Monday, February 14, 2011

GEJALA PEMBUANGAN BAYI

1.0    PENGENALAN
Setiap manusia dilahirkan dengan takdir dan jalan cerita yang tersendiri. Terdapat mereka yang telah ditakdirkan hidup sempurna dan terdapat juga yang hidup dalam serba kekurangan. Namun, mereka tetap bersyukur kerana masih diberi kesempatan melihat alam dan merasai nikmat kehidupan ini. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir manusia yang mengambil kesempatan di atas nikmat yang diperolehi. Mereka tidak memberi belas kasihan dan simpati kepada manusia lain yang baru mengenali erti kehidupan. Kelahirannya diumpamakan sampah yang tidak diperlukan. Manusia ini menjadi mangsa kerakusan nikmat manusia lain dan tercetuslah jenayah yang sangat laris pada masa kini, iaitu jenayah pembuangan bayi. Pembuangan bayi merupakan jenayah yang tidak sepatutnya didaftar didalam kamus kehidupan manusia. Namun, kealpaan manusia dalam melayari syurga dunia menjadikan jenayah ini satu perkara biasa.
          
   Menurut Wikipedia, bayi adalah kategori termuda untuk kanak-kanak. Dagu dan pinggul bayi yang baru lahir adalah sempit, dengan perut buncit sedikit, serta lengan dan kaki yang agak pendek. Berat puratanya lebih kurang 7.5 paun (3.2 kilogram) dan panjangnya 14-20 inci (35.6-50.8 cm). Kepala bayi baru lahir adalah amat besar berbanding bahagian-bahagian badan yang lain, dan kraniumnya juga besar berbanding mukanya. Sedangkan  Ketika dilahirkan, banyak tempat pada tengkorak bayi baru lahir masih belum lagi dijadikan tulang. Semasa pelahiran dan kelahiran, tengkorak bayi bertukar bentuk untuk menyesuaikan dengan salur lahir dan oleh itu, kadang-kadang menyebabkan bayi dilahir dengan kepala yang cacat atau panjang. Bagaimanapun, keadaan ini biasanya kembali ke keadaan normal dengan sendiri dalam jangka masa beberapa hari atau beberapa minggu.  Sesetengah bayi baru lahir mempunyai bulu halus yang digelarkan lanugo, khususnya di belakang, bahu, dan dahi bayi pramasa. Bukan semua bayi mempunyai rambut yang banyak. Ada yang botak, sedangkan ada yang mempunyai rambut yang terlalu halus sehingga hampir tidak dapat dilihat. Kulit kepala mungkin juga lebam-lebam atau bengkak sementara waktu, khususnya bagi bayi baru lahir yang botak, dan kawasan di sekeliling mata mereka mungkin bengkak juga. Sebaik sahaja selepas kelahiran, kulit bayi baru lahir sering berwarna kekelabu-kelabuan hingga biru suram. Dan sebaik sahaja bayi memulakan penafasan, biasanya dalam seminit atau dua, warna kulitnya akan berpulih ke warna yang biasa. Bayi baru lahir adalah basah dan diliputi oleh tanda jalur darah serta bahan putih yang digelarkan verniks kaseosa dan yang dianggap bertindak sebagai rintangan antibakteria. Bayi baru lahir mungkin juga mempunyai bintik Mongolia, pelbagai tanda lahir, atau kulit mengelupas, khususnya di bahagian pergelangan tangan, tangan, mata kaki, dan kaki. Alat sulit bayi baru lahir adalah besar dan merah, dengan bayi lelaki mempunyai skrotum yang amat besar.  Tali pusat bayi baru lahir berwarna putih kebiru-biruan. Selepas kelahiran, pakar perubatan akan memotong tali pusat untuk meninggalkan 1-2 inci.
            Menurut islam pula, pembentuk bayi bermula dalam perut ibu dari setitik nuthfah (mani), dan dijadikan seketul dagaing lalu dimasukkan roh kedalamnya dan dilahirkan sebagai bayi. Daripada Abi Abdurrahman Abdilah bin Masud ra. Bahawa Rasulullah S.A.W. mengatakan kepada kami, "Sesungguhnya tiap-tiap kamu dibentuk dalam perut ibunya 40 hari berbentuk nuthfah (mani), kemudian menjadi 'alaqah selama 40 hari, kemudian menjadi mudhghoh (segumpal daging) selama 40 hari, kemudian dikirimkan kepadanya malaikat meniupkan ruh . . . " Hadis Muttafaqun Alaih. Selain itu ada pendapat lain seperti dalam hadis berikut: Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya dari hadis Hudzaifah bin Usaid, ia berkata: "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: "Apabila nutfah telah berusia empat puluh dua malam, maka Allah mengutus malaikat, lalu dibuatkan bentuknya, diciptakan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan tulangnya. Kemudian malaikat bertanya, Ya Rabbi, lelaki atau perempuan?' Lalu Rabb-mu menentukan sesuai dengan kehendak-Nya, dan malaikat menulisnya, kemudian dia (malaikat) bertanya, Ya Rabbi, bagaimana ajalnya?' Lalu Rabb-mu menetapkan sesuai dengan yang dikehendaki-Nya, dan malaikat menulisnya. Kemudian ia bertanya, 'Ya Rabbi, bagaimana rezekinya?' Lalu Rabb-mu menentukan sesuai dengan yang dikehendaki-Nya, dan malaikat menulisnya. Kemudian malaikat itu keluar dengan membawa lembaran catatannya, maka ia tidak menambah dan tidak mengurangi apa yang diperintahkan itu.
