabila ayahnya sering memukul ibunya dihadapan dia dan abangnya. Dan ketika dia berusia 14 tahun, ibunya melarikan diri dari rumah. Dia terpaksa memikul tanggungjawab mengurus adik beradiknya. Selain itu dia juga mendapat tekanan apabila ayahnya berkahwin dengan wanita Indonesia. Ibu tirinya sering berpura-pura baik, hanya didepan ayahnya. Tetapi bila ayahnya tiada, ibu tirinya mula bersikap buruk kepadanya. Ketika berusia 19 tahun dia melarikan diri tinggal bersama ibu. Dari rentetan pengalamannya dia mula bertindak tidak memikirkan ibu bapanya. Rokok menjadi bahan utama untuk dia mencari ketenangan dan sering keluar lewat malam untuk berhibur. Dia juga mula berpakaian yang menjolok mata dan mula mengikut tingkah laku remaja ‘punk’.
Hasil temubual yang dijalankan, kami dapati bahawa remaja ini mengalami ketidaksempurnaan tahap perkembangannnya seperti yang ditekankan oleh teori Sigmund Frued. Remaja ini tidak mendapat kepuasan pada tahap oral, anal dan falik. Apabila remaja ini melihat ibu sering diperlakukan sewenang-wenangnya oleh ayah, dia merasakan kepahitan ibunya kerana pada tahap ini remaja mula memahami nilai-nilai kasih sayang kepada orang lain. Selain itu remaja ini tidak mendapat kasih sayang yang sempurna daripada ibu bapanya.
Remaja 2: Responden kedua ialah seorang remaja perempuan berumur 19 tahun yang tinggal di Kuala Lumpur. Ibu bapanya jarang berada di rumah kerana sibuk dengan tugasan harian sebagai usahawan. Dia tinggal bersama ibu saudaranya  di Port Dickson. Di situ, dia mula menjadi seperti seorang lelaki dan mula memikat perempuan di sekolahnya. Dia mula menjalinkan hubungan dengan remaja perempuan itu sehingga ‘terlanjur’ beberapa kali.
Daripada kes ini, didapati bahawa remaja ini tiada kawalan oleh ibu bapanya yang menyebabkan remaja ini berasa tidak dihargai dan kekosongan. Masa yang terluang telah disalurkan dengan perkara-perkara yang tidak baik dan menggunakan mekanisme helah bela diri aktif iaitu pemindahan di mana remaja ini telah memindahkan perasaan atau naluri perempuan kepada watak lelaki.  Remaja ini juga terdorong dengan mekanisme helah bela diri aktif iaitu sublimasi.
Remaja 3: Seterusnya subjek ketiga adalah seorang remaja perempuan berumur 22 tahun. Ibu bapanya bercerai ketika dia berumur 17 tahun. Ketika itu dia mula benci kepada ayahnya, tetapi disebabkan tanggungjawab kepada adik-adik dan hormat kepada ibu, dia menjaga adab dan tingkah lakunya. Setelah berumur 20 tahun ibunya mula ingin mendirikan rumah tangga dengan lelaki lain. Disebabkan perkahwinan itu dihalang oleh keluarga ibunya, ibu saudara dan datuk neneknya meletakkan bebanan kepadanya. Subjek adalah pelajar optikal di kolej swasta sekitar Kepong. Dia terpaksa berhenti belajar dan mencari pekerjaan. Ketika tinggal di rumah sewa, dia mula terpengaruh dengan kawan-kawan. Dia mula menanggalkan tudung dan berpakaian sendat. Dia juga mula berjinak dengan aktiviti luar di waktu malam serta sering merokok.
Bagi kes remaja ini, individu ini meletakkan diri dalam konflik yang dialami keluarganya. Ini tepat dangan kategori helah bela diri aktif iaitu projeksi di mana remaja ini membalikkan konflik atau kelemahan dalam dirinya kepada orang lain. Hal ini kerana, remaja ini telah menyalahkan ibunya dalam perubahan dan kehidupan yang dialami.