            Merujuk dua penerangan di atas, ia membuktikan bayi ialah manusia yang telah dibentuk di dalam rahim ibunya tanpa noda dan dosa. Kelahirannya sangat polos dan diibaratkan sehelai kain putih. Namun, jenayah pembuangan bayi makin berleluasa dari hari ke hari tanpa ada rasa sensitiviti sebagai manusia yang telah dianugerahkan akal dan naluri.  Tugasan ini akan menghuraikan faktor-faktor pembuangan bayi, kesan-kesan daripada jenayah ini, statistik dan golongan yang terlibat serta cara bagi mengatasi dan mengurangkan jenayah ini dari terus berlaku.
2.0    FAKTOR-FAKTOR PEMBUANGAN BAYI
Malaysia dengan bangganya menuju ke alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka alpa dengan perkembangan sosial di negara ini. Saban hari, terdapat laporan bayi yang dijumpai di dalam tandas, di tepi longkang, dan lain-lain tempat tanpa berperikemanusiaan. Tatkala ingin menyembunyikan perbuatan dusta itu mereka sanggup membuang bayi dengan harapan diberi peluang menjalani kehidupan baru. Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca-punca pembuangan bayi. Antara faktor yang menyebabkan pembuangan bayi adalah disebabkan kurang didikan agama, institusi kekeluargaan goyah, persepsi kemasyarakatandan undang-undang, pengaruh teknologi dan media hiburan serta perhubungan bebas berlawanan jantina.
2.1    KURANG DIDIKAN AGAMA
       Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama dan semangat beragama akhir-akhir ini begitu menonjol, tetapi ia tidak menyeluruh, hanya terbatas pada          golongan tertentu sahaja sedangkan golongan muda terutama belia, umumnya        masing-masing menjauhkan diri daripada mendalami agama. Apabila didikan             agama tidak ada, dirangsang pula dengan gambar-gambar lucah dan menggairahkan yang mudah didapati dalam media elektronik dan bahan-  bahan  cetakan, dengan sendirinya anak muda akan mudah terjebak dalam melakukan  gejala tidak  sihat ini. Jika mereka hidup dalam suasana keimanan,keharmonian dan kasih sayang  nescaya allah mengurniakan    kebahgiaan didunia dan     diakhirat kepada mereka.       
      Firman Allah S.W.T.   didalam surah at-thur ayat 21:
      "Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (didalam syurga) dan kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka.Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya".
       Pada masa kini, pendidikan agama yang didedahkan kepada generasi muda dan belia sangat kurang. Walaupun agama rasmi Malaysia ialah Islam, namun  tidak ramai generasi  muda yang mendekati diri dengan agama. Kebanyakkan remaja hanya   didedahkan  dengan pendidikan akademik yang banyak sehingga mengabaikan   pengetahuan mengenai agama. Terdapat juga ibu bapa yang    mengabaikan   pendidikan islam dalam diri anak-anakdengan menghantar anak- anak ke sekolah yang tidak mendedahkan ilmu agama,contohnya sekolah    swasta atau sekolah jenis  kebangsaan.
      Pengabaian pendidikan agama semasa awal kanak-kanak juga antara faktor kurangnya pengetahuan islam dalam diri seseorang. Awal kanak-kanak diibaratkan sebagai pengukuhan akar. Hal ini disebabkan, pada masa ini, kanak-kanak masih di alam yang meneroka. Mereka menerima setiap pengisian yang diberikan kepada mereka.Menurut islam juga didikan agama harus diberi kepada anak-anak   seawal di dalam rahim    dengan mendengarkan dia bacaan-bacaan Al-Quran dan zikir. 
Setelah anak dilahirkan,
bapa harus azan pada telinga kanannya dan   
iqamat pada  telinga kirinya.  
            Abu Rafi meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

            " Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya 
ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a"
(Riwayat Abu Daud dan Termizi)

     Faktor dalaman seseorang merupakan punca kepada gejala ini. Kurangnyakefahaman dan penghayatan agama, menyebabkan mereka dikuasai oleh nafsu jahat sehingga sanggup berzina dan menyebabkan lahirnya anak luar nikah yang akhirnyadibuang kerana takut dan malu kepada keluarga serta masyarakat.


      2.2  INSTITUSI KEKELUARGAAN GOYAH
     Ibu bapa mesti sedar dan meluangkan waktu, bagaimana sibuk sekalipun, haru memperuntukkan waktu bersama anak- anak. Keruntuhan institusi keluarga islam  juga menjadi faktor berlakunya masalah pembuangan bayi. Pensyarah di Akademik Islam,Universiti Malaya, Prof, Madya Hashim Yahya, beliau tidak menafikan gejala   sosial yang  kedengaran hari ini adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan    masyarakat Islam sudah  mula tidak mengambil berat tentang betapa pentingnya institusi keluarga. Umat Islam mungkin pada saat ini sibuk dengan  pembangunan, mengejar kebendaan hingga mereka   lupa akan tanggungjawab sebenar dalam membina satu keluarga yang bahagia. Remaja yang kurang kasih sayang ini akan cuba mencari orang lain dan akhirnya terjebak dengan  masalah ini. Antara masalah dalam institusi kekeluargaan adalah disebabkan oleh perceraian ibu bapa, ibu bapa yang sibuk berkerja, kehidupan yang susah dan tidak cukup dalam ilmu keibubapaan.
       Pada usia remaja, anak-anak mula meronta untuk mendapat perhatian disamping kekuasaan. Peringkat ini ibu bapa harus memberi perhatian kepada remaja terutama perempuan. Namun, kegagalan mendapat perhatian yang akan menyebabkan berlakunya   masalah-masalah sosial dan jenayah pembuangan bayi.Terdapat juga ibu bapa yang memberi kepercayaan sepenuhnya kepada sekolah untuk mendidik anak-anak mereka.Duit dijadikan bahan utama untuk menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak. Hal ini,menggalakkan anak-anak remaja hidup mewah disamping mengamalkan kehidupan atau pergaulan yang negatif.
     Imam Al-Ghazali mengingatkan :  “ anak-anak merupakan amanah bagi kedua orang tuanya. Hatinya yang suci masih  bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung dengan apa sahaja yang diperngaruhiya. Jika dia dibiasakan dan dibiarkan dengan kebaikkan,  maka tumbuhlah dia menjadi anak yang baik.”
Peranan institusi keluarga yang menjadi asas utama dalam membentuk sebuah masyarakat yang lebih maju dan bertamadun perlukan perhatian khasnya yang melibatkan pendidikan awal akhlak anak-anak.
2.3  PERSEPSI KEMASYARAKATAN DAN UNDANG-UNDANG
      Faktor  lain yang menyebabkan berlaku masalah pembuangan bayi ini ialah  faktor masyarakat. Sesetenggah masyarakat memandang keji orang yang melakukan     dosa seperti zina, pembuangan anak, dan sebagainya. Mereka yang terjerumus dengan zina dan hamil mula berasa malu dan takut berhadapan dengan masyarakat. Mereka mula    menganggap diri mereka tidak berguna dan hina di sisi masyarakat. Hal-hal  seperti inilah wujudnya kes pembuangan bayi dikalangan orang Islam sendiri.Walaupun mereka telah menyesal dengan perbuatan mereka, tetapi mereka masih  takut untuk  berdepan dengan hinaan dan cacian masyarakat. Oleh sebab rasa malu pada masyarakat, mereka mengambil jalan singkat untuk membuang bayi yang tidak bersalah dan berdosa.
          Di samping itu sikap masyarakat yang tidak prihatin, hanya berpeluk tubuh,dan mengabaikan isu ini turut menjadi punca gejala ini menjadi-jadi. Mereka bersikap demikian kerana menganggap isu ini adalah sesuatu yang memalukan. Terdapat juga, ahli masyarakat yang hanya menuding jari terhadap golongan remaja. Pada  pandangan mereka inilah pencetus berlakunya pembuangan bayi kerana pergaulan  bebas. Lebih-lebih lagi remaja yang suka melepak dan membuang masa dengan sia- sia dianggap sebagai sampah masyarakat.
        Faktor yang menyusahkan perkahwinan juga menjadi faktor masalah pembuangan bayi. Budaya masyarakat Melayu, umpamanya yang melibatkan hantaran, persiapan perkahwinan, membuatkan proses mendirikan rumahtangga sangat susah. Jadi anak muda yang terlalu ghairah, tidak dapat mengawal shahwatnya terpesong dan melakukan zina, dan menghasilkan anak luar nikah. Hasilnya terjadilah jenayah pembembuangan bayi.
     Selain itu masyarakat pada zaman sekarang memandang ringan pada ubat-ubatan perangsang. Ubatan-ubatan perangsang dapat diperoleh dengan mudah oleh remaja dan golongan yang belum berkahwin terutama kaum lelaki. Selain itu, iklan-iklan mngenai urutan batin juga berleluasa di sekeliling masyarakat. Mereka mengambil ringan perkara ini yang sebenarnya adalah punca atau faktor  utama penzinaan dan menjadi punca pembuangan bayi.
      Perlaksanaan undang-undang juga merupakan satu kelemahan yang dapat mempengaruhi jenayah pembuangan bayi. Terdapat sesetengah pihak yang tidak bersunguh-sunguh dalam membenteras gejala ini. Pencarian ibu bapa mangasa ‘bayi’tidak dilakukan dengan serius. Selain itu dengan pembinaan rumah-rumah jagaan bayi seumpama memberi peluang kepada golongan –golangan ini melakukan maksiat dan zina lalu membuang bayi mereka kerana ada pihak lain yanag akan menjaga bayi mereka. Undang-undang yang berat juga tidak menggeruni golongan-golongan ini.Hal ini kerana semakin hari, jenayah pembuanagan bayi semakin banyak terjadi.
2.4  PENGARUH TEKNOLOGI DAN MEDIA HIBURAN
    Pada masa kini, semakin banyak teknologi dan ciptaan alaf baru yang boleh membantu manusia dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Namun, terdapat  juga keburukkan dari kecanggihan teknologi ini. Antaranya adalah dari televisyen,radio, internet dan juga bahan-bahan cetakan seperti majalah. Remaja adalah golongan yang paling rapat    dengan media. Perkara-perkara negatif yang menjadi faktor jenayah ini adalah seperti, penayangan filem berunsur seks oleh media   elektronik,penyebaran VCD dan gambar       lucah didalam internet juga menjadi punca yang turut mendorong seseorang terjebak kelembah perzinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah,disamping berleluasanya program-progran hiburan yang melampau dalam masyarakat. 
       Penayangan filem berunsur seks semakin bebas ditayangkan. Hal ini,termasuklah filem-filem dan drama melayu. Walaupun aksi-aksi ini tidak ditunjukan secara langsung, namun penyampaian dan lakonan artis dapat melambangkan simbol seks dan boleh merangsang pihak-pihak tertentu. Misalnya adengan-adengan yang dilakonkan dalam filem Rempit, Bohsia dan V3. Selain itu ia juga boleh mendorong remaja meniru perlakuan artis kerana pada usia remaja terutama mereka yang mempunyai masalh keluarga akan menjadikan artis sebagai idola mereka.