Remaja 4: Kajian ini dijalankan kepada budak-budak shuffle di sekitar Bukit Bintang. Kebanyakan mereka tidak mendapat perhatian yang sepatutnya dari ibu bapa. Ibu bapa memberi kepercayaan yang sepenuhnya kepada anak-anak dengan memberi alasan hendak ke pusat tuisyen atau kelas tambahan, mereka keluar dan berjumpa dengan rakan-rakan. Kebanyakan dari mereka seperti anak-anak orang kaya yang mana duit tidak menjadi masalah untuk mereka. Selain menari shuffle, mereka sudah pandai berjudi, minum arak dan melakukan hubungan seks. Mereka yang berada di sekitar ini adalah dari usia 14 sehingga 25 tahun.
Daripada temubual yang dilakukan terhadap remaja-remaja ini, didapati bahawa mereka kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa selain tiada kawalan yang ketat yang menyebabkan mereka bebas melakukan apa sahaja. Ibu bapa cuma berperanan sebagai “bank” kepada anak-anak untuk memuaskan hati anak-anak mereka seterusnya memberi kepercayaan sepenuhnya tanpa merasa ragu-ragu di atas tingkah laku negatif anak-anak yang diluar pengetahuan mereka. Ini bertepatan dengan helah bela diri aktif iaitu introjeksi di mana remaja ini telah menyerapkan dirinya ke dalam aktiviti shuffle yang seterusnya menjurus kepada aktiviti-aktiviti lain yang tidak bermoral seperti berjudi, minum arak dan seks bebas.
Remaja 5: Terdapat ciri-ciri tertentu bagi remaja yang terlibat dalam masalah pembuangan bayi. Antaranya terdapat kecelaruan identiti remaja. Terdapat banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan. Salah satunya ialah keluarga tidak      memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Menurut pensyarah di Jabatan Pedagogi dan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr. Suradi Salim, secara umumnya golongan tersasar ini boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu pertama ialah mereka yang tiada langsung asas, pendidikan dan perasaan terhadap agama. Kedua pula ialah golongan yang mempunyai pendidikan agama, mengetahui hukum-hakam agama, tetapi kerana sesuatu yang mengecewakan, maka mereka akan memilih jalan yang menyeleweng. Kumpulan yang ketiga ialah golongan yang tahu agama, tetapi masih memilih jalan yang tersasar. Kumpulan ketiga ini walaupun mempunyai agama tetapi kurang meresap dalam diri. Oleh itu, mereka memilih untuk melakukan perkara yang menyeronokkan tanpa mengira larangan agama. Selain itu, remaja tersebut apabila mengetahui dirinya mengandung, sifat benci pada anak, pada lelaki yang tidak bertanggungjawab begitu meluap-luap sehingga tidak ada perasaan keibuan pada anak. Rasa kebencian dan kesan dari segi psikologi mengenai penolakan ini amat kuat pada bayi yang dikandung hingga sedikit pun mereka tidak mempunyai perasaan kasih walaupun bayi itu dilahirkan dengan selamat.
Merujuk pendapat Prof Dr. Suradi Salim, ciri-ciri ini boleh dikaitkan dengan mekanisme helah bela diri pasif iaitu penafian di mana remaja ini telah menafikan sesuatu keinginan yang telah disembunyikan dengan melakukan sesuatu yang bertentangan. Contohnya, remaja tersebut membuang bayi yang dilahirkannya dan menganggap anak itu tiada setelah dilahirkan.