       Selain itu, iklan juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan maksiat dikalangan lelaki dan wanita. Misalnya seperti ubat atau penawar bagi menguatkan bahagian sulit lelaki dan menganjalkan payudara wanita. Iklan seperti ini umpama menunjukan bahawa melayu sudah tipis dengan rasa malu. Iklan-iklan seperti minuman kecergasan lelaki dan perempuan juga banyak yang mengetengahkan tentang tenaga batin suami isteri. Hal ini kan merangsang rasa ingin tahu remaja dan menyebabkan keterlanjuran mereka. Misalnya iklan minuman ‘Super Power’, Lasindah cafe dan Kacip Fatimah Long Jack. Selain itu, aksi model iklan  juga boleh merangsang nafsu seseorang, misalnya iklan deodoran A.X.E, minyak   wangi Enchanter dan sabun Lux.
       Internet pula adalah salah satu sumber yang memudahkan kita melayarilaman-laman ilmiah dan hiburan. Penggunaan internet sangat bebas. Remaja boleh melayari laman-laman lucah dangan senang. Penggunaan internet tanpa kawalan dari ibu bapa akan memberi peluang kepada remaja untuk melayari laman-laman yang tidak bermoral. Hal ini, akan mendorong remaja kearah aktiviti-aktiviti yang kurang sihat dan boleh menyebabkan keterlanjuaran yang akhirnya akan melibatkan jenyah pembuangan bayi.
       Selain itu, majalah dan risalah juga memainkan peranan dalam mempengaruhi ke arah jenayah pembuangan bayi. Pada masa kini majalah-majalah bebas menceritakan tentang masalah-masalah hubungan kelamin yang boleh dibaca oleh remaja. Selain itu, ada juga majalah yang menceritakan tip-tip melakukan hubungan kelamin. Hal ini umpama menyeru remaja untuk mencuba melakukan maksiat. Antara majalah yang sering mengandungi maklumat-maklumat kelamin adalah majalah Wanita, Remaja dan majalah hiburan lain.
2.5  PERHUBUNGAN BEBAS BERLAWANAN JANTINA
    Pergaulan bebas dan tanpa didikan oleh ibu bapa, menyebabkan remaja mudah terjebak dalam gejala sosial. Sekali terjebak, di situlah mudahnya berlaku   persetubuhan haram dan hamil luar nikah. Jika gadis mengandung, maka akan berlaku pula kes pembuangan bayi. Dan jika bayi itu dipelihara, tidak mustahil dia akan menjadi mangsa penderaan pula.
     Dalam zaman serba moden ini, teknologi canggih seperti Internet dan telefon bimbit tidak dapat menghalang pasangan remaja daripada mengatur temu janji.Remaja yang   ada sekarang bukan seperti remaja suatu ketika dulu. Jika dulu, umur 15 tahun sudah berkahwin dan mampu menguruskan rumah tangga. Mereka juga tidak bergaul terlalu bebas dan tiada kemudahan teknologi yang canggih untuk bertemu secara sulit.Remaja kini lebih terbuka. Sering didedahkan dengan pengaruh yang tidak sihat oleh budaya Barat. Tanyalah remaja perempuan atau lelaki yang baru memasuki sekolah menengah. Adakah mereka tahu apa itu video lucah. Sudah tentu ada di antara mereka yang akan menyatakan ya. Kita tidak  boleh menghalang semua ini,  kerana inilah generasi remaja yang ada sekarang di negara kita.
     Budaya ‘couple’ umpama satu kewajipan bagi remaja masa kini. Adat ketimuran sudah makin tipis dan kehidupan barat lebih banyak mempengaruhi remaja. Selain itu, adengan berpelukan atau berpegangan tangan adalah sesuatu lumrah atau budaya biasa dalam diri remaja. Mereka umpama terikut-ikut budaya barat yang mementingkan pasangan dan hubungan seks sebelum kahwin. Acuan kebaratan yang dipengaruhi oleh remaja pada masa kini dapat mendorong berlakunya penzinaan dan akhirnya berlakulah jenayah pembuangan bayi.
3.0    GOLONGAN-GOLONGAN YANG TERLIBAT
Terdapat beberapa golongan yang terlibat dalam jenayah ini. Antaranya adalah golongan wanita dan lelaki yang belum berkahwin, remaja sekolah dan mangsa rogol.

3.1    WANITA DAN LELAKI YANG BELUM BERKAHWIN
      Menurut Naib Presiden Helwa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina   Siddiq apabila wanita mengandung kerana terlanjur, tetapi teman lelaki enggan  bertanggungjawab, mula timbul rasa panik, takut dan serta benci sehingga tidak ada        perasaan keibuan terhadap anak berkenaan. Ciri-ciri dalam diri pembuang bayi  antaranya kecelaruan jiwa akibat keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Tiga golongan disasarkan ialah golongan yang tiada langsung asas, pendidikan dan perasaan terhadap agama; golongan yang mempunyai pendidikan agama, mengetahui hukum-hakam, tetapi kerana sesuatu yang   mengecewakan, mereka memilih jalan yang menyeleweng dan golongan yang tahu    agama, tetapi masih memilih jalan yang tersasar.
    Selain itu, terdapat segelintir wanita yang merelakan diri melakukan maksiat. Mereka berpakaian yang sendat dan jarang sehingga menampakakn susuk tubuh badan sehingga menarik perhatian lelaki. Sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “ ada dua golongan penduduk neraka yang belum pernah aku lihat, iaitu kaum yang memiliki cambuk   seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul orangdan kedua, wanita-wanita yang berpakaian tetapi sama seperti telanjang (kerana pakaian terlalu ketat, nipis dan sebahagian aurat terbuka sehingga dapat dilihat rupa bentuk tubuh) dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disanggul) bagaikan bonggol unta. Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga boleh tercium dari jarak yang sangat jauh.” Hal ini jelas menceritakan tentang wanita-wanita penggoda yang mendorong berlakunya penzinaan yang menjadi punca pembuangan bayi.
    Pada masa kini kebanyakan lelaki tidak mempunyai ilmu agama yang kukuh. Rata-rata lelaki yang belum berkahwin sudah biasa melakukan hubungan seks dengan pasangan. Perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan merupakan pendorong berlakunya penzinaan. Budaya ‘couple’ pada masa kini tidak menghalang berlakunya  maksiat dan penzinaan. Hal inilah merupakan teraju untama berlakunya jenayah  pembuangan bayi.
3.2    REMAJA SEKOLAH
            Terdapat ciri-ciri tertentu bagi remaja yang terlibat dalam masalah pembuangan bayi.Antaranya terdapat kecelaruan identiti remaja. Terdapat banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan. Salah satunya ialah keluarga tidak memainkan peranan yang wajar dalam pembentukan watak anak-anak. Menurut pensyarah di Jabatan Pedagogi dan Psikologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr. Suradi Salim, secara umumnya golongan tersasar ini boleh dibahagikan       kepada tiga kumpulan iaitu pertama ialah mereka yang tiada langsung asas, pendidikan      dan perasaan terhadap agama. Kedua pula ialah golongan yang mempunyai pendidikan  agama, mengetahui hukum-hakam agama, tetapi kerana sesuatu yang mengecewakan,maka mereka akan memilih jalan yang menyeleweng. Kumpulan yang ketiga ialah golongan yang tahu agama, tetapimasih memilih jalan yang tersasar. Kumpulan ketiga ini walaupun mempunya agama tetapi kurang meresap dalam diri. Oleh itu,mereka    memilih untuk melakukan perkara yang menyeronokkan tanpa mengira larangan agama.Selain itu, remaja tersebut apabila mengetahui dirinya mengandung, sifat benci pada    anak, pada lelaki yang tidak bertanggungjawab begitu meluap-luap sehingga tidak ada perasaan keibuan pada anak. Rasa kebencian dan kesan dari segi psikologi mengenai penolakan ini amat kuat pada bayi yang dikandung hingga sedikit pun mereka tidak mempunyai perasaan kasih walaupun bayi itu dilahirkan dengan selamat.
    Selain itu, remaja yang tidak diberikan perhatian oleh ibu bapa juga adalah antara golongan yang melakukan jenayah ini. Mereka dibiarkan melakukan aktiviti bebas tanpa menyekat pergaulan. Menurut Rogers, antara perubahan nyata yang belaku pada remaja ialah:
         Perubahan pada fizikal
Pada masa ini remaja mula membesar dengan bentuk badan yang matang terutama perempuan mula terbentuk pinggul dan payudaranya.
        Perubahan emosi dan fikiran.
Mereka juga mula mengubah cara pemikiran dan emosi. Mereka akan berfikir dengan lebih dewasa, misalnya, jika pada zaman kanak-kanak mereka gembira berada di taman mainan, tetapi apabila meningkat remaja, mereka mula berasa bosan di taman permainan dan lebih memilih berada di pusat membeli belah.
        Narcisma.
Narcisma pula lebih kepada remaja perempuan yang memerlukan belaian dan kasih sayang. Hal ini lebih merujuk perasaan kepada berlawanan jantina.
        Menyertai kumpulan.
Remaja juga mula mencari identity diri melalui kumpulan rakan-rakan yang disertai.misalnya gejala-gejala punk, ‘gothic’ dan hip hop.
        Menentang kekuasaan.
Mereka juga mula menentang apabila ingin dikuasai. Pada masa ini ibu bapa harus menjadi kawan mereka daripada menunjukkan kuasa kepada mereka.
Peringkat remaja adalah peringkat pemurniaan, dimana jika konsep ini menyimpang, ia akan menghadapi masalah keperibadian yang buruk seperti penzinaan.
3.3 MANGSA ROGOL
      Rogol (atau pencabulan) adalah serangan seksual yang dianggap oleh kebanyakan orang sebagai jenayah yang sangat serius. Definasi teknikal untuk "rogol" merangkumi sebarang serangan serius dan yang merosakkan terhadap seseorang atau sekumpulan orang, tetapi dalam penggunaan sehari-harian, istilah tersebut adalah mengenai serangan seksual.
     Mangsa rogol selalunya mengalami trauma dan akan berasa benci kepada anak yang dikandung juka hamil. Apabila perasaan benci menyelubungi diri, mereka kecenderung untuk melakukan perguguran bayi dan jika hal itu tidak berjaya, maka mereka akan sanggup membuang bayi seperti sampah. Kebanyakan mangsa rogol akan malu untuk mendapatkan keadilan dan melepaskan rasa kesal dan benci pada bayi yang kononnya merupakan benih kepada lelaki yang merogol mereka.
4.0    STATISTIK
kajian di Malaysia, statistik menunjukkan peningkatan yang ketara pada setiap tahun bermula pada tahun 2000, pada tahun tersebut jugalah bermulanya kes pembuangan bayi yang sehingga kini masih tidak menemui jalan penyelesaiannya. Dalam penyelidikan yang dilakukan, pihak HTM telah mengunjurkan sedikit pengiraan statistik untuk melihat sejauh mana parahnya kejadian ini. Jika kita meneliti dari data yang diberikan sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008 sahaja, sudah memakan masa selama 103 bulan, dan bilangan harinya adalah 3090 hari. Secara purata di mana ada hampir 2,500 (iaitu 257,411 ÷ 103) kes anak luar nikah setiap bulan didaftarkan secara rasmi, dan ini bermakna setiap hari secara purata Jabatan Pendaftaran menerima 83.3 kes (257411 kes ÷ 3090 hari) pendaftaran anak luar nikah. Ini juga bermakna secara statistiknya satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam masa 17 minit 17 saat.