Remaja 6: Seorang remaja dari Negeri Sembilan yang bernama Nora (bukan nama sebenar) berumur 20 tahun telah mengenali Azman (bukan nama sebenar) berumur 27 tahun semasa masih belajar di tingkatan enam di sebuah sekolah. Nora dan Azman telah berkenalan rapat dan masing-masing telah menjalinkan hubungan cinta walaupun Nora masih dalam dunia persekolahan. Azman seorang lelaki yang baik dan menunjukkan kesungguhan perasaannya kepada Nora sehingga akhirnya terkulai ke tangannya. Janji manis Azman membuatkan Nora yang masih bersekolah hanyut atas nama cinta. Nora sering menipu emak dan ayahnya dengan mengatakan dia mempunyai pelbagai aktiviti di sekolah serta mengikut kawan pulang ke kampung atas urusan pelajaran dan ibu bapa mempercayai tanpa usul periksa. Keintiman mereka semakin memuncak sehinggalah Nora didapati hamil. Perbuatan Azman yang tidak mahu bertanggungjawab menyebabkan Nora kecewa dan menanggung beban seorang diri. Nasib Nora baik kerana kawan-kawan dan keluarganya tidak membuang dia begitu sahaja. Akhirnya Nora insaf dan berhasrat untuk menjadi orang yang lebih berjaya.
Daripada kes remaja terakhir ini, didapati bahawa teori psikoseksual Sigmund Freud mengenai id, ego dan super ego benar. Remaja ini tidak dapat mengawal idnya kerana egonya merasakan normal melakukan hubungan seks bersama Azman disamping tiada kekuatan super ego iaitu kawalan ibu bapa. Tetapi, remaja ini dapat mengawal tindakan lain yang bertentangan dengan syariat agama seperti menggugurkan anak, membunuh diri atau membuang bayi disebabkan dia mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan. Nora juga telah mengambil mekanisme helah bela diri aktif iaitu sublimasi di mana dia menyalurkan kekecewaan, kekurangan dan kekosongan yang dialami kepada aktiviti lain yang lebih sihat.
Daripada kajian yang dilakukan, didapati masalah ibu bapa adalah punca mengapa anak-anak mempunyai personaliti yang negatif. Selain itu, menurut John Bowlby, hubungan ibu bapa dan anak bermula dari dalam kandungan. Ibu bapa mesti memberi perhatian dan memberi kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak. Teori perapatan ini penting bagi mengukuhkan lagi hubungan anak dan ibu bapa. Jika ibu bapa mencipta perapatan tak seimbang dengan anak-anak, mereka akan cenderung dengan tingkah laku atau personaliti yang negatif.
            Teori Ajukan Sosial menunjukan proses bagaimana bermulanya masalah tingkah laku negatif seseorang remaja itu. Menurut teori ini seseorang remaja itu akan mencapai tahap kematangan biologi seawal umur 10 tahun (Moffit, 1993), tetapi pada peringkat umur ini remaja tersebut masih tidak mengenali cara hidup dan sikap  yang sesuai dengan mereka. Dalam keadaan ini, orang yang paling penting dalam menentukan kehidupan remaja adalah ibu bapa remaja itu sendiri. Penguatan daripada ibu bapa kepada anak mereka merupakan punca tekanan dan tingkah laku anti sosial. Tingkah laku ini kemudiannya  terbawa-bawa kepada keadaan lain seperti hubungan dengan rakan sebaya. Apabila remaja yang tidak mendapat penguatan yang secukupnya daripada ibu bapa, mereka mungkin  gagal dalam pergaulan dengan rakan sebaya yang seterusnya terpaksa mencari rakan sebaya yang negatif. Pada keadaan tersebut bermulalah masalah tingkah laku negatif.
            Menurut Bronfenbrenner (1979), tingkah laku yang dipelajari dari rumah, dalam konteks hubungan ibu bapa dan anak, akan terbawa-bawa ke sekolah dan digunakan dalam menjalankan hubungan dengan rakan sebaya. Manakala  faktor penolakan daripada rakan sebaya akan menyebabkan kepada penglibatan dengan rakan sebaya yang  negatif. Kesan daripada persekitaran rumah merupakan faktor utama di dalam kajian tentang kanak-kanak dan remaja, iaitu sebagai penyebab mereka cenderung untuk bergaul dengan sistem lain dalam kehidupan mereka (Jackson & Fondacaro, 1999).