            Statistik pembuangan bayi ketika ini amat membimbangkan iaitu 407 kes sehingga 22 Mac 2010 lalu. Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007 satu kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini tidak hanya berlaku di bandar-bandar besar sebaliknya semakin menular di desa dan luar bandar. Ini jelas terbukti apabila sejak akhir-akhir ini kes-kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di luar bandar.
            Menurut Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon sebanyak 304 kes buang bayi telah dilaporkan antara tahun 2004 hingga 2007 yang membabitkan 117 bayi lelaki, 96 bayi perempuan manakala bakinya tidak diketahui jantina kerana mayat reput. Kes paling banyak dilaporkan di Selangor dengan 69 kes, 59 kes berlaku di Johor, seterusnya 29 kes bagi Sabah dan 25 kes berlaku di Sarawak. 
            Menurut Statistik Ibu Pejabat Bukit Aman pula sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan melayu mencatat jumlah tertinggi iaitu 36%. Menurut statistik yang dilakukan oleh pihak JPN pula, seramai 17 000 bayi luar nikah didaftarkan pada tahun 2009. secara puratanya seramai 46 orang bayi luar nikah lahir pada setiap hari pada tahun lepas. Dan akhir-akhir ini kalut seluruh Negara apabila media melaporkan beberapa kes buang bayi sedang berlaku disekeliling kita. Statistik-statistik di atas jelas menunjukkan betapa nazak dan dahsyatnya permasalahan buang bayi yang melanda masyarakat kita saban hari , masa dan ketika yang semakin bertambah.dari hari ke sehari tanpa menunjukkan kadar penurunan. 
            Terdapat juga kes kes dimana pihak tertentu yang melakukan pembuangan bayi ini melakukannya secara professional, pembuangan bayi secara professional adalah dengan menggugurkannya. Golongan ini biasanya golongan yang berpendidikan dan ada ongkos (duit). Khidmat pengguguran bayi ini boleh didapati secara mudah di klinik atau rumah-rumah bidan tradisi. Sayangnya tiada data atau statistik yang merekodkan kadar pengguguran bayi di Malaysia. 
            Sebenarnya kalau kita perhatikan setiap tahun akan ada ‘musim’ membuang bayi secara beramai-ramai. Kebanyakkan kes berlaku sekitar bulan Februari dan March 2010. Janin berada dalam kandungan ibu selama 9 bulan sebelum lahir sebagai bayi. Maka jika kita imbas kembali  beberapa bulan ke belakang sebelum bayi ini lahir dan dibuang, kita boleh anggarkan bahawa bayi-bayi ini ‘tercipta’ pada awal Januari 2009 atau akhir Disember 2008. Ini adalah pemerhatian dan hipothesis yang tiada sokongan dari sebarang fakta mahupun kajian ilmiah.
5.0 KESAN –KESAN PEMBUANGAN BAYI
Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama Negara pada masa akan datang. Meraka memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesan jangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka. Kesan –kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri.
5.1 KESAN KEPADA BAYI
Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu usia remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung. Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa.. Apa yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.
5.2 KESAN KEPADA IBU YANG MELAHIRKAN
Kesempitan hidup wanita yang hamil tanpa nikah ini biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta kemungkinan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan. Ekoran daripada kesusahan hidup yang terpaksa dilalui, terdapat sindiket yang mengambil kesempatan untuk memperdagangankan bayi-bayi itu dengan tujuan bagi mendapatkan pulangan keuntungan yang lumayan. Kesan yang kedua adalah kesan kepada ibu bayi berkenaan atau pesalah. Kesan dari sudut perubatan adalah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain. Selain itu, kesan dari segi psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi. Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang agama dan negara.
5.3 KESAN KEPADA AHLI KELUARGA PESALAH
Akibat daripada pembuangan bayi, akan berlakunya keruntuhan institusi kekeluargaan . akibatnya wujud ketidakharmonian dalam kekeluargaan. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak sebegitu. Bahkan, keluarga itu iaitu pastinya diperkatakan oleh jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk bergaul dengan orang ramai lagi. Mungkin juga akan wujud penceraian kerana ibu menyalahkan bapa, bapa menyalahkan ibu tersebut kerana tidak pandai memelihara anak-anak sehingga menconteng arang di muka mereka. Oleh itu masa masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara sekiranya ibu bapa bercerai.
5.4 KESAN KEPADA NEGARA
Tidak dapt dinafikan juga pembuangan bayi akan memberikan kesan yang sangat besar kepada negara. Jatuh dan bangun sesebuah Negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang akan berlaku ialah pembangunan Negara akan terbantut dan keadaan ekonomi Negara juga sukar berkembang kerana wujud gejala sosial ini. Perbelanjaan kerajaan akan turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan masyarakat.
6.0  CARA MENGATASI
Menurut Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Universiti Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid yang mengatakan “ Jika semua pihak terutamanya kerajaan serius dalam menangani isu pembuangan bayi yang saban hari dilaporkan, tumpuan perlu diberi kepada usaha membersihkan masyarakat daripada sumber-sumber yang mendedahkan mereka kepada faktor yang merosakan nilai murni.”
            Jenayah pembuangan bayi adalah jenyah yang sangat kejam dan patut dihentikan. Jesteru itu, semua pihak perlu memainkan peranan bagi menghentikan jenayah yang semakin berleluasa ini. Bayi yang baru lahir umpama kain putih yang tiada dosanya. Terdapat beberapa cadangan bagi mengatasi jenayah ini, iaitu, didkan agama yang kukuh, beri peluang perkahwinan, pembukaaan pusat jagaan dan penerimaan ibu bapa.
6.1  DIDIKAN AGAMA
Agama merupakan pegangan seseorang dari melakukan perkara-perkara yang buruk atau zalim. Tetapi dengan kekurangan didikan agama, seseorang cenderung melakukan perkara-perkara yang mazmumah atau buruk. Ibu bapa harus memperkukuhkan penghayatan dan amalan ajaran Islam di kalangan anak-anak dan ahli keluarga. Al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW mesti dibaca setiap hari di rumah oleh ibu bapa dan anak-anak pada waktu sesuai. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan meletakkan semua tanggungjawab kepada sekolah kerana anak-anak banyak masa di luar sekolah atau di rumah. Di rumah juga ibu bapa dan anak-anak boleh membacakan kisah nabi, para sahabat nabi S.A.W. atau kisah-kisah yang boleh meningkatkan keimanan anak-anak. Menekankan isi keluarga menunaikan solat dan yang lelaki yang sudah baligh seboleh-bolehnya secara berjemaah di masjid atau surau. Solat merupakan tiang agama dan boleh menghindari seseorang dari terud melakukan maksiat atau perkara mazmumah. Solat yang khusyuk diibaratkan pelindung diri dari melakukan maksiat. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “ bacalah serta ikutlah wahai Muhammad, akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al Quran dan dirikanlah sembahyang dengan tekun. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkardan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar faedah dan kesannya dan ingatlah, Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” ( Surah al-Ankabut 29:45). Dengan pemahaman dan ilmu agama yang diperoleh di sekolah atau rumah termasuk amalan secara praktikal setiap masa terhadap ajaran itu maka mudah-mudahan generasi muda terhindar daripada terjebak dengan maksiat yang semakin kuat godaannya di luar sana.
Firman Allah dalm Surah Al-Anfal ayat 20-22 yang bermaksud:-“Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (perintah-perintahnya dan janganlah kamu menjadi sebagai orang munafik yang berkata “Kami mendengar , pada hal mereka tidak mendengar. Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk disisi Allah ialah orang yang pekak dan tuli ( tidak mendengar atau memahami kebenaran iaitu orang-orang yang tidak mengerti.)
6.2  PELUANG PERKAHWINAN
Cadangan kerajaan Melaka menggalakkan golongan muda berkahwin perlu disokong kerana ia salah satu cara untuk mengelakkan golongan muda terlibat dalam maksiat. Tidak seperti cadangan membina sekolah hamil, cadangan memberi bantuan untuk pasangan muda yang hendak bernikah amat baik dan boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah asalkan mengikut undang-undang.Undang-undang syariah di negara ini menetapkan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun bagi lelaki atau bagi perempuan adalah 16 tahun. Jadi sekiranya jodoh seseorang telah ditemui maka disegerakan perkahwinan walaupun pasangan baru berusia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Perkahwinan ini tidaklah menghalang untuk pasangan yang masih muda ini hendak bekerja atau melanjutkan pengajian misalnya ke institusi pengajian awam kerana di peringkat ini ramai yang sudah bernikah pun mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.
            Masyarakat juga harus mengubah persepsi mereka mengenai hantaran dan adat perkahwinan, memadai dengan kemampuan masing-masing. Pada masa kini, budaya wang hantaran yang beribu-ribu umpama wajib diadakan. Jika terdapat yang memberi wang hantaran yang rendah, mereka akan dipandang serong oleh masyarakat. Inisiatif kerajaan dalam menetapkan mas kahwin adalah peluang terbaik bagi mereka yang berpendapatan rendah untuk berkahwin. Malangnya, adat hantaran dan kenduri yang meriah membataskan mereka untuk melangsungkan perkahwinan. Hal ini, akan menyekat niat mereka dan berlakulah maksiat.
6.3  PUSAT JAGAAN
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Orphan care telah melancarkan pusat perlindungan bayi (Baby Hatch yang bertujuan untuk mewujudkan tempat khas pada ibu yang terdesak dari membuang bayi mereka. Pusat jagaan ini juga dapat membantu mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Secara tidak langsung ia juga dapat membela meraka dari dihina, diherdik atau diambil kesempatan oleh pihak lain.
            Selain itu, tempat jagaan seperti Raudatul Sakinah juga baik dalam membantu mengembalikan jati diri mereka. Penzinaan adalah dosa besar yang patut dihindari oleh semua orang. Kehidupan yang tersusun dan peluang untuk beribadat di pusat jagaan ini boleh mengembalikan pegangan agama seseorang.
6.4 PENERIMAAN IBU BAPA
Remaja yang sudah terlanjur akan berasa malu dan takut berhadapan dengan keluarga. Mereka akan mencari jalan penyelesaian bagi keluar dari kemelut yang dilalui. Pembuangan bayi adalah satu cara yang selamat bagi menutup keaiban mereka. Namun, mereka lupa bahawa apabila mereka melakukan dosa pertama ia adalah dosa besar yang akan terus menghantui mereka, ia akan bertambah, apabila mereka terus melakukan satu dosa yang lain iaitu membuang bayi. Hal ini adalah kerena ibu bapa tidak mungkin dapat menerima keadaan anak gadis mereka dan mula mengusir gadis tersebut bagi menutup keaiban keluarga.