6.0 PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK PERSONALITI POSITIF REMAJA
Persoalan yang timbul kepada ibu bapa ialah apakah kaedah terbaik yang digunakan bagi mengatasi masalah negatif di kalangan remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah menurunkan dua puluh lima Rasul bertujuan membimbing dan membantu manusia  supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha meneruskan kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan semula jadi manusia (fitrah). Allah telah berfirman:
Sesungguhnya  kami telah menciptakan  manusia dalam bentuk yang sebaiknya.”
                                                                                                            (Surah Al-Tiin:4)
Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk menyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya,”
(Riwayat Bukhari)
antara kaedah yang digunakan oleh rasulullah S.A.W adalah program bina insan dan kemahiran keibubapaan.:

PERTAMA: Kaedah Pendidikan Hati

            Sebagaimana yang kita ketahui bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia. Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri manusia dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road) yang bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk, betul atau salah. Ibu bapa mestilah mempunyai pendidikan hati yang bersih bagi melatih anak-anak berpekerti mulia. Ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.
            Penemuan Frued itu adalah menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
            Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu akan menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu akan menjadi jahat. Oleh itu apabila ibu bapa dan anak-anak melakukan amalan berzikir, bererti hati mereka diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Hal ini terserah kepada ibu bapa untuk memilih jalan terbaik dalam perjalanan hidup anak mereka kelak sama ada positif atau negatif. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
`                       (Surah Al-Zukhruf:36)
            Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Oleh itu, anak-anak yang sentiasa mengamalkan amalan berzikir dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam melatih anak-anak mengamalkan amalan berzikir setiap masa. Ibu bapa yang baik akan melahirkan anak-anak yang bersih hatinya daripada ganguan anasir-anasir jahat. Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, Lailahaillallah dan Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim.
            Dalam Islam, lima zikir ini dikenali sebagai sebagai “Albaqiyyatussolihat” dimana amalannya boleh memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua ibu bapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji yang lain.

KEDUA: Kemahiran Keibubapaan

            Al-Quran dan Hadis telah memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam dalam Surah Al-Nahl:90 ialah ibu bapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya. Dalam Surah Ali’-imran:159, ibu bapa hendaklah bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan serta bimbingan. Kalau kekerasan digunakan, maka anak-anak akan menjauhkan diri daripada kita. Manakala dalam Surah Al-Baqarah pula, ibu bapa janganlah kecewa dengan tingkah laku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara kerana perbuatan ibu bapanya. Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya, (Riwayat Al-Tarmizi dan Al-Hakim).

KETIGA: Menjadi Model Ibu bapa Yang Soleh

            Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberikan oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkah laku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu, malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah.’
            Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara sendirian program bina insan di dalam keluarga dari masa ke masa. Adalah menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya, kemudian barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan bak kata pepatah ‘sudah terhantuk baru nak terngadah’. Untuk mengelakkan anak mempunyai sikap yang jahat maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan melatih anak-anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong-menolong, beramah mesra, jujur, menghormati ibu bapa serta orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, ada perasaan malu, membuat kebajikan dan sebagainya.

KEEMPAT: Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang 

Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk melatih dan memastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa ialah mendisiplinkan anak dengan maki hamun, cacian, kutukan, dan kekerasan kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan harga diri anak. Anak juga akan menjadi nakal serta sukar mendengar kata apabila mereka dilayan sebegitu. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara yang positif serta menyenangkan hati. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi apabila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.

KELIMA: Terima Anak Tanpa Syarat

            Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar harus diterima dengan tangan yang terbuka. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah kaunseling boleh dibuat dengan cara mewujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa, meminta si anak supaya memberi penerangan dan penjelasan tentang latar belakang masalah yang berlaku, mendengar penjelasan anak dengan penuh minat dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak. Selain itu, ibu bapa juga boleh meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya dan jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.

KETUJUH: Peka Terhadap Pergerakan Anak

            Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Antara tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah rakan sebaya anak dan aktivitinya, fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya, tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya, kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk, siapakah yang lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya dan keupayaannya untuk berdikari. Kemahiran ini amat penting untuk dikuasai oleh ibu bapa supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.

KELAPAN: Jangan Salah Guna Kuasa

            Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan rasa diterima dalam keluarga. Dalam pergaulan seharian, kadang kala timbul pertengkaran di antara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah dikehendaki dan tidak berguna.

KESEMBILAN: Kesabaran

            Satu lagi kemahiran yang perlu ada pada ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak mendapat faedah apabila mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa. Ibu bapa perlu menanamkan sikap banyak bersabar dalam memahami dan mendalami kerenah serta perangai anak-anak.

KESEPULUH: Kaedah Qiyamullail

            Ibu bapa boleh membuat kaedah qiyamullail di rumah. Qiyamullail ialah amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, bertahlil, membaca al-Quran, dan beristighfar. Ibadat ini boleh dilaksanakan dengan bapa menjadi pemimpin atau khalifah dalam Qiyamullail. Kaedah Qiyamullail dapat mengisi ilmu kerohanian ke dalam diri anak-anak dan membuatkan mereka takut untuk melakukan perkara-perkara jahat dan dibenci Allah apabila berada di luar. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseprang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
            “Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari badan.”
                                                                                                            (Riwayat Al-Tirmizi)
            Melalui penjelasan di atas menunjukkan bahawa program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-Nya adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:

Maksudnya:
            “Bukankah Aku Tuhan kamu”
            Roh-roh manusia menjawab:
            “Benar, (Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi”
(Surah Al-A’raf:172)
selain itu, dalam membentuk personaliti anak-anak, bimbingan dari ibu bapa dan persekitaran amatlah penting. Peranan ibu bapa dalam mendidik anak sejak kecil amat besar sehingga dapat membentuk remaja yang berakhlak mulia. Walaubagaimanapun, personaliti negatif ini dapt diubah, dari bantuan masyarakat, ibu bapa khususnya dan kemahuan diri remaja sendiri.
Seperti zaman Rasulullah S.A.W, Saidina Umar berjaya memeluk islam apabila mendengar ayat-ayat Al Quran, walhal umar sebelumnya terkenal dengan perangai jahiliyahnya. Peristiwa ini dapat membuktikan remaja yang bermasalah atau tidak berakhlak boleh diubah menjadi baik.
 Selain itu menurut Abraham Maslow (1970) dalam teori hierarki keperluan Maslow, manusia tidak pernah puas dengan apa yang sudah dicapai. Mengikut Maslow kehendak manusia telah dibahagi kepada 5 peringkat. Peringkat ini bermula dari peringkat rendah iaitu keperluan asas sehingga kepada keperluan peringkat tertinggi iaitu keperluan bersifat psikologi.

Dalam membentuk personaliti yang baik, ibu bapa harus mementingkan keperluan asas anak-anak dengan mencukupi. Tugas ibu bapa bukan sahaja memberi kemewahan dan kelengkapan asas kepada anak seperti makan, tempat tinggal dan pakaian, ibu bapa juga harus memastikan keselamatan anak-anak. Di sinilah pentingnya ibu bapa mengenali teman anak-anak dan tahu ke mana mereka pergi. Selain itu pada peringkat psikologi, ibu bapa harus menunjukkan rasa kasih sayang kepada anak. Teori ini sama seperti yang dikata oleh teori perapatan John Bowlby. Dengan menunjukkan rasa kasih sayang, anak-anak akan rasa senang dengan ibu bapa dan mereka akan jadikan ibu bapa sebagai rujukan utama apabila dalam permasalahan. Selain itu, ibu bapa harus memenuhi kehendak psikologi anak dengan menunjukan pada dia yang dia amat berharga dalam hidup ibu bapa. Rasa penghargaan dari ibu bapa akan menjadikan anak-anak lebih senang untuk berkongsi masalah dengan mereka apabila meningkat remaja. Ibu bapa juga harus mengetahui perwatakan dan bakat anak-anak mereka. Hal ini dapat mengelak anak-anak memberontak dan melakukan gejala sosial semata-mata untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada ibu bapa. Jika anak-anak suka kepada nyanyian, ibu bapa harus mendidik ke arah yang positif dalam bidang nyanyian. Menurut Maslow, ibu bapa harus memenuhi keperluan anak-anak ini sejak mereka bayi kerana hal ini akan membantu pembentukan personaliti anak yang positif di usia remaja.

7.0 CADANGAN
Merujuk teori Sigmund Frued dan hasil kajian yang telah dibuat, terdapat beberapa cadangan bagi membantu remaja dan ibu bapa. Terdapat dua cabang cadangan yang telah dihuraikan iaitu cadangan bagi menghindari permasalahan dan cadangan bagi memulihkan permasalahan.
7.1 Cadangan penghindaran
            Kerajaan haruslah mewujudkan pembelajaran psikologi di sekolah. Hal ini kerana sesuatu yang hendak dibentuk itu haruslah dimulakan dari usia yang muda. Konsep keibubapaan pada masa kini banyak yang tidak mengikut arus perkembangan psikologi anak-anak. Malah terdapat remaja yang merasakan sesetengah perkembangannya adalah tidak normal dan akan menyebabkan remaja itu murung dan bertindak pada jalan yang salah. Tetapi, jika pada usia ini mereka telah didedahkan dengan hal-hal yang berkaitan diri mereka, ini dapat membantu mereka meletakkan tenaga keremajaan mereka pada tempat yang betul.
            Selain itu, pembentukan pembimbing rakan sebaya yang setaraf dan setanding dengan pengawas sekolah juga adalah jalan yang baik. Hal ini kerana, rata-rata remaja lebih rapat dan memerlukan rakan untuk berkongsi cerita. Rakan dapat mendorong mereka dalam sesuatu tindakan yang akan dilakukan. Pada masa kini, pembentukan pembimbing rakan sebaya di sekolah hanyalah sebagai satu kelab dan tidak mendominasikan pasukan ini. Selain dapat membantu remaja yang bermasalah, pembimbing rakan sebaya juga dapat memotivasikan diri sendiri bagi mendapat kepercayaan rakan sebaya yang lain. Mereka dapat membantu rakan dalam membuat keputusan ke arah yang lebih positif.
            Faktor yang paling penting adalah ibu bapa. Seharusnya pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga harus diberi pengetahuan mengenai pembesaran anak-anak. Bukan sekadar kursus perkahwinan yang hanya dalam masa beberapa jam. Mereka harus terus didedahkan cara didikan anak yang baik dan teori-teori pendidikan anak dari lahir hingga dewasa.  Selain itu, latihan kepada ibu-ibu mengandung juga sangat baik jika dijalankan. Latihan ini bukan sahaja dari segi kesihatan dan fizikal para bakal ibu. Malah ia harus diberi penekanan cara penjagaan anak dari pelabagai sudut terutama rohani dan emosi. Ia bukan sahaja untuk para bakal ibu, bakal bapa juga harus mengikuti latihan ini.
7.2 Cadangan pemulihan
Bagi remaja yang telah tersasar, ibu bapa harus terus memberi sokongan kepada mereka. Hal ini kerana hanya dengan sokongan si pelaku jenayah akan berubah menjadi baik. Tanpa sokongan mereka mungkin akan terus mengulangi kesalahan yang sama dan terus menggunakan mekanisme helah diri bagi melindungi kesalahan mereka.
            Selain itu, para guru, sekolah malah kerajaan juga harus mengambil langkah-langkah pemulihan kepada remaja-remaja ini. Pembinaan Raudhatul Sakinah, sekolah hamil, pusat serenti, dan sekolah-sekolah juvana seperti Monfort Boy’s School adalah antara perhatian yang ditunjukkan oleh kerajaan dan masyarakat dalam memulihkan permasalahan ini. Namun ia mungkin masih belum berkesan bagi memberi keinsafan kepada remaja kerana faktor-faktor dalaman yang lain. Seharusnya pendekatan yang lebih rapat harus lebih digunakan. Misalnya memperbanyakkan guru kaunseling. Mungkin 5 pelajar atau remaja diberi seorang guru kaunseling yang akan memantau perkembangan mahupun dari segi akademik remaja. Mungkin ia boleh diringkaskan sebagai satu program mentor. Pada masa kini, program ini hanyalah seperti ada nama tetapi tiada orangnya. Hal ini kerana tiada aktiviti yang dijalankan guru atau mentor dengan remaja. Jika ada pun ia sekadar memenuhi waktu dan masa yang ditetapkan. Terdapat juga program ini yang lebih menumpukan akademik berbanding perkembangan remaja dari sudut yang lain. Guru kaunseling juga dianggap sebagai guru yang hanya diperlukan oleh pelajar yang bermasalah. Konsep ini harus dibuang oleh para pelajar dan guru. Hal ini bagi lebih merapatkan hubungan remaja dengan kaunselor dan bagi mencipta kepercayaan remaja kepada guru kaunseling sekolah. Hal ini kerana, tiada manusia yang akan mengaku diri mereka dalam konflik atau masalah. Mereka lebih menanggap hal ini sebagai satu mekanisme helah bela diri seperti mana yang diterangkan dalam teori Sigmund Frued.
8.0 KESIMPULAN
Daripada teori Sigmund Frued, beliau menyatakan perkembangan personaliti bermula dari peringkat bayi hingga dewasa. Peringkat perkembangan awal kanak-kanak adalah tempoh formatif dan merangkumi detik-detik kritikal dalam pembangunan sahsiah  seseorang. Pada peringkat ini ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak. Terutama pada peringkat falik, peranan ibu bapa amat penting bagi membentuk personaliti positif anak-anak. Selain itu menurut Erik Erikson pada peringkat remaja, anak-anak mula merasa ragu-ragu antara kasih sayang ibu bapa, dengan kongkongan yang diterima. Mereka mula merasa ingin memberontak bila dihalang, tetapi masih memerlukan perhatian.
                Dalam Islam, jelas menunjukkan peranan ibu bapa penting dalam pembentukan anak-anak. Seringkali ibu bapa mengatakan anak mereka derhaka. Namun mereka lupa ibu bapa juga ada istilah derhaka. Terdapat satu kisah di zaman sahabat Rasulullah mengenai kederhakaan ibu bapa:
Seorang ayah datang kepada Umar Bin Khattab R.A., untuk mengadu tentang anaknya. Khalifah Umar pun memanggil si anak dan menasihatinya. Beliau mengingatkannya bahawa anak wajib taat terhadap orang tuanya serta tidak mengabaikan hak-haknya. Lalu anak itu menjawab: “ Wahai Amirul Mukminin, bukankah seorang anak mempunyai hak terhadap orang tuanya?”
“sudah tentu,” jawab Umar R.A.
“Apakah hak tersebut, wahai Amirul Mukminin?”
“Bahawa bapanya wajib memilih ibu yang baik baginya, memberikan nama yang baik kepadanya serta mengajarkan Al Quran kepadanya,” jawab Umar R.A.
“ wahai Amirul mukminin, bapaku tidak melakukan itu semua. Ibuku adalah seorang majusi (penyembah api). Dia memberikan namaku Ju’al (yang bererti kotoran kumbang) dan tidak mengajar kepadaku satu pun ayat Al Quran.”
Kemudian Umar R.A. menoleh ke arah bapa anak tersebut dan berkata: “ Engkau datang kepadaku untuk mengadu ketidaktaatan anakmu, padahal engkau terlebih dahulu gagal melaksanakan tugas-tugasmu kepadanya. Engkau telah melakukan kesalahan kepadanya sebelum ia melakukan kesalahan kepadamu.”
 Merujuk kisah ini terbuktilah ibu bapa juga harus menyediakan segala keperluan dan hak-hak anak sebelum seorang anak memberi kembali hak-hak ibu bapa. Pembentukan rohani anak itu bermula sejak pemilihan pasangan hingga sepanjang proses pembesaran anak-anak. Kepentingan dalam menunjukkan rasa sayang kepada anak-anak amat penting. Ia tidak perlu menjadi seperti ‘Bapa Sazali’. Mempercayai anak dan menyayangi anak secara keterlaluan. Hal ini akan membentuk keperibadian yang negatif seperti ‘Anakku Sazali’.
            Sebaik-baik pengisian dalam mendidik anak-anak adalah membekalkan aspek rohani dalam jiwa anak-anak. Hal ini akan memberi anak-anak bekalan dalam menentukan keperibadiannya apabila meningkat remaja. Pengisian ini penting bagi membentuk remaja yang bersahsiah tinggi, kerana dengan pengisian rohani ini, jiwa dan hati manusia akan menjadi lebih teratur dan mendekati kepada aktiviti terpuji. 
            Mendidik anak-anak  bukanlah sesuatu yang mudah. Ia bermula dari bayi itu di dalam kandungan ibu hinggalah ia dilahirkan dan membesar menjadi remaja. Anak-anak selalu terbentuk dari acuan ibu atau ayahnya. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran ilmu keibubapaan , ibu bapa harus cuba mendidik anak-anak dengan jalan yang terbaik. Didikan agama dapat membantu anak-anak dalam menepis naluri kehaiwanan mereka.
            Oleh itu, ibu bapa seharusnya membentukkan keperibadian anak seperti yang di amal oleh para rasul, wali-wali dan nabi-nabi di mana mementingkan pendidikan agama sebagai penerus fitrah kejadian manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan sekolah, masyarakat dan kerajaan sebagai mekanisme membela diri apabila anak-anak mengalami masalah sosial yang teruk. Ibu bapa seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.  

4 comments:

Sola Hadi said...

salam, permata biru ni ambil master ke?saya pnh blaja tokoh ni dalam intro psychology dlu..

Nilam suhana said...

hehhe.. insyaAllah... tapi saya bukan pelajr master.. baru sambung degree... saya belajar nih untuk subjek pendidikan.. :)

Marcella said...

saya pinjam ye nota buat rujukan..=)
bagus la infonya..

sedang mencari-cari input..tq2..

Puan Aishah said...

asssalam, boleh saya tahu rujukan untuk self defense mechanism. sbb mcm pelik je contoh dye =) utk rujukan saya. tQ =)