            Seharusnya ibu bapa tidak meletakkan kesalahan ini pada anaknya sepenuhnya. Setiap dugaan yang dilalui mempunyai hikmah dan rahsia Allah yang tersendiri. Seringkali ibu bapa mengatakan anak mereka derhaka. Namun mereka lupa ibu bapa juga ada istilah derhaka. Terdapat satu kisah dizaman sahabat Rasulullah mengenai kederhakaan ibu bapa:
Seorang ayah datang kepada Umar Bin Khattab R.A., untuk mengadu tentang anaknya. Khalifah Umar pun memanggil si anak dan menasihatinya. Beliau mengingatkannya bahawa anak wajib taat terhadap orang tuanya serta tidak mengabaikan hak-haknya. Lalu anak itu menjawab: “ Wahai Amirul Mukminin, bukankah seorang anak mempunyai hak terhadap orang tuanya?”
“sudah tentu,” jawab Umar R.A.
“Apakah hak tersebut, wahai Amirul Mukminin?”
“Bahawa bapanya wajib memilih ibu yang baik baginya, memberikan nama yang baik kepadanyaserta mengajarkan Al Quran kepadanya,” jawab Umar R.A.
“ wahai Amirul mukminin, bapaku tidak melakukan itu semua. Ibuku adalah seorang majusi(penyembah api). Dia memberikan namaku Ju’al (yang beerti kotoran kumbang) dan tidak mengajar kepadaku satu pun ayat Al Quran.”
Kemudian Umar R.A. menoleh ke arah bapa anak tersebut dan berkata: “ Engkau datang kepadaku untuk mengadu ketidaktaatan anakmu, padahal engkau terlebih dahulu gagal melaksanakan tugas-tugasmu kepadanya. Engkau telah melakukan kesalahan kepadanya sebelum ia melakukan kesalahan kepadamu.”
 Merujuk kisah ini terbuktilah ibu bapa juga harus menyediakan segala keperluan dan hak-hak anak sebelum seorang memberi kembali hak-hak ibu bapa.
            Oleh itu, ibu bapa haruslah menerima kesalahan anaknya jika berlaku keterlanjuran. Sokongan ibu bapa dapat mengelak dari berlakunya pembuangan bayi. Mereka hanya perlukan pembelaan dan bantuan bagi mengharungi dosa dan kembali ke pangkal jalan. Walaupun ibu bapa berasa malu dengan cercaan masyarakat, namun mereka harus bangga kerana dugaan Allah yang sangat besar itu dapat dilalui dengan tabah dan mudah. Masyarakat akan terus berkata tetapi jika ibu bapa mendengarnya ia samalah seperti mereka menempah laknat Allah pada hari kiamat. Muaz bin Anas R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “ sesungguhnya Allah S.W.T. mempunyai para hamba yang tidak kan diajak bercakap pada hari kiamat, tidak akan disucikan dan tidak akan dilihatnya.” “ siapakah orang itu ya Rasulullah?” baginda menjawab yang bermaksud: “ Orang yang lepas tangan daripada kedua-dua orang tuanya, benci kepada kedua-duanya dan orang yang berlepas tangan daripada anaknya." Ibu bapa haruslah menerima kekilafan pertama anaknya dan berharaplah yang tiada dosa kedua yang mereka akan lakukan. Sesungguhnya Allah bersama mereka yang sentiasa berharap atas nikmat dan kuasanya.
7.0  PENUTUP
Bayi adalah insan yang paling suci dan bersih. Mereka dilahirkan dalam keadaan yang tidak mengetahui apa-apa. Ibu bapa pula adalah orang yang bertanggungjawab dalam mendidik dan mencorak bayi ini menjadi manusia yang sempurna dan bertaqwa. Sebagai ibu bapa, pakaikanlah taqwa kepada anak. Didklah mereka sejak di dalam kandungan lagi. Jadikanlah solat sebagai sahabat mereka dan Al Quran sebagi rujukan mereka.
            Didikan agama yang kuat dalam diri seseorang dapat menghindari mereka dari melkukan maksiat. Sesungguhnya punca utama pembuangan bayi adalah zina, dan penzinaan itu adalah dosa besar dan patut dihindari oleh setiap umat islam. Apabila kita mendekati zina maka akan terjadilah dosa-dosa yang lainnya seperti pembuangan bayi.
            Akhirnya adalah diingatkan bagi mereka yang sudah terlanjur,hendaklah segera bertaubat dan menjauhi segala perbuatan-perbuatan terkutuk tersebut. Janganlah membunuh bayi, berilah mereka peluang untuk hidup.Semoga Allah s.w.t menerima taubat hamba-hambanya. Jelasnya, usaha pencegahan perlu bermula dari dalam diri remaja agar mereka mampu bertindak bijak menjauhi zina selain bimbingan agama diterapkan untuk dijadikan sebagai perisai diri. Selain itu, remaja yang hamil luar nikah mesti dibantu bagi menjalani pemulihan yang bukan sahaja menyediakan bantuan menjaga ketika mereka hamil tetapi yang paling utama ialah membina kekuatan dalaman serta rohaniah Semua pihak agar turut memberi penekanan kepada bimbingan terhadap kaum lelaki dalam usaha mendidik golongan tersebut untuk tidak mengambil kesempatan terhadap wanita. Peranan keluarga, masyarakat dan negara sangat penting dalam membendung jenayah ini.
            Hapuskanlah frasa pembuangan bayi dari dalam kamus manusia. Jika kita lihat pada haiwan, kita pasti takjub melihat kasih sayang mereka kepada anak mereka terutamanya singa. Walaupun pada pandangan kita singa haiwan yang garang dan menakutkan, namun rasa cinta pada anak-anaknya yang membuatkan mereka sanggup mati demi menyelamatkan nyawa anak-anaknya. Tetapi sayangnya, ada segelintir manusia yang tidak melindungi anak mereka, malah merekalah musuh yang membunuh anak yang masih lemah itu. Janganlah biarkan dunia binatang itu berada dalam kamus hidup manusia sedangkan dalam dunia binatang atau haiwan tiada istilah manusia.

No comments: